Wednesday, December 2, 2009

Siapakah yang bergelar terbaik?


ZULHUZAIMY merupakan calon utama untuk membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik.


MEMANG pada mulanya, penganjuran Anugerah Skrin adalah bertujuan untuk mengiktiraf mereka yang terbaik menerusi penerbitan drama dan juga penerbitan rancangan televisyen.

Namun, sebagai penganjur, TV3 sedar bahawa bidang perfileman juga tidak seharusnya dipandang enteng kerana kuasa filem juga tidak kurang hebatnya.

Sekadar menyingkap sejarah, Anugerah Skrin mula mewujudkan kategori filem adalah pada tahun 1996 yang menyaksikan filem Sayang Salmah menjadi filem pertama yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

Namun ketika itu, TV3 memperkenalkan kategori Pelakon Filem Popular yang menyaksikan nama-nama seperti Awie, Erra Fazira, Ziana Zain dan Azhar Sulaiman sebagai pemenang pertama.

Menyedari bahawa prestij Anugerah Skrin tidak terletak kepada populariti, maka gelaran popular itu ditukar kepada terbaik.

Maka itu, tahun 1997 menyaksikan Awie dan Lydiawati masing-masing menjadi pemenang pertama menerusi kategori Pelakon Lelaki Filem dan Wanita Terbaik menerusi filem Merah dan Suami, Isteri & ...

Manakala, gelaran Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Filem Terbaik pula menjadi milik Amirul Nizam dan Ziana Zain yang memenanginya bagi filem Kecil-Kecil Cili Api dan Maria Mariana II.

Kini, selepas sedekad, Anugerah Skrin masih lagi mengekalkan kategori tersebut bagi terus mengiktiraf bakat tempatan yang mempamerkan lakonan hebat dalam setiap filem.

Untuk keluaran hari ini, Hits mahu membawa pembaca bagi melihat nama-nama yang dilihat berpotensi besar untuk dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Namun, buat pembaca anggaplah paparan ini hanyalah sekadar suka-suka dan ramalan bagi menghangatkan kemeriahan sambutan Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) yang hanya tinggal dua hari sahaja lagi.

Sekadar menyegarkan kembali ingatan pembaca, tahun lalu Pelakon Lelaki Filem Terbaik menjadi milik Rosyam Nor menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang.

Sementara itu, Zaefrul Nordin pula mengungguli kategori Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik berdasarkan watak Tun Hussein Onn yang dibawanya dalam filem 1957 Hati Malaya.

Persoalannya kini, aktor manakah pula yang bakal merangkul gelaran tersebut tahun ini?

Apa yang pasti, daripada senarai 22 buah filem yang layak bertanding untuk edisi kali ini, apa yang boleh dikatakan dua kategori ini bakal menyaksikan persaingan yang cukup sengit.

Cukup sengit

Bermula dengan kategori Pelakon Lelaki Terbaik, nama Eman Manan dilihat menjadi calon utama untuk membawa pulang gelaran ini menerusi filem Wayang.

Siapa yang mampu menidakkan kehebatan lakonan oleh Eman yang sudah tiga kali dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia itu.

Setiap lakonan Eman sering kali meninggalkan impak yang besar dan menerusi filem Wayang, dia membuktikan bahawa aktor senior sepertinya masih lagi berbisa.

Membawakan watak Awang Lah, seorang dalang wayang kulit yang perlu mengimbangi antara masalah peribadi dan tanggungjawabnya dalam memartabatkan seni warisan wayang kulit, tiada masalah untuk Eman memenangi kategori ini.

Biarpun begitu, Eman harus akur seandainya dia gagal memenangi kategori itu jika ia menjadi milik pendatang baru, Mohd. Asrulfaizal yang memberikan lakonan yang berkesan dalam filem Budak Kelantan.

Walaupun dia masih baru dalam bidang filem, tetapi pengalamannya Asrulfaizal cukup luas sementelah dia begitu aktif dalam bidang teater.

Sebagai Jaha dalam filem tersebut, ekspresi dan penghayatan Asrulfaizal cukup berkesan lantas menjadikan dia antara calon yang mampu mencipta kejutan pada malam itu nanti.

Adlin Aman Ramlie juga antara nama yang disebut dan dilihat berpotensi untuk memberikan saingan hebat dalam kategori ini berdasarkan lakonannya dalam filem Los dan Faun.

Lakonannya yang cukup bersahaja dalam filem arahan Afdlin Shauki itu merupakan kelebihan buat Adlin untuk mencipta kemenangan dalam ASK2009.

Siapa tahu, gelaran Pelakon Lelaki Terbaik mampu menjadi milik Mahesh Jugal Kishor yang memberikan lakonan penuh emosi sebagai seorang bisu dan pekak dalam Talentime.

Biarpun masih mentah, tetapi kehebatannya membawakan watak Mahesh dalam filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu tidak sewajarnya dipandang enteng.

Bukan mudah untuk membawakan watak seorang yang kurang upaya dan meninggalkan impak kepada penonton menerusi watak sedemikian.

Siapa tahu kegagalan Mahesh di Festival Filem Malaysia dapat ditebus malam itu nanti seandainya rezeki menjadi miliknya.

Awal Ashaari juga tidak kurang hebatnya dalam filem Syurga Cinta. Biarpun menerima kritikan tentang kualiti lakonannya, tetapi manalah tahu jika juri terpikat dengan watak Irham, sudah menjadi rezeki Awal untuk menjulang trofi pada malam kemuncak ASK2009 nanti.

Tetapi, Que Haidar juga mampu mencipta kejutan pada malam itu berdasarkan wataknya dalam filem Maut.

Biarpun kemunculannya tidak lama, tetapi impak yang terhasil memang cukup besar malah persembahan Que tidak mengecewakan dan mungkin rezeki akan berpihak kepadanya.

Jika kategori Pelakon Lelaki Terbaik sudah melihatkan saingan yang bukan calang-calang, kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik juga apa kurangnya.

Calon utama yang dilihat mampu merangkul gelaran ini adalah aktor berkarakter, Zulhuzaimy yang mempamerkan lakonan cemerlang dalam filem Wayang.

Tambahan pula, Zul memenangi kategori dan filem yang sama pada Festival Filem Malaysia tahun lalu.

Zul memang sudah dikenali sebagai antara aktor terbaik generasinya dan jika dia menang pada malam itu, rasanya tiada siapa yang akan mempertikaikannya.

Aktor muda, Nas-T juga tidak kurang hebatnya. Dengan wajahnya yang sudah dilabelkan sebagai 'budak jahat', maka lakonannya dalam filem Kami The Movie memang menjadi.

Watak antagonis yang dibawanya dalam filem berkenaan memang meninggalkan impak dan tidak mustahil jika dia mampu membawa pulang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Sudah pasti laluan Nas-T dan Zul tidak mudah yang disangka kerana Mohd. Syafie Naswip akan menganggu jalan mereka menerusi lakonannya dalam filem Talentime.

Sesudah memenangi kategori yang sama pada Festival Filem Malaysia yang baru lalu, apakah mungkin Syafie akan membawa pulang gelaran yang sama sekali lagi?

Aktor yang seorang ini juga tidak seharusnya dipandang sebelah mata kerana sekarang ini, namanya memang benar-benar hangat.

Bukan hangat kerana perkara negatif tetapi kehangatan Shaheizy Sam terletak kepada kemampuannya membawakan pelbagai karakter dengan cukup berkesan sekali.

Mempunyai dua buah filem iaitu Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam dan Jangan Pandang Belakang Congkak yang dicalonkan kali ini, rasanya Shaheizy antara aktor yang mampu mencipta kejutan pada malam itu nanti.

Pelakon cilik, Muhamad Hadziq Mohd. Hazem atau lebih dikenali sebagai Hadziq juga dilihat berupaya membolosi tembok pencalonan.

Lakonannya yang mencuit hati namun bersahaja dalam filem Syurga Cinta merupakan faktor utama seandainya nama dia dinobatkan sebagai pemenang nanti dan sayugia diingatkan, usia bukanlah satu halangan.

Membawakan watak bapa ayam dalam filem Bohsia, mana tahu rezeki juga mampu berpihak kepada Aaron Aziz untuk dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Filem Lelaki Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: