Thursday, December 10, 2009

Dituduh lupa daratan


MESKI kisahnya tidak sehangat Katrina Kaif di laman web atau secantik bekas Ratu Dunia, Aishwarya Rai, hakikatnya bintang Slumdog Millionaire, Freida Pinto, 25, antara aktres Bollywood yang menjadi pujaan ramai.

Pemilik wajah menawan ini sentiasa menjadi rebutan dan berada dalam senarai produser serta pengarah terkenal Bollywood. Meskipun ramai yang sedia maklum sejak filem Slumdog Millionaire yang dibintanginya bersama Dev Patel memenangi Filem Terbaik menerusi Academy Award tahun lalu, Freida meletakkan filem Hollywood sebagai keutamaannya bukan Bollywood.

Malah, keangkuhan sikap gadis cantik itu serta pihak pengurusannya banyak kali ditempelak media India kerana dikatakan lupa daratan ekoran kenyataannya yang memberi keutamaan kepada filem Hollywood. Ia secara tidak langsung menghina pengkarya filem Bollywood.

Bahkan beberapa pengarah terkenal Bollywood mengeluh kerana pengurusan Freida langsung tidak memberi maklum balas sama ada pelakon itu bersetuju atau tidak membintangi filem ditawarkan mereka.

Pun begitu, ada yang masih tidak berputus asa dan kerana terlalu menginginkan Freida yang dilantik sebagai duta dan jurucakap produk kosmetik jenama terkenal L'Oreal itu, mereka sanggup menunggunya.

Setiap hari jadualnya padat dengan pelbagai aktiviti antaranya memenuhi penggambaran filem, festival dan undangan ke majlis berprestij di Hollywood.

Freida berkata, meskipun terluka dengan kenyataan media di negaranya, dia tidak peduli kerana selagi mendapat peluang beraksi di pentas Hollywood dia akan melakukannya bukan demi kepentingan kerjayanya saja, tetapi juga sebagai bakti kepada negaranya yang tercinta.

"Saya dituduh lupa dataran, tetapi tidak mengapa. Saya tidak berkecil hati. Apa yang boleh dikatakan saya sekadar mahu merebut peluang yang terbentang depan mata kerana bukan mudah untuk aktres luar diterima masuk di Hollywood.

"Kini saya berjaya mendapat peluang itu. Justeru, wajarlah ruang yang ada itu digunakan sebaik mungkin. Sedikit mengecewakan apabila tindakan saya itu disalah anggap.

"Sedikit pun tidak pernah berniat menghina filem penggiat seni Bollywood cuma buat masa ini saya tidak mampu mengesahkan mana-mana tawaran disebabkan keterbatasan waktu memandangkan terdapat beberapa projek filem yang terpaksa saya selesaikan," katanya.
Sering berulang-alik ke Amerika Syarikat, Perancis dan London, Freida yang memegang watak Katika menerusi filem Slumdog Millionaire baru selesai menyiapkan filem Miral, usaha sama Perancis dan Israel arahan Julian Schnabel.

Sebaik tamat penggambaran filem itu, Freida terikat dengan penggambaran You Will Meet A Tall Dark Stranger arahan Woody Allen's yang turut menampilkan pelakon pembantu Antonio Banderas, Josh Brolin, Anthony Hopkins, Anupam Kher dan Naomi Watts.


Mendaki senarai carta pelakon Bollywood yang mendapat bayaran paling mahal sekali gus mengetepikan Aishwarya Rai, wajah baru L'Oreal untuk pasaran Perancis itu khabarnya menandatangani kontrak khas dan lumayan bersama jenama Estee Lauder.

Bagaimanapun, Freida enggan bercakap mengenainya selagi kontrak bersama L'Oreal untuk mempromosikan maskara terbaru keluaran produk itu belum tamat.

Sebagai duta L'oreal sendiri, Freida berjaya meletakkan dirinya sebaris selebriti hebat seperti Jennifer Aniston, Eva Longoria, Penelope Cruz, Beyonce Knowles, Kerry Washington dan Aishwarya.

"Saya sangat bersyukur kerana semua ini tidak pernah saya impikan, namun ia berlaku juga dalam hidup ini. Saya berasa sungguh istimewa," katanya.

Beralih kepada kisah peribadi, dalam meniti kehidupan yang semakin sibuk buah hati kepada Dev Patel yang juga pasangannya dalam filem Slumdog Millionaire, sempat melapangkan waktu bersama bagi melepaskan kerinduan.

Hujung minggu lalu, Freida dan Dev mengunjungi zoo sebelum menghala tujuan mereka dengan memilih menghabiskan masa bersama di restoran dan kelab malam yang mahal untuk berhibur tanpa sebarang gangguan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: