Thursday, December 3, 2009

Sheila syukur karyanya diterima


SHEILA Rusly bergandingan bersama Mahmud Ali Bashah dalam menghidupkan drama bersiri terbaru terbitan JS Pictures.


SELAIN drama bersiri Nur Kasih episod akhir yang ditayangkan pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini yang diperkatakan ramai, ada sebuah lagi drama Melayu yang turut menyentuh emosi sebilangan besar penonton di negara ini.

Bertepatan dengan tema pengorbanan seperti yang dituntut oleh agama, drama Melayu yang ditayangkan di TV3 sejurus selepas Nur Kasih tempoh hari juga berkait rapat dengan pengorbanan.

Tanpa perlu diperkenalkan dengan mendalam syarikat produksi itu, drama Taubat Nasuha hasil kreativiti team JS Pictures mengundang air mata yang bukan sedikit pada penghujung telemovie itu.

Orang penting di sebalik JS Pictures pula sudah tentu pasangan Sheila Rusly dan suaminya, Azman Yahya atau lebih mesra disapa Jinggo.

Selain rumah produksi mereka yang tidak perlu diperkenalkan lagi, demikian juga dengan kualiti telemovie Taubat Nasuha.

Benar, ia sebuah kisah melankolik, namun di hujungnya terkandung mesej yang terlalu mendalam dan wajar direnungi semua.

Taubat Nasuha mengisahkan sebuah keluarga yang dibelenggu sikap garang dan bengis seorang ayah lakonan Fauzi Nawawi.

Sayang sekali, kenikmatan hidupnya hilang begitu sahaja tatkala isteri (Sheila Rusly) yang sarat mengandung serta tiga lagi anaknya dibunuh dengan kejam oleh penjenayah.

Penyesalan tidak berguna lagi kerana permintaannya selama ini yang mendambakan keamanan di rumah dimakbulkan Allah.

Mengulas karya berkenaan, Sheila dalam perbualan dengan Hits menjelaskan, cetusan idea penghasilan drama berkenaan hasil daripada gabungan banyak pihak.

"Saya bersyukur karya syarikat produksi saya dan suami diterima ramai. Sebetulnya, bukan mudah untuk menghasilkan drama yang boleh meruntun hati audiens.

"Kalau ada yang berpendapat, drama itu menyentuh hati mereka, kami panjatkan kesyukuran pada Allah kerana semuanya ini datang daripadaNya," katanya yang mengakui gandingannya dengan Fauzi penuh keserasian biarpun itu kali pertama mereka ditampilkan di dalam drama.

Seperti yang disebut di perenggan atas, bukan sekali dua JS Pictures hadir menghidangkan sesebuah karya yang berjaya memberikan kesan di hati penonton.

Bahkan, tidak salah jika dikatakan bahawa hasil kerja mereka sentiasa dinanti-nantikan oleh sebilangan besar peminat drama mahupun telemovie tempatan.

Atas dasar itu, JS Pictures merupakan antara tenaga produksi yang sentiasa diberikan pengharapan yang tinggi oleh semua termasuk pihak stesen televisyen.

Memberi maklum balas atas hal tersebut, Sheila yang enggan mendabik dada menjelaskan, untuk mempertahankan harapan itu bukan sesuatu tugas yang mudah.

terus tampil 'menyengat'

Ini kerana, katanya, untuk terus tampil dengan sesuatu yang 'menyengat', JS Pictures perlu sentiasa melakukan perubahan.

"Kami perlu sentiasa mendahului jika mahu lakukan sesuatu yang baru dan menjadi ikutan. Tetapi, ia bukannya mudah. Penonton juga sudah semakin bijak dan mahukan kelainan,'' katanya ketika ditemui pada sesi penggambaran drama bersiri Bila Musang Berjanggut baru-baru ini.

Bila Musang Berjanggut dijangka disiarkan di TV3 bermula 22 Mac 2010 untuk slot Lagenda.

Drama yang diadaptasi daripada karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Musang Berjanggut itu diberikan nafas baru dengan jalan cerita yang lebih menarik dan komedi.

Selain Sheila Rusly, pelakon lain yang turut membintangi drama berkenaan ialah Fizo Omar, Fathia, Mahmud Ali Bashah dan Zaibo.

Mengulas lanjut, Sheila berkata, dalam slot Lagenda, contohnya, JS Pictures mampu berbangga kerana berjaya mencipta satu perubahan.

Perubahan itu, ujarnya, muncul tatkala penghasilan Anak Betong yang berbeza daripada konsep drama-drama sebelum ini yang lebih kepada cerita Barat.

"Selepas makin banyak muncul drama yang berunsurkan tempatan dan mistik, kita kemudiannya perlu cungkil perubahan lain.

"Justeru, JS Pictures mengambil latar cerita karya P. Ramlee pula untuk diisi dalam slot Lagenda. Sebelum ini, belum ada yang mengupas karya P. Ramlee untuk slot itu,'' jelasnya.

Komedi yang bermakna

Sebagai anak wayang, Sheila tidak senang jika ada yang berpendapat, tugas anak wayang hanya berlakon semata-mata tanpa memikirkan tugas mendidik masyarakat.

Justeru, karya Bila Musang Berjanggut ujar Sheila, akan meneruskan tradisi rumah produksinya menghasilkan drama yang sarat dengan mesej bermakna.

Sheila yang memegang karakter sebagai Farida Akaferra berkata, walaupun Bila Musang Berjanggut merupakan drama genre komedi, apa yang penting drama berkenaan membawa aspirasi yang sangat tinggi.

"Kita membawakan tema 1Malaysia yang menggabungkan pelbagai kaum," jelasnya yang mahu sama-sama mendokong hasrat murni kerajaan.

Bila Musang Berjanggut yang diterbitkan sebanyak 20 siri itu juga jelasnya, menggunakan latar muzik yang sama dengan karya asal Musang Berjanggut.

"Yang bezanya, muzik tersebut akan diubah kepada versi moden. Mengekalkan muzik asal secara tidak langsung akan membuatkan penonton mengimbas kembali karya P. Ramlee tersebut,'' ujar aktres dan juga ibu kepada dua cahaya mata ini lagi.

Dalam usaha mengekalkan kualiti karya seninya, Sheila turut memberi perhatian teliti dalam aspek pemilihan pelakon.

Katanya, sebaik sinopsis Bila Musang Berjanggut lengkap dan berada di tangannya, dia mula membayangkan nama-nama pelakon yang sesuai untuk membawa watak dalam drama berkenaan.

Begitu juga dengan pemilihan wajah baru dalam dunia lakonan, Nur Fathia Abdul Latif yang mula mencipta nama menerusi iklan sebuah produk syampu.

Nur Fathia seperti juga orang lain, kata Sheila, harus menjalani proses uji bakat.

"Untuk watak Cempaka dalam Bila Musang Berjanggut, saya tidak boleh letak pelakon yang orang sudah biasa lihat.

"Saya perlu cari muka baru. Sebagai penerbit, ia juga adalah tugas saya untuk menggilap muka-muka baru dan hasilnya Nur Fathia terpilih,'' jelasnya yang optimis drama Bila Musang Berjanggut akan diterima ramai.

Sebagai wanita yang memberi tumpuan yang serius pada kerja-kerja penerbitan drama, Sheila bersyukur kerana suaminya, Jinggo begitu komited dan sangat berdedikasi pada lapangan itu.

Kerana itu, mereka suami isteri sentiasa ligat memikirkan idea-idea baru untuk diterjemahkan ke dalam drama dengan kerjasama penulis skrip/

Dan dalam tempoh terdekat ini, JS Pictures jelasnya, bakal muncul dengan karya-karya lain seperti Dunia Batinku untuk telemovie khas sempena Maulidur Rasul.

Katanya, selepas menerima maklum balas yang baik untuk Anak Betong, penonton TV3 juga akan dapat menyaksikan kesinambungan daripada drama itu yang berjudul Cucu Betong.

"JS Pictures juga akan menerbitkan drama berjudul Roh untuk slot Seram di TV3.

"Roh bukanlah sebuah cerita seram yang sama dengan cerita-cerita seram lain,'' tambahnya.

Semua tugas ini membutkan Sheila dan Jinggo tidak menang tangan.

Namun begitu, itu juga bukan sebab kenapa mereka harus riak dan takbur.

"Syukur dengan apa yang Tuhan berikan. Kami akan sentiasa bekerja keras untuk memastikan kerja-kerja seni JS Pictures memenuhi kehendak semua," kata Sheila mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: