![]() |
| Gandingan mantap Ida Nerina dan Eman Manan menghidupkan Wayang. |
KEJAYAAN Wayang diangkat sebagai filem terbaik pada Anugerah Skrin 2009 (ASK 2009) sememangnya tidak diduga. Filem bertemakan pertembungan dua generasi dan dua tafsiran ini memenangi lima daripada tujuh pencalonan bagi kategori filem.
Ia merangkumi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik menerusi Dr. Hatta Azad Khan, Pelakon Lelaki Terbaik (Eman Manan), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Zul Huzaimy) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Ida Nerina).
Pada mulanya, filem ini diramal menerima nasib yang sama seperti Festival Filem Malaysia 21 (FFM21) yang diadakan tahun lalu. Hanya menenangi Anugerah Khas Juri dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan Zul Huzaimy.
Rasa kecewa dan tertanya-tanya mengapa filem berdurasi 108 minit itu hanya layak dua anugerah sahaja dalam FFM21. Pada hal, filem itu pernah dibawa ke China dan Korea untuk mewakili negara. Ditayangkan di beberapa festival termasuk Cinema Of The World di Festival Filem Antarabangsa India.
Apa kurangnya Wayang di mata juri ketika itu tidak mahu diungkit pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau menganggap berkemungkinan rezeki untuk filemnya belum ada. Tetapi jika diteliti, filem yang sarat dengan nilai autentik serta pendekatan artistik itu mempunyai keunikan tersendiri.
"Kekuatan Wayang terletak kepada cerita dan subteks, perwatakan setiap anak wayang yang menghidupkan Wayang. Sejujurnya, saya tidak menduga kemenangan Wayang dalam ASK 2009. Ia merupakan satu kejutan buat diri saya dan penerbitan," katanya.
Jika dilihat kembali, Wayang bukan sebuah filem box-office, popular dan mendapat kutipan yang lumayan. Wayang dilabel sebagai filem budaya yang dilihat pada elemen kesenian apabila cerita berkisar permainan wang kulit diketengahkan.
Bagaimanapun timbul persoalan mengapa filemnya itu tidak mendapat tempat semasa FFM21 berbanding ASK 2009 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu lalu?
Dr. Hatta memberitahu, ia berkemungkinan dinilai oleh dua kumpulan panel juri yang berlainan. Mereka melihat dari sudut pandangan yang berbeza. Selalunya, berlaku percanggahan antara kehendak juri dan penganjur.
Begitu juga halnya yang berlaku pada Festival Filem Antarabangsa di Berlin dan Cannes yang mempunyai ketetapan tersendiri dan hanya mengangkat filem yang benar-benar berpotensi dan berkelayakan.
Ditanya adakah beliau akan menerbitkan drama bersiri berdasarkan filem Wayang, jawapannya tidak. Beliau tidak pernah memikirkan untuk mengheret, menyusun semula dan memanjangkan semua karakter dalam filem berkenaan.
"Itu bukan cara saya. Saya adalah pembikin filem yang sering berfikiran untuk mengadakan satu filem sahaja dengan teliti. Tidak perlulah filem yang meleret-leret," katanya yang dalam rangka persiapan mengarah filem komedi terbarunya berjudul Senario Asam Garam minggu ini.
Dr. Hatta juga menjelaskan ketidakhadiran untuk menerima anugerah pada malam tersebut disebabkan masalah kesihatan. Begitu juga dengan Zul Huzaimy dan Ida Nerina yang memaklumkannya terikat dengan komitmen lain.
Wayang adalah filem kedua Dr. Hatta selepas filem menerusi Mat Som yang diadaptasi dari komik Mat Som karya Datuk Lat tahun 1992. Ini bermakna Dr. Hatta mengarah dua filem dalam masa 15 tahun, bukannya 15 filem dalam masa dua tahun. Pelik bukan?
Jika diimbas kembali, projek filem itu juga mendapat sokongan kreatif daripada kalangan rakan-rakan dalam industri filem seperti Dr. Anuar Nor Arai serta pensyarah FACT seperti Dr. Mahadi J. Murat, Norman Yusoff, Rusdi Kubon dan beberapa lagi.
Ia juga mendapat sokongan penuh daripada UiTM yang bertindak sebagai penerbit kerana Wayang mengemukakan satu pendekatan yang tidak popular pasti mencetuskan kebimbangan produser untuk mengutip kembali modal pelaburan sangat besar.
Wayang mengisahkan tentang latar kehidupan Tok Dalang Awang Lah (Eman Manan) yang gigih meneruskan permainan wayang kulit di kampung halamannya di Kelantan. Tetapi Awang Lah kurang disenangi oleh sepupunya, Jusuh (Wan Kenari) yang menganggap permainan wayang kulit haram di sisi agama Islam.
Awang memelihara dua orang anak yatim, Awi (Zul Huzaimy) yang cacat penglihatan dan Melor (Mas Muhaini) yang sengau. Apabila remaja, Awi cuba menyelitkan elemen pop dalam wayang kulit dan ini dibantah keras oleh Awang Lah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: