Tuesday, December 8, 2009

Arab Saudi ragui pakar iklim


ORANG ramai beratur untuk memasuki pusat konvensyen Sidang Perubahan Iklim di Copenhagen, Denmark.


COPENHAGEN - Seorang pegawai Arab Saudi memberitahu sidang kemuncak pemanasan global di sini semalam bahawa kepercayaan dalam bidang sains iklim 'digemparkan' oleh pembocoran maklumat melalui e-mel di kalangan pakar iklim dan meminta satu siasatan antarabangsa dilakukan bagi menanganinya.

"Tahap kepercayaan jelas 'digemparkan', terutamanya sekarang ini apabila kami bersedia untuk memuktamad satu persetujuan yang memerlukan kami mengorbankan kepentingan ekonomi kami," kata perunding utama Arab Saudi, Mohammed al-Sabban semasa pembukaan Sidang Perubahan Iklim itu semalam yang dijadualkan berakhir pada 18 Disember ini.

Beliau meminta isu berkenaan disiasat oleh sebuah badan bebas antarabangsa tetapi menyatakan bahawa badan saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak berupaya melakukan siasatan tersebut.

"IPCC tidak berupaya melakukan siasatan itu," katanya yang merujuk kepada badan PBB tersebut iaitu Panel Bagi Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC).

"Kami berpendapat ia nyata akan menjejaskan kepercayaan dalam rundingan ini," tambahnya.

Arab Saudi ialah anggota pengeluar dan pengeskport utama minyak Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).


BEBERAPA anggota pertubuhan bukan kerajaan yang membuat protes mengenai pemanasan global berbaring di sebuah lokasi di Copenhagen.


Sebelum ini, pihak yang sangsi dengan isu perubahan iklim telah menggodam sejumlah e-mel yang ditulis oleh pakar-pakar iklim dan mendakwa mereka berpakat untuk menyekat data pihak lain dan cuma mengetengahkan penemuan mereka.

Sejumlah e-mel itu yang sebahagiannya ditulis 13 tahun lalu dicuri oleh penggodam-penggodam misteri dan disebarkan meluas di Internet.

Golongan yang meragui pemanasan global menyatakan bahawa e-mel itu menunjukkan bahawa saintis-saintis berkenaan memanipulasi bukti penemuan mereka.

Sebelum ini satu e-mel yang disahkan asli oleh Universiti East Anglia di Britain mendedahkan Ketua Unit Penyelidikan Iklim (CRU) di universiti itu, Phil Jones berkata, beliau mahu memastikan satu hasil kajian yang meragui isu pemanasan global tidak dimasukkan dalam laporan IPCC pada 2007.

Perunding Arab Saudi itu memberitahu delegasi sidang tersebut bahawa isu yang berlaku itu boleh memberikan kesan negatif ke atas Sidang Kemuncak Copenhagen selain menjejaskan kepercayaan terhadap bidang sains iklim.

"Kami berpendapat skandal ini nyata akan menjejaskan apa yang dapat dicapai di Copenhagen," kata Mohammed.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: