Sunday, December 20, 2009

Nikmat hidup Farah Mahami


Farah Mahami


SEJAK usianya 10 tahun, beliau dihantar belajar di sekolah perempuan St. Mary Anglican di Perth, Australia.

Walaupun terpaksa tinggal berjauhan daripada ibu bapa dan menghabiskan usia mentah di rantau orang, Farah Mahami sanggup mengetepikan rindu yang sarat di dada demi satu matlamat iaitu berjaya dalam pelajaran.

"Saya belajar di Australia bersama dua orang kakak dan seorang abang. Oleh kerana ayah mempunyai rumah di Perth, kami tidak tinggal di asrama.

"Ayah dan ibu akan menjenguk kami setiap tiga bulan, jadi tidak terasa sangat berpisah dengan mereka," ujar anak bongsu daripada empat beradik ini.

Atas usaha gigih, persekitaran pembelajaran yang kondusif serta sokongan penuh daripada keluarga, potensi Farah dalam bidang akademik tidak perlu disangkal.

Hanya pada usia 21 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dan Etika Pengurusan dari Universiti Curtin, Australia.

"Bagi saya, mendapat ijazah sarjana pada umur 21 tahun bukan disebabkan ayah menghantar saya belajar sampai ke Australia. Rahsia di sebalik kejayaan itu ialah kerana keluarga mencipta suasana pembelajaran yang bagus buat saya.

"Bayangkan, sepanjang pengajian saya di sana, ayah dan ibu akan membeli dua set buku. Menjelang musim peperiksaan, ayah akan mengambil cuti sebulan semata-mata mahu mengulang kaji pelajaran bersama saya," imbau beliau.

Pulang sahaja ke Malaysia, idea untuk mewujudkan suasana dan peluang yang serupa bagi kanak-kanak di negara ini terlintas di mindanya.


ANAK-ANAK Orang Asli turut menjadi kumpulan sasaran syarikat yang dikemudi Farah, e2L, dalam mengembangkan kaedah pembelajaran berkesan.


Belajar dengan bermain

Walaupun tidak mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan, minat membolehkan beliau merealisasikan impiannya.

"Saya bukan tak minat nak tolong ayah, tapi ayah selalu berpesan, buat sesuatu mesti dengan minat.

"Jadi saya memilih pendidikan awal kanak-kanak sebagai cabang perniagaan dan Alhamdulillah, usaha saya selama empat tahun ini berbaloi," ujar anak kepada jutawan hartanah, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar ini.

Wanita 27 tahun ini yakin pendidikan berkesan pada peringkat awal kanak-kanak mampu melahirkan insan berkualiti serta berkemahiran sebagai pemimpin.

"Tumbesaran mereka juga perlu diterapkan dengan kemahiran hidup merangkumi bergaul dengan rakan daripada berbilang budaya, berfikir dan membuat keputusan dengan tepat.

"Saya menganggap diri saya sebagai bukti kejayaan kepada pendedahan pendidikan awal kanak-kanak dan suasana pembelajaran yang kondusif," jelasnya yang amat menyukai kanak-kanak.

Justeru pada tahun 2004, beliau menubuhkan Educate To Learn (e2L) Sdn. Bhd. dengan matlamat untuk mengkaji, membangun dan membekalkan sumber pembelajaran dan alat permainan yang menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak.

Turut lahir dengan falsafah 'Belajar Melalui Bermain', Farah percaya dengan kaedah itu kanak-kanak lebih mudah berinteraksi, berimaginasi, berinovasi dan memupuk sikap ingin tahu terhadap persekitaran mereka.

Anak jutawan

"Pendedahan Belajar Melalui Bermain ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka alam pembelajaran menggunakan pelbagai alat permainan dan sumber yang bersesuaian dengan perkembangan mereka," jelasnya yang merupakan Pengarah Eksekutif syarikat itu.

Sebagai bantuan mendidik si kecil, e2L turut mengeluarkan produk siri kotak permainan pusat pembelajaran iaitu i-Play. Ia mengandungi pelbagai permainan dan sumber yang direka khas untuk taska, tadika, pusat jagaan, pusat aktiviti kanak-kanak dan perpustakaan permainan.

"Selain membekal produk permainan, kami juga membina perpustakaan permainan dan melatih guru tadika, pengasuh taska serta petugas perpustakaan.

"Malah e2L turut memiliki Institut Perkembangan Awal Kanak-kanak yang menyediakan program diploma dan kursus khas untuk pendidikan awal si manja," katanya yang ditemui selepas majlis konvokesyen kali pertama institut itu di Cyberjaya baru-baru ini.

Lahir sebagai anak kepada seorang tokoh korporat yang disegani, Farah tidak menafikan beliau sangat bangga dengan pencapaian bapanya.

"Lahir sebagai waris Mustapha Kamal Abu Bakar adalah satu nikmat dan saya amat mensyukurinya. Ia bagaikan syurga di dunia," tuturnya.


SUAMI isteri ini tidak jemu berusaha melestarikan pendidikan awal kanak-kanak.


Ditanya sejauh mana nama besar bapanya membias kepada identiti Farah Mahami, beliau menjelaskan beliau dilahirkan sebagai Farah Mahami Mustapha Kamal ketika bapanya belum bergelar Datuk dan Tan Sri.

"Saya bangga dengan nama itu dan tidak akan menukarnya. Saya bangga menjadi anak seorang tokoh korporat yang berjaya. Selain menjadi bapa yang penyayang, ayah juga sumber inspirasi kejayaan saya.

"Namun dalam masa yang sama, saya percaya orang akan menerima saya jika saya efektif dan berjaya, Alhamdulillah, hari ini saya telah membuktikannya.

"Kalau saya dapat menjadi seperti ayah, ia adalah satu tahap yang cukup bagus, tetapi kalau diizinkan, saya hendak buat lebih baik daripada ayah supaya saya dapat sambung legasi Mustapha Kamal Abu Bakar," azamnya.

Mustapha Kamal merupakan Pengerusi Kumpulan Emkay, firma hartanah paling berjaya di negara ini.

Melalui anak syarikat MK Land, beliau telah berjaya membangunkan kawasan-kawasan yang dahulunya agak terpencil kepada kawasan elit yang dilengkapi infrastruktur moden seperti Damansara Perdana dan Cyberjaya.

Selain itu, perniagaan Mustapha yang bermula dengan kilang biskut di Melaka juga terlibat dalam industri perhotelan dan tempat peranginan termasuk Bukit Merah Laketown Resort dan Royal Belum di Banding, Perak serta Langkawi Lagoon di Kedah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: