MIA hanya berumur tujuh tahun tetapi si cilik kelahiran Lebanon itu tahu apa yang diingininya. Dia menjalani sesi kecantikan kuku, tangan dan kaki, memakai aksesori rambut yang eksotik serta mendapatkan sesi rawatan muka di spa.
Jika ramai wanita terpaksa bersusah-payah untuk mempunyai tona kulit yang serata dan cantik, resipi kecantikan Mia hanya satu. Katanya: "Makanlah coklat!"
"Coklat menjadikan kulit saya halus," jelas Mia sambil seorang pakar kecantikan menyapu sebatian cecair yang pekat ke seluruh mukanya di salun Tacular-Spa, sebuah spa kecantikan khusus untuk pelanggan remaja bawah umur dan kanak-kanak.
Kewujudan salun untuk remaja perempuan kini seakan-akan menjadi satu trend di Lebanon. Ia membawa satu perubahan imej untuk pelanggan yang mementingkan imej dan personaliti.
Diperbuat daripada gula dan ramuan rempah serta bahan-bahan terpilih, sesi rawatan muka berasaskan coklat itu popular dalam kalangan rakan-rakan Mia.
Kadangkala, mereka mencelupkan jari ke dalam sebatian coklat tersebut dan menjilatnya.
"Ia bukan mengenai isu memanjakan anak secara berlebihan tetapi lebih kepada memupuk sifat menjaga kebersihan dan penampilan diri. Secara tidak langsung, ia meningkatkan keyakinan diri," ujar Maya Hilal, 34, pemilik salun Tacular-Spa yang terletak di Ashrafieh, salah sebuah kawasan popular di Beirut.
Hilal yang juga seorang pereka grafik menata rias salunnya dengan warna yang garang untuk menaikkan mood pelanggan dengan bantuan adik perempuannya.
Idea menubuhkan salun kanak-kanak timbul apabila anak perempuan sulungnya menunjukkan minat agresif dalam kecantikan.
"Saya mula merasakan salun saya, yang dahulunya hanya untuk golongan dewasa tidak mesra kanak-kanak. Jadi, saya mulakan satu pembaharuan yang sesuai dengan minda dan kehendak kanak-kanak. Ia adalah bisnes yang menguntungkan," katanya.
Sementara itu, di sebuah salun kanak-kanak yang lain pula, rawatan kecantikan ke atas Hana telah siap. Hana telah menata rias kuku tangan dan kakinya, menjalani rawatan muka dan solekan serta rambut di salun Bella's.
Kanak-kanak di situ kelihatan malu apabila ditemubual sambil menunjukkan kelopak mata mereka yang sarat dengan pembayang mata berwarna biru berkilauan. Gadis berambut coklat gelap itu menyatakan inilah kali pertama dia berkunjung ke spa kecantikan.
Beliau berkata: "Saya ingin kelihatan cantik pada hari ini dan saya memujuk ibu saya untuk datang ke sini setelah menunjukkan iklan di dalam majalah."
"Rata-rata pelanggan di salun Bella's berumur di antara empat hingga 17 tahun," ujar pakar kecantikan, Raghida Shuman. Beliau turut berkongsi kegilaan itu dengan remaja perempuan Lebanon yang ingin kelihatan cantik seperti puteri raja.
"Para pelanggan kami menyukai sesi urutan kaki dan tata rias kuku serta mereka amat suka berpakaian seperti wanita dewasa," kata Shuman yang berumur 19 tahun.
Walaupun tiada angka rasmi tentang keuntungan yang dijana oleh pusat-pusat kecantikan seperti itu di Lebanon, namun sambutan menggalakkan daripada pelanggan sudah menjadi penanda aras bahawa industri tersebut menjanjikan pulangan yang lumayan.
Pada musim panas 2009, pihak Kementerian Pelancongan Lebanon secara agresif telah menukar imej negara tersebut sebagai hab pelancongan perubatan khususnya dalam sektor pembedahan kosmetik.
Setakat hari ini, Lebanon tidak terganggu dengan krisis ekonomi global berikutan kejatuhan saham-saham syarikat insurans
Permintaan yang tinggi terhadap keperluan pembedahan kosmetik di Lebanon dalam kalangan rakyatnya dan pelancong asing menunjukkan industri itu tidak terjejas langsung.
Fenomena itu sekali gus menggambarkan wanita Lebanon mementingkan gaya hidup yang tinggi seperti yang pernah diramalkan oleh seorang jurukamera, Spencer Platt pada tahun 2006.
Platt telah merakam foto seorang wanita muda yang sofistikated memandu kereta mini tanpa bumbung menyusuri kawasan urban di selatan Beirut yang pernah dimusnahkan oleh rejim Israel semasa bertempur dengan puak militan Shiited daripada kumpulan Hezbollah.
Foto yang dirakam oleh Platt tersebut telah memenangi anugerah World Press Photo pada tahun yang sama kerana potret itu menggambarkan gaya hidup realiti yang kompleks dan kontradiksi berdasarkan penilaian para juri.
Di sebuah negara yang masih lagi bergolak dengan kancah politik, obsesi kecantikan kosmetik yang bersifat sementara itu sebenarnya merupakan salah satu episod baru dalam kehidupan mereka.
Hilal dan Shuman turut menegaskan isu itu sebenarnya mendatangkan kesan positif kerana ia dapat mendidik kanak-kanak kecil tentang aspek penjagaan diri kerana lumrah manusia terutama lelaki suka melihat perempuan yang cantik dalam segala aspek walaupun ada segelintir lelaki beranggapan trend itu mengundang gejala negatif.
"Saya berpendapat gejala ini seperti sudah tersemat di minda mereka. Jika tidak melakukannya, maka sifat keyakinan diri seseorang itu tidak sempurna. Tidak cantik maka tidak sempurna," ujar Hiba Morcos, seorang ahli antropologi berbangsa Lubnan dan juga seorang pelajar pasca siswazah di peringkat ijazah doktor falsafah di Universiti British Columbia, Kanada.
Morcos juga berpendapat kegilaan itu berpunca daripada golongan menengah atas yang mementingkan status atau kerana budaya.
"Anak gadis dipersiapkan secantik mungkin pada majlis perkahwinan mereka di negara ini,"ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: