Thursday, December 24, 2009

Pengarah syarikat dituduh terima deposit haram

KUALA LUMPUR - Sehari selepas seorang penerbit filem dan dua anak perempuannya dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM60 juta, semalam giliran syarikat pelancongan juga milik mereka menghadapi dakwaan menerima deposit haram di Mahkamah Sesyen di sini.

Noradzma Datuk Adzhar, 33, selaku pengarah syarikat pelancongan Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan.

Kelmarin, di mahkamah sama, bapa Noradzma, Datuk Adzhar Sulaiman, 54, seorang penerbit filem menghadapi 28 pertuduhan terlibat mengubah wang haram berjumlah RM60 juta manakala Noradzma dan Noradzrin, 24, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) masing-masing dikenakan 166 pertuduhan serupa.

Mereka didakwa menggunakan wang haram tersebut untuk membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang, produk insurans, pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat mereka.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa buah bank di sekitar Kuala Lumpur termasuk di EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad dan Eoncap Islamic Berhad antara 14 Ogos 2007 hingga 6 Januari 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: