
TAHUN 2009 boleh dikatakan sebagai tahun gemilang buat pelakon comel Liyana Jasmay apabila sekali lagi diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2009 (ASK09) selepas kemenangan yang sama di Festival Filem Malaysia ke-22 sebelum ini.
Kemenangannya membuktikan sememangnya dia seorang pelakon serba boleh apabila memenangi kategori yang sama menerusi dua filem yang berbeza.
Jika di FFM22 kejayaannya diperoleh menerusi filem arahan Adflin Shauki iaitu Papadom, kali ini Liyana menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Kami The Movie arahan Fariza Azlina Isahak.
![]() |
| TAHUN 2009 adalah tahun untuk gadis berusia 21 tahun ini apabila terus menguasai anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem. |
Bercakap mengenai kemenangan pertamanya di ASK09, gadis berusia 21 tahun ini mengakui tidak menyangka lakonannya dalam filem Kami The Movie diberi perhatian oleh pihak juri.
"Saya tidak sangka langsung akan menang kerana semasa FFM filem Kami The Movie langsung tidak tercalon dalam senarai lima teratas.
"Apa pun saya bersyukur kerana apa yang saya dapat hari ini semuanya kerana doa dan restu ibu bapa saya," ujarnya.
![]() |
| ROSNAH melonjakkan reputasinya sebagai pelakon berbakat. |
Meskipun dua filem lakonnya itu memberi impak yang besar terhadapnya, Liyana memberitahu, kedua-dua filem tersebut sangat berbeza antara satu sama lain.
"Saya suka filem Kami The Movie kerana tidak ramai pengarah baru yang berani untuk melahirkan filem sebegitu rupa yang kasar dan agak keras. Tetapi untuk filem Papadom saya lebih rileks," tuturnya.
Tambahnya lagi, kemenangan berganda tahun ini membuatkannya sedikit takut kerana selepas ini harapan orang ramai terhadapnya lebih tinggi.
![]() |
| EMAN MANAN tidak hadir untuk menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem. |
"Memanglah dalam setiap filem saya akan cuba lakukan yang terbaik tetapi bila dah menang pelakon terbaik dua kali berturut-turut harapan pengarah pada saya lebih tinggi nanti. Bimbang tidak dapat lakukan apa yang mereka harapan pada saya," katanya.
Walaupun diiktiraf sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada usia yang masih muda, Liyana masih merasakan dirinya bukan lagi yang terbaik memandangkan pengalamannya sebagai pelakon masih hijau berbanding pelakon senior yang lain.
"Bila dah menang dua kali saya tidak anggap saya yang terbaik kerana bagi saya bila sudah menang saya harus tingkatkan lagi mutu lakonan berbanding sebelum ini.
"Ramai lagi pelakon di luar sana yang sangat bagus cuma orang tidak nampak bakat mereka. Saya bertuah kerana orang nampak apa yang saya kerjakan. Saya amat bersyukur dengan apa yang saya miliki hari ini," ungkapnya yang akan menjalani penggambaran sekuel filem Papadom pada tahun hadapan.
Malam Erma
Pelakon, pengarah dan penerbit Erma Fatima pulang dengan senyuman puas apabila drama arahannya yang berjudul Tersasar Di Jalanmu yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) menang besar malam itu.
![]() |
| ERMA membuktikan drama yang pernah dipanggil jijik merupakan naskhah yang sangat hebat. |
Drama itu membawa pulang enam trofi iaitu Pengarah Terbaik Drama, Drama Terbaik, Lakon TV Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik Drama (Rosnah Mat Aris), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Norish Ismail) dan Videografi Terbaik.
Tuturnya, buat pertama kali dalam sejarah hidupnya hadir pada majlis anugerah adalah untuk menang tetapi tidak menyangka akan membolot hampir keseluruhan anugerah untuk kategori drama.
"Memang rasa boleh menang kerana drama ini sungguh istimewa. Tetapi tidaklah sangka akan menang sebesar ini. Drama ini sebenarnya pernah ditolak oleh sebuah stesen televisyen kerana kata mereka cerita saya jijik.
![]() |
| QUE HAIDAR menggenggam anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi Terlerai Takbir Kasih. |
"Memang cerita saya ini nampak kotor kerana itulah realitinya di luar sana yang orang tidak tahu tambahan drama saya ini tidak ada nilai komersial disebabkan hampir kebanyakan pelakon yang dipilih tidak popular tetapi hebat mutu lakonannya," ujarnya.
Erma yang turut bertindak sebagai penulis skrip bagi drama tersebut meskipun drama yang mendapat rating tertinggi di RTM itu sebuah cerita rekaan tetapi ia berdasarkan kehidupan realiti komuniti di Lorong Haji Taib yang terkenal dengan pelacuran, kongis gelap serta dadah.
Melakukan penggambaran di lokasi sebenar iaitu di Lorong Haji Taib telah membuka mata Erma untuk membantu menyedarkan masyarakat sekeliling tentang masalah sosial yang semakin meruncing.
![]() |
| HAMPIR menitiskan air mata, Jaclyn tidak menyangka akan menerima Anugerah Yasmin Ahmad. |
"Walaupun dalam drama ini kebanyakan penggambaran dilakukan di lorong-lorong tetapi itu adalah gambaran sebenar yang ingin saya tonjolkan. Perkara seperti pelacuran, penagihan darah samseng semuanya terjadi.
"Saya tersentuh ketika saya membuat tinjauan sebelum penggambaran kanak-kanak yang tinggal di situ bermain di lorong-lorong pada pukul 2 pagi dengan di kelilingi oleh pelacur dan penjual dadah.
"Cuba bayangkan kanak-kanak ini bercita-cita ingin menjadi seorang menteri walaupun dia tinggal di kawasan yang sebegitu teruk. Peratusan untuk kanak-kanak ini menyambung kerjaya 'turun-temurun' di lorong itu amat tinggi. Itu yang menyebabkan saya membuat drama yang boleh dikatakan antara drama yang paling sukar pernah dibikin," terangnya lagi.
![]() |
| TARMIMI meneruskan kebangkitan pelakon veteran di pentas ASK09. |
Selepas ini, Erma akan membawa pula teater Natrah ke televisyen dengan menjadikannya sebuah drama bersiri 26 episod.
Que menang lagi
![]() |
| |
Pelakon hebat Que Haidar yang memenangi Pelakon Lelaki Terbaik Drama menerusi drama Terlerai Takbir Kasih mengatakan kemenangannya di pentas ASK bukanlah yang pertama.
Ini kerana pada tahun lepas Que telah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Drama menerusi drama Tuhan Pun Tahu.
Bercerita mengenai kemenangannya, Que juga tidak menjangka kerana saingannya seperti Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi dan Jalil Hamid sungguh hebat.
"Mereka semua sangat bagus sebab itu macam tidak sangka untuk menang. Bila nama disebut saya bersyukur. Bagi saya mereka semua adalah pemenang malam ini," katanya.
Jac tergamam
Penyanyi Jaclyn Victor yang menerima anugerah khas juri menerusi Anugerah Yasmin Ahmad ternyata gagal mengawal emosinya saat anugerah tersebut disampaikan oleh adik Allahyarham sendiri iaitu Datin Orked.
Menjelaskan dirinya masih belum layak untuk menerima anugerah besar itu, Jac sempat memberitahu meskipun tempoh masa perkenalannya dengan Allahyarham adalah singkat tetapi jasa yang diberikannya terlalu besar.
"Saya tidak tahu langsung anugerah ini akan diberikan kepada saya. Saya pernah menang di FFM22 tetapi ingatkan anugerah ini akan diberi kepada pelakon yang sering berlakon dengannya.
"Anugerah ini besar buat saya. Yasmin yang buat saya berlakon, bila dia sudah tiada saya rasa macam kehilangan sesuatu yang besar," ujarnya.








No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: