Sunday, December 6, 2009

Raja Thai keluar hospital sambut hari lahir


RAJA Bhumibol dibawa dengan kerusi roda khas ketika diiringi keluar dari Hospital Siriraj, Bangkok sempena Hari Keputeraan ke-82 tahun baginda.


PEMERINTAH diraja paling lama Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej keluar dari sebuah hospital di sini untuk menyambut hari keputeraan baginda yang ke-82 tahun semalam.

Ia merupakan kemunculan kali pertama baginda di khalayak ramai setelah dimasukkan ke Hospital Siriraj lebih dua bulan lalu untuk rawatan pneumonia, keletihan dan demam.

Ribuan rakyat Thailand berbaris di sepanjang jalan menuju ke istana utama sambil mengibarkan bendera ketika baginda diiringi oleh permaisuri, Ratu Sirikit keluar dari hospital itu.

Dalam titah ringkas yang disiarkan menerusi semua stesen televisyen tempatan, Raja Bhumibol mengucapkan terima kasih kepada rakyat Thailand yang sentiasa mendoakan kesihatan baginda selama ini.

Biarpun dibawa dengan kerusi roda, baginda yang memerintah sejak 1946 dan dianggap paling lama di dunia, sempat berpesan kepada rakyat agar terus bekerja untuk negara.

Pelbagai acara meriah diadakan sempena hari keputeraan Raja Bhumibol yang amat disayangi oleh 67 juta rakyat Thai termasuk perarakan bot diraja dan pertunjukan bunga api.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: