Wednesday, December 9, 2009

Sandiwara pengemis 'orang putih' - Warga asing dakwa mangsa samun, minta derma daripada pelancong


PASAR SENI di Kuala Lumpur tempat tumpuan pelancong asing yang membolehkan Lorella (gambar kecil) mengemis sejak seminggu lalu.


KUALA LUMPUR - Kita biasa melihat orang tempatan dan warganegara dari rantau ini yang sering menjadi pengemis di negara ini.

Bagaimanapun di tengah-tengah kesibukan ibu kota, tiba-tiba muncul kelibat seorang pengemis 'orang putih' yang menjadi perhatian ramai terutama kepada pengunjung di kawasan sekitar Pasar Seni di sini.

Selepas menerima maklumat, Kosmo! melakukan tinjauan dan mendapati, pengemis terbabit ialah seorang warganegara Itali yang bernama Castagner Lorella, 54, dari Venice dan mengaku pada awalnya dia datang ke negara ini sebagai pelancong.

Ketika ditemui, Lorella menceritakan peristiwa malangnya yang menimpanya sebelum 'bertukar' menjadi pengemis.

Dakwanya, semuanya bermula pada pukul 10 pagi pada 27 November lalu selepas barangannya dicuri di kawasan pantai berdekatan dengan sebuah hotel di Teluk Bahang, Pulau Pinang.


NOTA yang ditulis dalam tiga bahasa inilah dipegang oleh pengemis Itali, Castagner Lorella ketika mengemis di hadapan Pasar Seni, Kuala Lumpur.


Akibatnya, dia mendakwa kehilangan sejumlah wang tunai AS$300 dan wang Malaysia sebanyak RM800, tiket penerbangan, beberapa dokumen pengenalan diri serta pasport.

"Ketika itu saya mandi di laut, saya tiba-tiba melihat sekumpulan lelaki berjalan di pesisiran laut dan kemudian saya melihat pula kelibat seorang daripada mereka menyorok di belakang semak. Apabila saya keluar dari laut saya dapati beg hilang," dakwanya lagi.

Sejurus insiden itu, katanya, dia membuat laporan di Balai Polis di Teluk Bahang, Barat Daya, Pulau Pinang pada hari kejadian.

"Kemudian dengan bantuan pihak polis, saya datang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas untuk membuat laporan di Kedutaan Itali dan Pusat Maklumat Pelancongan di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini (semalam) tiada maklumat lanjut daripada pihak-pihak terbabit," ujarnya yang ditemui sambil memegang kertas yang bertulis 'Stolen my passport, fly ticket, money. Please donate me if u can' dan ia turut diterjemahkan dalam bahasa Malaysia dan Cina.

"Bagi mengurangkan kekusutan ini, saya terpaksa menebalkan muka untuk mengemis bagi menyara kehidupan seharian. Saya amat memerlukan bantuan daripada semua pihak untuk kembali ke negara asal," katanya yang memakai baju T dan berseluar panjang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: