Saturday, December 26, 2009

Radio Rosak terpaksa mengalah


EDRIE (duduk dua dari kanan) bersama penyanyi yang terlibat dalam konsert Radio Rosak 2009. Dia terpaksa akur menundakan konsert itu pada Mac tahun depan.

KONSERT Radio Rosak 2009 yang sepatutnya berlangsung hari ini (26 Disember) terpaksa ditunda atas sebab tertentu yang mungkin sudah diketahui ramai.

Walaupun pihak penganjurnya, Neo Worldwide Entertainment enggan menjelaskan lebih lanjut faktornya, penganjuran satu lagi konsert skala besar, Rock The World di tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil pada hari yang sama menjadi punca utama penangguhan tersebut.

"Ramai orang tahu sebabnya tetapi kami tidak mahu kecoh. Kami juga tidak bersemuka dengan penganjur itu kerana tidak mahu bergaduh atau bermusuh.

"Memang saya berasa kecewa kerana Radio Rosak adalah impian saya. Rasanya macam hendak menangis tetapi ini adalah lumrah dunia hiburan," kata Pengarah Projek Konsert Radio Rosak 2009, Edrie Hashim pada sidang media mengumumkan penundaan itu.

Ditunda ke 6 Mac 2010, konsert yang menampilkan kumpulan Search, Wings, OAG serta 11 lagi kumpulan indie seperti Bunkface, The Rhaman, Estranged, Zip Ziller, Stereo Sakti dan Auburn masih akan diadakan di lokasi sama iaitu Stadium Negara Kuala Lumpur.

"Kami telah cuba sedaya upaya dengan harapan konsert ini boleh berjalan seperti yang dirancang sebelumnya. Namun, selepas berbincang dengan pihak penaja dan artis, kami merasakan adalah lebih baik tarikh konsert ditukar supaya jumlah audiens tidak berpecah. Memanglah kami sudah lama merancang tetapi kami terpaksa akur," tambah Edrie.

Disebabkan mahu konsert Radio Rosak 2009 segagah yang dirancang, jualan tiket yang agak perlahan juga menjadi sebahagian daripada punca persembahan itu ditangguh. Akui Edrie, "Kita memang yakin dengan barisan artis yang akan membuat persembahan. Sebab itulah kami mencuba sehingga hari Rabu sebelum membuat keputusan untuk tangguh.

"Lagipun kami mahu mendapatkan antara 8,000 hingga 10,000 penonton. Buat masa ini, jumlah yang dikehendaki belum tercapai. Mungkin kerana ramai peminat suka membeli tiket pada hari yang sama."

Konsert Radio Rosak 2009 sebelum ini sudah diadakan di tiga lokasi berlainan iaitu Johor Bahru (April), Pasir Gudang (Jun) dan Melaka (Oktober). Mendapat sambutan menggalakkan, Edrie percaya projek itu membuktikan bahawa peminat masih dahagakan muzik.

"Ini adalah petanda baik kerana ketiga-tiga konsert itu adalah berbayar. Maka, saya berharap mereka yang membeli tiket tidak akan memulangkan semula tiket itu kerana kami sudah ada tarikh baru. Tiket itu masih boleh digunakan. Namun, kepada mereka yang mahu menebus semula wang, mereka perlu tunggu dahulu kerana kami perlu berbincang dengan pihak yang menjual tiket."

Mahu memberi fokus sepenuhnya kepada tarikh baru konsert, penangguhan itu juga dilihat satu peluang baik pihak penganjur membuat promosi. "Kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan. Tapi ini adalah cara terbaik yang boleh dibuat.

"Kami memilih bulan Mac depan kerana jarak tiga bulan itu boleh digunakan sebaik mungkin untuk menjalankan promosi. Selain daripada itu, ia juga akan dijadikan sebagai konsert permulaan kepada siri jelajah konsert Radio Rosak 2010 nanti," ujar Edrie.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: