Sunday, December 13, 2009

Pembaharuan industri seni lukis


KETUA Penagrah Balai Seni Lukis Negara, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa. Dibelakangnya ialah Lukisan Syeh AhmadJamal (99).


PENGUMUMAN kerajaan dalam pembentangan bajet baru-baru ini melibatkan industri kreatif negara dilihat sebagai satu usaha menghargai seluruh penggiat kreatif negara untuk lebih berdaya saing.

Kerajaan juga berpendapat industri kreatif mampu memacu negara ke kemuncak kemajuan, kreatif dan daya pemikiran di luar kotak perlu dicambah dan dirangsangkan.

Lantaran itu, industri kreatif wajar dimajukan lagi untuk menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Industri ini meliputi seni persembahan dan muzik, reka bentuk, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan.

Bagi menyelaras perkembangan pelbagai segmen dalam industri ini, kerajaan akan menggubal Dasar Industri Kreatif yang komprehensif sebagai asas pembangunan industri kreatif negara.

Selain itu kerajaan juga akan menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta bagi menyediakan aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklan dan pembangunan kandungan tempatan.

Dana berbentuk pinjaman dengan kadar faedah rendah akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). Yang mustahaknya, urusan mendapatkan pinjaman ini akan dipermudahkan supaya boleh dimanfaatkan oleh industri.

Penggiat seni juga tidak sekali-kali diabaikan. Oleh itu kerajaan menubuhkan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan perhatian dan sejumlah RM3 juta akan diperuntukkan sebagai geran pelancaran.

Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, kerajaan sudah memandang tinggi kepentingan industri kreatif negara dan mahu ia dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi pelbagai cabang kreativiti.

"Kita sedar ada masyarakat yang terkejut apabila mula mendengar tentang industri kreatif negara ini. Tetapi sudah menjadi matlamat kita di BSLN untuk melihat industri kreatif negara terus berkembang pesat seiring dengan industri yang lain.

"Dalam bidang lukisan contohnya, orang hanya melihat ia sebagai hiasan yang menghiasi dinding-dinding rumah sahaja. Tapi dalam pasaran yang lebih luas, lukisan juga mampu dijadikan sebagai satu perniagaan dan pelaburan yang mampu memberikan pulangan yang lumayan.

"Hal ini jarang berlaku di Malaysia tetapi jika di negara luar ia sudah menjadi sebuah industri yang penting terutamanya negara maju," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi Najib, dia berbangga apabila melihat perkembangan dunia animasi tempatan seperti animasi Upin & Ipin yang begitu diminati ramai dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada segenap lapisan masyarakat.

"Animasi sebegini tidak hanya tertumpu kepada kandungan semata-mata tetapi jika kita melihat asasnya ia memerlukan kepakaran dalam bidang lukisan bagi membangunkan watak atau latar sebelum sesebuah animasi dihasilkan," jelasnya lagi.

l Tumpu bidang lukisan

Bagi pihak BSLN, Najib menganggap ia sebagai satu penghargaan kepada pihaknya memandangkan BSLN lebih tertumpu kepada bidang lukisan dan seni yang berkaitan dengannya.

Pelbagai perancangan dan aktiviti sudah dirancang bagi meningkatkan lagi bidang seni untuk lebih berdaya saing seperti bidang-bidang lain.

"BSLN hanya sebagai platform untuk para pelukis tempatan. Ia bukan sekadar sebuah tempat pameran tetapi kita juga turut memberikan pelbagai kemudahan lain dan termasuklah membantu mereka untuk lebih maju.

"Jika satu ketika dahulu kebanyakan pelukis tempatan hanya melukis di kaki-kaki lima, kali ini BSLN telah menyediakan tempat khas untuk mereka dan kabin khusus untuk mereka berkarya dan tinggal.

"Kita cuba sedaya upaya untuk membantu mereka dan alhamdulillah kebanyakan pelukis yang ada pada hari ini lebih terjamin dan mempunyai masa depan yang lebih cerah," ujarnya.

Sebelum ini ada stigma yang menganggap kerjaya sebagai pelukis tidak menjamin masa depan berbanding dengan kerjaya lain. Namun situasinya sudah jauh berubah memandangkan kebanyakan daripada pelukis muda hari ini sudah mempunyai pelajaran dan pengetahuan dalam bidang ini.

Bagi Najib, ini adalah satu perkembangan yang positif jika melihatkan kepada pencapaian sesetengah pelukis yang menjadikan bidang ini sebagai satu kerjaya tetap.

Ini ditambah lagi dengan peranan yang dimainkan hampir 180 galeri swasta yang sedikit sebanyak membantu mempamerkan dan memasarkan karya pelukis tempatan.

"Memang jauh bezanya apabila melihat persekitaran bidang lukisan pada masa kini berbanding dahulu. Dulu semua perkara dilakukan secara sendiri-sendiri memandangkan tidak banyak galeri swasta yang wujud.

"Tapi kini banyak galeri swasta memainkan peranan dan membantu BSLN menaikkan nama pelukis-pelukis tempatan yang benar-benar berbakat dan setidak-tidaknya mereka dapat bersaing dalam suasana ekonomi bebas," katanya.

Setakat ini peranan yang dimainkan oleh generasi muda tidak boleh dipandang enteng memandangkan penglibatan golongan muda dalam menaikkan jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa semakin berkembang pesat.

Sambil memberikan contoh kejayaan yang dikecapi oleh kumpulan Matahati yang berjaya membuat pameran di Amerika Syarikat baru-baru ini, Najib juga mahukan lebih banyak pencapaian generasi muda untuk sama-sama menaikkan nama negara ke peringkat global.

"Semua pelukis perlu mempunyai pendedahan dalam apa juga bidang dan dari situ mereka akan mendapat pengalaman untuk bekalan pada masa akan datang. Pergaulan mereka bersama-sama orang yang berpengalaman juga amat penting bagi mendapatkan ilmu sebagai bekalan pada masa hadapan," katanya.

Najib juga menganggap tahun 2010 merupakan tahun yang genting dan penuh dengan cabaran memandangkan suasana ekonomi negara yang tidak menentu dan akan memberikan sedikit sebanyak impak kepada industri kreatif ini.

Untuk itu pelbagai rundingan telah dibuat dengan pihak kedutaan pelbagai buah negara bagi membawa masuk karya mereka ke sini dan sebaliknya.

Tambahnya, pelbagai program residensi telah diatur bagi membawa pelukis muda tempatan ke luar negara untuk menimba ilmu dan memberikan pendedahan kepada mereka.

"Saya tidak menafikan ada yang kurang senang apabila pameran luar negara dibawa masuk ke sini. Kita perlu berfikir pameran sebegini sedikit sebanyak memberikan pengetahuan dan pengalaman baru kepada pelukis tempatan.

"Buka minda untuk mendapatkan lebih ilmu. Ini sudah pasti akan memberikan daya saing dan pendedahan dalam menaikkan industri kita ke peringkat yang lebih tinggi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: