Friday, December 18, 2009

Perdana Menteri Itali keluar hospital


BERLUSCONI melambaikan tangan semasa keluar dari sebuah hospital di MIlan.


MILAN - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi semalam menyatakan bahawa lebih ramai orang yang menyayangi beliau berbanding mereka yang membencinya.

Berlusconi dibenarkan meninggalkan sebuah hospital di sini pada pagi semalam selepas beliau dirawat selama empat hari akibat diserang oleh seorang pesakit mental hujung minggu lalu dengan satu replika gereja.

"Dua perkara semasa berada di hospital kekal dalam ingatan saya iaitu kebencian melibatkan segolongan kecil dan kesayangan yang ditunjukkan oleh ramai rakyat Itali," kata perdana menteri berumur 73 tahun itu.

Berlusconi mengalami kecederaan muka yang serius selepas lelaki tersebut, Massimo Tartaglia menggenggam sebuah replika gereja Milan dan menyerang mukanya semasa beliau menghadiri perhimpunan politik Parti Kebebasan Rakyat pimpinannya di sini.

"Dalam masa beberapa hari lepas, saya dapat merasakan sesetengah pemimpin pembangkang turut bersimpati dengan saya," katanya menerusi satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menyeru iklim politik yang lebih tenang di Itali dan meminta rakyat menggunakan dialog bagi menyelesaikan sebarang perbezaan.

Sementara itu, Tartaglia, 42, masih berada dalam tahanan polis walaupun peguamnya meminta beliau ditempatkan di sebuah hospital mental buat sementara waktu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: