Tuesday, December 8, 2009

Sorok dadah dalam kemaluan - Wanita warga Thailand kena hukuman penjara 16 tahun


KAEWMORAKOT menangis selepas
dihukum penjara di Mahkamah Tinggi Shah Alam.


SHAH ALAM - Seorang wanita warga Thailand yang menyembunyikan 40 biji kapsul berisi dadah jenis kokain di dalam kemaluannya akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun bermula dari tarikh dia ditangkap.

Ibu kepada seorang anak berusia empat tahun itu ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dekat sini pada 22 Jun 2007.

Selain kemaluan, polis turut menemui dadah di dalam dubur dan beg solek miliknya.

Ketika Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah Sheikh Badjenid menjatuhkan hukuman tersebut semalam, Kaewmorakot Weeraya, 30, kelihatan terkejut sebelum menekup muka sambil menangis.

Terdahulu, Kaewmorakot yang merupakan bekas kerani sebuah syarikat import eksport di Thailand mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan iaitu memiliki kokain seberat 258.35 gram di aras 1, pintu 4, KLIA kira-kira pukul 7 pagi, 22 Jun 2007.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: