
"BERSESUAIAN dengan pembelajaran sepanjang hayat dalam era globalisasi yang bergerak pantas, jika seseorang tidak menimba ilmu, mereka akan ketinggalan," ujar graduan, Khairil Anuar Yahaman pada Majlis Penganugerahan Diploma Eksekutif Kali Ke-5 yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah baru-baru ini.
Menurutnya, pembelajaran sepanjang hayat perlu dipromosikan dalam pelbagai bentuk agar orang ramai dapat mempelajari ilmu dan kemahiran baru yang boleh dimanfaatkan dalam pekerjaan, persatuan dan aktiviti lapang.
Khairil yang merupakan Pengurus Bertugas Lapangan Terbang di KLIA Sepang mengambil keputusan untuk mengikuti program Diploma Eksekutif dalam Kepimpinan Organisasi di UUM.
Program selama setahun itu membantunya berdepan dengan masalah yang timbul ketika berurusan dengan pelanggan KLIA kelak.
Ilmu yang diberikan bukan sekadar untuk mengurus tetapi turut didedahkan tentang bagaimana memimpin sama ada dalam aspek organisasi mahupun keluarga.
"Kejayaan dan masa depan banyak bergantung kepada sikap dan nilai yang diamalkan oleh anggota organisasi dengan sebaiknya, selain berusaha mengurangkan kesilapan dengan memberi perkhidmatan terbaik.
"Saya selalu berpesan kepada 'anak buah' (staf) saya supaya tidak berkonfrantasi dengan pelanggan yang banyak kerenah.
"Sebaliknya, mereka perlu memberi layanan mesra dengan penjelasan berhikmah agar mereka dapat memahami sesuatu perkara dengan baik," kata bapa kepada empat cahaya mata itu.
Tambahnya, adalah tidak mustahil untuk mencapai kejayaan sekiranya bijak menguruskan masa dan tidak menangguhkan kerja, di samping kuat pergantungan kepada Tuhan.
Sementara itu, seorang pelajar iaitu Muhammad Azreen Masri, tercabar dengan isteri yang memiliki kelulusan tinggi dan ia membulatkan tekad untuk menyambung pelajaran sehingga berjaya dinobatkan sebagai pelajar cemerlang.
Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Kawalan Trafik Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pulau Pinang kagum melihat ketabahan isteri, Norhayati Hassan mencapai kejayaan demi kejayaan sekali gus menyuntik semangat untuk mengikuti program Diploma Eksekutif Pengurusan Rangkaian Bekalan.
Bercerita mengenai program itu, Muhammad Azreen mendapat pendedahan dan ilmu baru tentang strategi membangun dan menguruskan perniagaan dengan berkesan.
Dia mengakui tidak pernah mengetahui apa yang dipelajarinya sebelum ini. Namun berbekalkan semangat cinta kepada ilmu, dia percaya konsep belajar sepanjang hayat mendorongnya untuk terus belajar sekalipun di luar bidangnya.
"Belajar sesuatu di luar bidang adakalanya mendatangkan kesukaran, namun itu semua tidak menjadi masalah. Ini kerana, saya yakin jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan komited dalam melaksanakan tugas, tiada apa yang dapat menghalang," kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang mewakili Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi memberitahu, kewujudan Pusat Pembangunan Eksekutif (PPE) UUM, telah membuka ruang kepada orang ramai untuk menimba ilmu diploma eksekutif dalam rangka pembelajaran sepanjang hayat.
"UUM bertuah kerana menjadi sebahagian daripada proses merakyatkan pengajian tinggi dalam menimba ilmu sepanjang hayat. Ia sekali gus menambah nilai kepada kualiti hidup dan pengembangan kerjaya," katanya.
Jelasnya, pembelajaran sepanjang hayat adalah salah satu hasrat untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan pada masa kini.
PPE menawarkan program latihan berbentuk kursus jangka pendek, latihan korporat dan program diploma serta sijil eksekutif, khususnya untuk golongan yang sudah bekerja.
Pada majlis itu juga menyaksikan seramai 787 graduan yang membabitkan 19 kursus Diploma Eksekutif berjaya menamatkan pengajian dengan menerima diploma eksekutif yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Samsudin Osman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: