Friday, December 11, 2009

Persamaan Samantha, Natrah


DRAMATIK... Samantha (kanan) sebagai Adeline dan Iqbal Taufik (kiri) sebagai Sarjan Hertogh sewaktu berkonfrontasi dengan Natrah (Maya Karin) dalam salah satu babak teater Natrah.


TERLALU banyak kisah mengenai pementasan teater Natrah yang sedang berlangsung sudah kami kongsi dengan anda. Kalau ada pun, cerita seorang tenaga penting dalam pementasan itu yang semakin hari semakin mendapat perhatian peminat teater dan media tempatan.

Yang dimaksudkan ialah salah seorang daripada bekas ratu cantik yang beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Mungkin sebelum ini ramai yang tidak menyedari kehadirannya sebagai seorang aktres kerana dia lebih menyerlah sebagai di pentas peragaan, televisyen dan iklan berbanding lakonan.

Tetapi watak Adeline Hertogh yang dibawakan dengan cukup cemerlang dan hebat oleh Samantha Schubert sememangnya membuktikan dia seorang aktres yang tidak hanya mempertaruhkan rupa semata-mata.

Lontaran emosinya membawakan watak berkenaan memang benar-benar memberikan impak dan lakonannya juga berjaya menyakinkan penonton dengan bakatnya itu.

Tetapi bagi Samantha, saat ditawarkan oleh Erma Fatima untuk membawakan watak Adeline dia pada mulanya kurang yakin dengan dirinya sendiri.

Bukan apa, Samantha cuma bimbang seandainya dia tidak mampu membawakan watak Adeline seperti yang dimahukan oleh Erma kerana bimbang dengan penguasaan bahasa Melayunya.

Apatah lagi, dia juga perlu bermonolog di dalam bahasa Melayu lantas membuatkannya sedikit gusar untuk melakonkan watak Adeline.

“Memang saya takut kerana teater Natrah adalah kali pertama memerlukan saya mengucapkan dialog dalam bahasa Melayu dan ditambah pula, perlu beraksi di pentas berskala besar.

“Mujurlah saya mendapat bantuan daripada Erma dan Sofia yang membantu saya untuk menterjemahkan dialog berkenaan ke bahasa Inggeris untuk saya memahami maksudnya,” katanya membuka bicara pada sesi fotografi di kediamannya yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, apa sebetulnya yang mendorong Samantha tertarik untuk berlakon teater Natrah? Sambil tersenyum, wanita tinggi lampai ini menjelaskan, semuanya kerana subjek itu sendiri.

Kata Samantha, perjalanan hidup Natrah yang penuh liku itu sememangnya cukup menarik untuk dikisahkan selain dapat beraksi di atas pentas bersama pelakon-pelakon handalan terutamanya Sofia yang diangkatnya sebagai idola.

Malah, bukan satu tugas yang mudah untuk menggabungkan kisah hidupnya lalu dizahirkan di atas pentas.

Menyorot kisah hidup Natrah barangkali ada persamaan dengan diri Samantha sendiri yang juga merupakan anak angkat kepada pasangan dari Sri Lanka dan England.

“Kerana itu, saya mudah menghayati watak Adeline kerana saya cuba meletakkan diri saya sendiri dalam kisah hidup Natrah.

“Perasaan yang berbelah bagi dan berada di persimpangan antara ibu angkat yang mendidiknya sejak kecil ataupun ibu kandung yang mengandung dan melahirkannya selama sembilan bulan.

“Daripada konflik ini, kita sendiri akan tertanya dan berfikir sendiri siapakah yang seharusnya memiliki Natrah. Memang benar, watak Adeline yang saya bawakan bukan calang-calang kerana ia menuntut cabaran yang cukup tinggi,” jelas Samantha yang mengakui tidak pernah bertemu ibu bapa kandungnya yang berbangsa Cina dari Melaka (ibu) dan New Zealand (bapa).

Sekadar menyingkap profil seninya, sewaktu Samantha mula menceburi bidang seni, sememangnya nama dia lebih dikenali sebagai seorang model.

Malah, statusnya sebagai Miss Malaysia 1991 itu juga membuatkan ramai yang beranggapan dan berfikiran bahawa minat Samantha tidak cenderung kepada dunia lakonan.

Tetapi, hakikatnya Samantha membuktikan bahawa bekas ratu cantik sepertinya juga memiliki bakat lakonan yang tersendiri.

Masakan boleh lupa bagaimana dia menghidupkan watak seorang wanita Inggeris yang memeluk agama Islam dalam drama Mary Jane Mardiana dengan jayanya.

Drama yang pernah ditayangkan sekitar awal tahun 90-an itu menyaksikan anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu bergandingan dengan aktor hebat, Shaharudin Thamby manakala Eizlan Yusof dan Zizie Ezette sebagai anak-anaknya.

Selepas kejayaan drama tersebut, Samantha berhijrah ke England sekitar tahun 1996 untuk mendalami ilmu lakonan drama dan teater.

Selama tujuh tahun berada di sana, pelbagai pengalaman yang dikutip Samantha dan di bumi London itu jugalah, dia bertemu jodoh dengan suaminya, Oliver Knott yang juga seorang pembikin filem.

Mungkin ramai yang tidak tahu Oliver merupakan pengarah filem The Red Kebaya yang turut dilakonkan oleh Samantha bersama-sama Vanidah Imran dan Ramli Hassan.

Hasil perkahwinan selama tujuh tahun itu, mereka dikurniakan dengan seorang bayi lelaki bernama Thomas Oliver yang kini berusia 14 bulan.

Sebelum kelahiran Thomas, Samantha dan suaminya terlebih dahulu mengambil sepasang kanak-kanak bernama Jodie Pearl, 6, dan Harry Carl Stephen Knott, 3, sebagai anak angkat.

Melihat kepada kejayaannya sekarang, Samantha bersyukur kerana kehadirannya sebagai pelakon di bumi Malaysia diterima dengan baik lantas dia mensyukuri dengan apa yang dimilikinya hari ini.

Impak yang terhasil menerusi lakonan cemerlangnya sebagai wanita kejam dan tidak berhati perut bernama Davina Reynolds dalam filem The Red Kebaya benar-benar melonjakkan namanya.

Lebih manis lagi buat Samantha apabila wataknya itu dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20.

Biarpun tewas ditangan Azean Irdawaty yang memenanginya untuk filem Waris Jari Hantu, tetapi kekecewaannya ditebus apabila Samantha menjulang trofi Karakter Wanita Jahat Terbaik pada majlis anugerah Oskar Keenam pada tahun 2007.

“Apabila saya mengenang kembali momen indah, saya hanya mampu tersenyum sendirian kerana tidak menyangka saya akan diterima sebaik ini.

“Saya akan meneruskan bidang seni selagi saya terdaya kerana suami saya juga tidak pernah menghalang tetapi pesannya, jangan sampai mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

“Dalam masa yang sama, saya harus melihat skrip dan watak yang lebih mencabar serta sesuai dengan usia saya sebelum saya menerima sebarang tawaran,” katanya yang meletakkan trofi Oskarnya itu di dalam bilik mandi.

Dalam perkembangan lain, Samantha dan Oliver kini sedang berusaha untuk mencari dana serta pelabur dari dalam dan luar negara agar mereka dapat menerbitkan filem cereka pertama berjudul Inside Out.

Filem bercorak psychological thriller itu dipanjangkan daripada filem pendek dengan judul sama yang pernah diterbitkan dan diarahkan oleh Oliver pada tahun 2002.

Lebih membanggakan, filem pendek itu pernah memenangi lima anugerah di lima festival filem antarabangsa berbeza termasuk di Itali dan Amerika Syarikat.

Jelas Samantha, untuk menerbitkan filem itu dia memerlukan sekitar AS$7 juta (RM25 juta) selain mahu menampilkan pelakon popular dan berkaliber sebagai strategi untuk menjual filem tersebut.

Sempat juga mengusiknya, mengapa bukan dia sahaja yang memegang peranan utama dalam filem tersebut memandangkan ia diterbitkan olehnya sendiri.

“Siapa yang kenal dengan saya dan kalau saya yang berlakon nanti, mesti tidak ada orang yang mahu tonton filem itu,” katanya sambil ketawa kecil sambil mengimpikan aktres Thandie Newton membintangi filem terbitan syarikatnya, OK Films Sdn. Bhd. itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: