Saturday, December 5, 2009

Saksi setuju Memey, Norman tidak khalwat



GOMBAK - Jika pada prosiding lalu keterangannya yang memberitahu dirinya menipu dan ketua operasinya berbohong pada mahkamah berhubung kes khalwat pelakon Memey-Norman Hakim mengejutkan ramai pihak, semalam, kejutan itu berulang lagi apabila saksi pendakwaan kedua itu bersetuju tiada kejadian khalwat berlaku antara kedua pelakon tersebut.

'Kejutan' itu dibuat Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam (Selangor) bahagian Gombak Barat, Kyairool Nizam Khairudin ketika menjawab cadangan yang dikemukakan peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili kedua-dua pelakon terbabit.

Kyairool Nizam yang kelihatan seolah-olah keliru dan 'mati akal' itu terus memberikan jawapan 'setuju' apabila Fakhrul Azman mengajukan soalan berbentuk cadangan: “Oleh kerana ketika sampai di tempat kejadian kamu tidak menemui mana-mana lelaki di premis tingkat bawah tempat kamu menemui tertuduh perempuan (Memey), saya cadangkan pada kamu tiada sebarang kejadian khalwat berlaku.”

Bagaimanapun, Pegawai Penguat Kuasa Jais berusia 25 tahun itu sekali lagi memberi 'kejutan' apabila memberitahu, berhubung kes ini memang wujud kejadian khalwat seperti yang dipertuduhkan.

Saksi memberikan jawapan itu pada prosiding pemeriksaan semula yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Md Nazri Basrawi di hadapan Hakim Syarie Sallehan Yatim di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Md Nazri: Sebenarnya apakah pendirian kamu terhadap kes ini?

Kyairool Nizam: Pendirian saya adalah memang ada kejadian khalwat.

Selain itu, ketika pemeriksaan balas, Kyairool Nizam turut bersetuju dengan beberapa cadangan lain oleh peguam antara lainnya berhubung laporan polis yang dibuatnya lebih tepat daripada pertuduhan yang dikemukakan kini dan tempoh masa yang diberikan dalam laporan polis tersebut adalah bertentangan dengan pertuduhan kini yang dikemukakan pada mahkamah.

Norman Hakim atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dituduh berkhalwat dengan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, di pejabatnya di No 4-1A Jalan UP Taman Ukay Perdana, Ulu Klang pada jam kira-kira jam 3 pagi 30 Oktober 2008.

Berikutan itu, Norman Hakim didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Selangor 1995 sementara Memey didakwa di bawah Seksyen 29(1)(b) Enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: