|
|
SEMALAM, Hits telah pun memaparkan ramalan mengenai barisan aktor yang bakal disebut-sebut membawa pulang trofi Pelakon Lelaki dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) esok.
Apa yang pasti, semuanya itu hanyalah sekadar untuk menghangatkan kemeriahan ASK2009 yang akan berlangsung esok malam (4 Disember) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Untuk edisi hari ini pula, Hits akan melihat pula senarai barisan aktres yang disebut-sebut akan mendahului senarai pencalonan bagi kategori Pelakon Wanita Filem dan Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik.
Seperti mana tahun-tahun sebelum ini, pastinya kategori ini dilihat sebagai antara yang cukup menyengat dan menjadi sebutan ramai.
Tidak cukup dengan itu juga, seperti mana lazimnya, ia juga akan memperlihatkan persaingan antara muka lama dan baru yang tidak sewajarnya di pandang sebelah mata.
Barangkali ramai yang terlupa, tahun lalu kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik mencipta kejutan apabila pelakon Baizura Kahar memenanginya menerusi filem Sepi.
Jadi, adakah kejutan serupa akan berlaku dalam ASK2009? Sudah pasti, ia adalah elemen yang cukup ditunggu-tunggu kerana tanpa kejutan, bermakna acara anugerah itu tidak akan menjadi sebutan para peminat untuk jangka masa tertentu.
Melihatkan senarai 22 buah filem yang layak bertanding untuk ASK2009, beberapa nama telah dapat dikenal pasti yang bakal memberikan saingan hebat tahun ini.
Nama yang dilihat mendahului senarai pencalonan untuk kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik adalah Liyana Jasmay yang mempunyai tiga buah filem yang layak dipertandingkan iaitu Maut, Histeria dan Kami The Movie.
Cuma, filem Papadom tidak dapat dicalonkan tahun ini kerana tempoh penayangannya yang melepasi syarat pencalonan ASK2009.
harapan cerah
Berdasarkan tiga filem lakonan Liyana itu, sememangnya harapan cerah untuk si genit ini menerima lebih daripada satu pencalonan.
Jika ia terjadi, usahlah dipertikaikan kerana ia sudah menjadi adat pertandingan dalam mana-mana majlis anugerah yang sentiasa mencipta kejutannya.
Jika hendak dibandingkan lakonan Liyana dalam filem Kami The Movie, tidak dinafikan Liyana cukup cemerlang dalam filem Histeria yang berjaya memperlihatkan emosi dan penghayatannya dalam filem arahan James Lee itu.
Teringat kata seorang teman, Liyana memberikan lakonan yang memberangsangkan dan terpancar jelas ekspresi wajahnya dalam membawakan watak Murni. Kerana itu tidak mustahil untuk Liyana membawa pulang trofi idaman ramai itu.
Tetapi, laluan Liyana tidaklah semudah yang disangka kerana dia perlu berdepan dengan muka baru iaitu Mas Muharni yang membawakan watak gadis sengau dalam filem Wayang.
Lakonannya dalam filem arahan Hatta Azad Khan membuktikan bahawa Mas mempunyai harapan cerah dalam bidang lakonan seandainya terus diberi peluang serta watak yang mampu mencabar dirinya.
Apatah lagi Mas pernah dicalonkan untuk Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia tahun lalu dan atas faktor itu, tiada sebab untuk Mas tidak wajar untuk dipinggirkan daripada dicalonkan.
Siapa tahu, ASK2009 akan berpihak kepada Nabila Huda yang juga berpotensi besar untuk membawa pulang anugerah ini.
Lakonannya dalam filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam telah membuktikan bahawa Nabila adalah pelakon generasi baru yang mampu pergi jauh dalam bidang seni.
Siapa tahu dengan rezeki bayi yang dikandungnya kini, malam itu nanti akan menjadi milik Nabila sementelah dia tewas di tangan Liyana pada Festival Filem Malaysia tahun ini.
Bakat baru, Heliza Helmi juga mampu menerobosi tembok kebal pencalonan bagi kategori Pelakon Wanita Filem Terbaik.
Biarpun ada yang mengkritik lakonannya dalam filem Syurga Cinta sebagai biasa sahaja tetapi Heliza membuktikan lakonannya adalah di landasannya yang tersendiri.
Kalau nama Heliza boleh tersangkut dalam senarai lima aktres terbaik dalam Festival Filem Malaysia baru-baru ini, masakan dia tidak boleh dicalonkan dalam ASK 2009.
Mungkin nama Sabrina Hassan agak asing pada segelintir peminat hiburan tanah air tetapi hakikatnya aktres ini sudah lama berkecimpung dalam bidang seni khususnya teater.
Lakonannya dalam filem Maut arahan Bade Azmi cukup menyakinkan apabila dia membawakan watak seorang pramugari yang hidup dalam cara kebaratan sehingga meninggalkan landasan Islam yang dipegang selama ini.
Keinsafan mula timbul apabila dia tiba-tiba rebah lalu koma dan mula mendapat bayangan disiksa sebagaimana yang tercatat dalam hukum Islam.
Dan, jangan terkejut kalau Sabrina menang pada malam itu nanti.
Kategori Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik juga tidak kurang hebatnya apabila nama-nama handalan dilihat bersaing dengan cukup hebat untuk merebut gelaran ini.
Nama Ida Nerina antara nama yang disebut-sebut mampu mengungguli kategori ini sementelah dua buah filem lakonannya, Susuk dan Wayang merupakan antara 22 buah filem yang dipertandingkan.
kehebatan Ida Nerina
Siapa yang mampu menidakkan kehebatan Ida sebagai seorang aktres yang cukup disegani kerana apa sahaja watak yang dibawanya, gagal sekali dia mengecewakan.
Begitu juga dalam filem Susuk dan Wayang yang melihatkan dua sisi berbeza Ida dalam melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang aktres.
Dan, tidak mustahil untuk Ida menerima dua pencalonan dalam kategori berkenaan setelah namanya tercicir tahun lalu pada Festival Filem Malaysia.
Tetapi, Ida tidak boleh berasa selesa kerana dia perlu berdepan dengan dua aktres serba boleh yang dilihat mampu memberikan saingan hebat kepada Ida.
Adibah Noor dan Sukania Venugopal, kedua-duanya membintangi filem Talentime serta memberikan lakonan yang cukup menarik.
Adibah seperti biasa dengan lakonannya yang mencuit hati dan bersahaja sebagai Cikgu Adibah telah menyerikan filem Talentime.
Namun, perhatian harus diberi kepada Sukania yang mencuri perhatian dalam filem berkenaan biarpun kemunculannya hanyalah untuk beberapa adegan sahaja.
Kalau ada yang tidak tahu, Sukania merupakan pelakon yang cukup sinonim di pentas teater dan Talentime merupakan filem pertama lakonannya.
Membawakan watak seorang ibu yang berdepan dengan tekanan emosi, kehebatan Sukania dalam filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu memang sukar dinafikan.
Pemenang Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia Ke-22, Jaclyn Victor juga mampu mencuri perhatian seandainya dia berjaya menembusi tembok kebal senarai pencalonan.
Usah sesekali memandang sebelah mata kepada lakonan Jac kerana biarpun pertama kali berlakon filem, hasil yang diberikan tidak kurang hebatnya.
Nama Scha Alyahya juga mencuri tumpuan kali ini memandangkan lakonannya dalam filem Histeria juga menjadi bualan ramai terutama adegan ciumnya bersama Norliana Samsudin dalam filem berkenaan.
Siapa tahu, dengan mempamerkan lakonan yang bersahaja itu mampu menganugerahkan Scha dengan gelaran Pelakon Pembantu Filem Wanita Terbaik ASK2009. Rasanya bukan satu kejutan kalau Scha menang pada malam itu nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: