Friday, December 4, 2009
Saya salah, bukan KD
Jika sebulan lalu kita menerima kunjungan dari penyanyi jelita dari seberang, Krisdayanti (KD), kelmarin kita menerima pula kunjungan bekas suaminya, Anang Hermansyah, 40, yang kini popular dengan lagu Separuh Jiwa Ku Pergi. Bukan sekadar untuk mempromosikan album solonya, tetapi majlis Refleksi Bersama Anang yang berlangsung di Royal Chulan Bukit Bintang itu, juga memberi peluang pada pihak media untuk menyelami isi hati komposer ini setelah berpisah dengan wanita yang dikahwininya selama 13 tahun.
Biarpun dari riak wajahnya tidaklah ceria mana, namun duda beranak dua ini cuba memberikan kerjasama yang baik kepada pihak media, malah segala persoalan termasuklah kisah perceraiannya dengan KD telah dirungkaikan dengan sebaik mungkin. Akui kecewa dengan apa yang berlaku ke atas rumah tangganya, Anang bagaimanapun tidak menyalahkan KD sebaliknya menganggap dirinya yang bersalah kerana gagal menjadi suami dan pemimpin yang baik.
Pun begitu, ujar Anang, dia tidak mahu terus dibelenggu dengan saat perit itu. Dengan semangat yang baru, dia ingin meneruskan kehidupan demi karier dan dua anaknya yang tersayang. Selebihnya, ikuti temu bual selanjutnya bersama komposer kelahiran Jember, Indonesia ini.
Bagaimana dengan kehidupan anda setelah bercerai dengan KD?
Anang: Saya dapat rasakan ‘ada’ yang kurang, tetapi kehidupan harus diteruskan. Kalu dulu saya datang ke KL ‘berdua’, tetapi sekarang hanya saya seorang. Kekuatan saya sekarang ialah Allah. Ada isteri atau tidak, saya harus hidup.
Apa pun, kini kehidupan saya bertambah baik dan yang paling penting saya mohon pada Allah agar berikan saya kesihatan yang baik agar saya dapat meneruskan karier dan menjaga dua anak (Titania Aurelia, 11, Azriel Akhbar, 9) yang memilih untuk tinggal bersama saya.
Boleh anda jelaskan apakah punca perceraian kalian dan adakah benar KD mendakwa dia sudah pun meminta cerai setelah kalian pulang daripada mengerjakan umrah?
Anang: Memang benar dia ada menyatakan hasratnya itu (cerai) selepas kami pulang umrah pada Ogos lalu. Tapi yang selebihnya tak perlulah kita perbesarkan lagi. Anak-anak sudah pun menceritakan perkara sebenar kepada saya (kecurangan KD). Sejujurnya, saya teringin melihat Yanti (KD) berkahwin dengan orang itu. Dan saya juga mahu berjumpa dengan suaminya itu nanti (pihak ketiga yang dikatakan punca keretakan rumah tangganya).
Adalah biasa kalau isteri dicurangi, bagaimana pula dengan anda yang mengalami situasi sebaliknya?
Anang: Sebenarnya bukan saya sahaja yang mengalaminya (dicurangi isteri), tetapi ramai lagi di luar sana. Cuma saya terlibat dalam industri seni dan mudah mendapat perhatian media dan orang awam. Memang saya kecewa dengan apa yang berlaku, tapi saya tidak pernah menyesal kerana saya dapat belajar daripada kesilapan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: