AKTRES Sheila Rusly terpaksa memberanikan diri bergayut dari tempat-tempat tinggi bagi memberi penghayatan pada watak jahat yang dibawanya, 'Malika', dalam drama 'Cucu Betong'.
Sheila menganggap aksi bergantung di tempat tinggi ini salah satu cabaran yang perlu dihadapinya untuk drama seram ini.
'Cucu Betong' akan ke udara pada pukul 4.30 petang dari hari Isnin (8 Disember) hingga Khamis dalam slot Lagenda TV3 dan merupakan kesinambungan drama ‘Anak Betong’ yang pernah popular sedikit masa dulu.
'Cucu Betong' dan 'Anak Betong' adalah arahan suami Sheila, Jinggo.
Namun, kata Shiela, ini tidak bermakna yang dia tidak risau mengenai keselamatan diri.
"Walaupun risau mengenai keselamatan diri, saya tetap memberanikan diri untuk bergantung dari tempat-tempat yang tinggi seperti di atas pokok dan bangunan pada waktu malam.
"Saya lakukan semua ini untuk mendapatkan sudut penggambaran yang terbaik," jelas Shiela semasa ditemui di majlis ramah mesra drama bersiri ‘Cucu Betong’ di Sri Pentas semalam.
Apabila ditanya kenapa aktres itu sering berlakon dibawah terbitan syarikatnya sendiri, J.S Pictures (J.S bagi singkatan nama Jinggo dan Sheila), Sheila berkata pengarah tempatan lain tidak berani memberi peluang kepadanya untuk melakonkan watak yang mencabar kepada pelakon-pelakon yang bertudung.
"Walaupun mendapat tawaran berlakon di bawah syarikat terbitan lain, saya memilih untuk berlakon dalam watak yang lebih mencabar walaupun kini sudah bertudung.
"Saya ingin menolak persepsi masyarakat yang menganggap wanita bertudung mempunyai perwatakan yang sopan dan tidak boleh beraksi lasak semasa berlakon.
Sheila juga lebih selesa berlakon dibawah arahan suaminya Jinggo.
"Suami saya memahami keadaan diri saya yang sudah bertudung dan mengizinkan saya untuk membawa watak-watak yang mencabar.
"Berlakon seperti sudah sebati dengan darah daging saya dan apabila sudah mencapai tahap ini, saya ingin melakukan sesuatu yang lebih mencabar dan berhasrat membawa watak-watak yang jarang dilakonkan oleh wanita bertudung," tambah Sheila.
Sheila kini sedang sibuk berlakon dalam drama bersiri ‘Bila Musang Berjanggut’ dan ‘Roh.’
Beliau juga akan berlakon dalam sebuah telemovie yang akan ditayangkan sempena hari Mulidur Rasul nanti.
Bercakap mengenai syarikat terbitannya iaitu J.S Pictures Sdn.Bhd, Sheila berkata syarikatnya tidak akan menerbitkan filem dalam masa terdekat.
"Kami sekarang lebih tertumpu menerbitkan drama kerana drama lebih mendapat sambutan dari filem.
"Syarikat kami juga tidak mempunyai kapasiti dari segi tenaga kerja dan kewangan buat masa ini.
"Walaupun begitu, saya mempunyai banyak idea untuk masa-masa akan datang. Saya juga bercadang untuk menerbitkan filem apabila keadaan ekonomi bertambah pulih nanti," akhiri Sheila.
Pengarah drama 'Cucu Betong', Jinggo atau nama sebenarnya Azman Yahya, pula berkata, apa yang menarik mengenai ‘Cucu Betong’ ialah ianya lebih seram dan dramatik.
"Karakter-karakter yang dipaparkan lebih menyerlah berbanding ‘Anak Betong.’
"Walaupun ianya merupakan sebuah drama sekuel, ceritanya penuh dengan misteri dan akan membuatkan penonton tertunggu-tunggu untuk episod seterusnya," jelas Jinggo.
Selain itu tambahnya lagi, walaupun drama bersiri ini hanya untuk hiburan, ada juga diselitkan ciri-ciri keislaman seperti amalan berzikir.
"Watak Malissa (lakonan Farisha Ayu) dalam drama ini akan putus asa dengan hidup dan untuk mencari ketenangan, dia akan mula berzikir.
"Walaupun drama ini hanya sekadar hiburan, ia juga disertakan dengan unsur-unsur keagamaan yang mengingatkan para penonton untuk kembali ke jalan benar," ujar Jinggo.
Sementara itu, antara barisan pelakon drama bersiri ini adalah Ezany (Zaman), Fizz Fairuz (Jagat) Sheila Rusly (Malika) Mohd Naim (Raqib) Farisha Ayu (Malissa), Maya Matahari (Naya), Sofia Jane (Ratu Solowangi) Emilda Rosmila (Katrina) dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: