Tuesday, December 8, 2009

Rusuhan di Greece masuk hari kedua


SEORANG penunjuk perasaan ditahan oleh anggota polis dalam satu tunjuk perasaan di Athens, Greece.


ATHENS - Lebih 3,000 orang kebanyakannya remaja yang bertopeng membaling batu dan bom api serta memecah tingkap kedai-kedai pada hari kedua rusuhan di sini semalam.

Kejadian itu berlanjutkan pada hari kedua selepas ia pertama kali berlaku semasa memperingati ulang tahun pertama insiden seorang remaja, Alexis Grigoropoulos, ditembak mati oleh polis sehingga mencetuskan protes besar-besaran pada tahun lalu.

Perusuh yang kebanyakannya pelajar sekolah tinggi berarak kelmarin sebelum mereka menyerang polis dengan batu dan mercun serta merosakkan perhentian bas dan pondok telefon awam.

Kumpulan itu turut mencederakan seorang pelajar yang cuba menghalang mereka daripada melakukan keganasan serta memukul seorang lelaki pertengahan umur sehingga pengsan.

Pertempuran kecil turut dilaporkan berlaku semasa satu perarakan disertai 2,000 orang diadakan di bandar raya kedua terbesar Greece, Thessaloniki tetapi berjaya disurai polis dengan gas pemedih mata.

Pihak polis Greece berkata, seramai 780 orang ditahan kerana kesalahan mengganggu ketenteraman awam di seluruh negara sejak Sabtu lalu sehingga awal semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: