WINNIE menunjukkan perhiasan mewah yang sesuai digayakan Aishah pada konsert Irama Warisan Kita. |
Penyanyi bervokal mantap bakal muncul dalam konsert Irama Warisan Kita
MUZIK dan fesyen memang tidak boleh dipisahkan malah dengan berfesyen keterampilan lebih memberi keyakinan kepada seseorang artis ketika beraksi di pentas.
Setiap artis sering kali gusar memikirkan penampilan mereka sebaik diundang untuk menjayakan sesuatu persembahan. Lebih lagi sekiranya persembahan yang bakal dijayakan itu adalah persembahan berprestij yang turut dihadiri orang kenamaan dan peminat muzik antarabangsa.
Menyentuh mengenai konsert Irama Warisan Kita (IWK) anjuran Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) pada 11 hingga 13 Disember ini, buat pertama kalinya MPO turut berkolaborasi dengan Rafflesia The Pearl Centre (Rafflesia) iaitu pereka unggul dan jenama barang kemas mutiara mewah untuk menjayakan konsert itu.
Eksekutif Perhubungan Media MPO, Hisham Abdul Jalil atau Harry berkata, kolaborasi pertama ini sangat relevan memandangkan penyanyi yang dipilih untuk menjayakan konsert IWK sudah berkecimpung lebih 20 tahun di dalam dalam industri seni.
“Pihak kita memilih Aishah kerana pengalamannya yang sudah lama di dalam industri malah boleh dianggap sebagai mutiara yang menepati objektif kolaborasi ini.
“Lebih-lebih lagi Rafflesia dilihat cukup komited di dalam menyokong pelbagai program besar yang membabitkan industri seni. Sebagai contoh menaja Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan beberapa program besar yang lain.
“Rafflesia juga membuktikan bahawa orang yang bertudung juga amat menarik apabila mengenakan barangan perhiasan mewah mutiara ini dan tidak semestinya khas untuk orang yang tidak bertudung.
“Saya percaya malam konsert IWK nanti akan menyerlahkan lagi penampilan Aishah di atas pentas bersama alunan lagu malar segar yang akan dinyanyikan,” katanya yang ditemui pada sidang media di butik Rafflesia Hotel Park Royal.
Pengarah Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin berkata, barangan perhiasan mewah yang disediakan pihaknya sesuai digayakan dengan pelbagai cara termasuk wanita yang bertudung.
"Barangan perhiasan mewah yang akan digayakan Aishah pada konsert IWK nanti direka khas bagi penampilannya yang bertudung. Ia amat bersesuaian untuk konsert bertemakan glamor yang akan menyerlahkan lagi penampilannya.
"Keseluruhan barangan perhiasan mutiara yang akan digayakan Aishah dianggarkan bernilai RM650,000. Kami juga di Rafflesia akan terus menyokong apa saja aktiviti di dalam industri seni ini agar bertambah meriah,” katanya yang mempercayai muzik dan fesyen amat saling memerlukan.
Impian terlaksana selepas 20 tahun
SEMENTARA itu, Aishah yang mengakui agak berbesar hati kerana penghargaan yang diberikan MPO termasuk Rafflesia tidak pernah diimpikan sepanjang berada lebih 20 tahun di dalam industri seni.
“Setiap artis memasang impian untuk mengadakan persembahan besar seperti IWK lebih lagi mengadakan persembahan di dewah gah seperti di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
“Sebagai wanita memang saya ada memasang impian untuk mengenakan perhiasan mewah ketika mengadakan persembahan dan selepas 20 tahun impian saya terlaksana juga,” katanya sambil jari jemarinya mengusap gelang Rafflesia yang dipakai untuk sesi fotografi bersama media.
Dengan konsep warisan yang dijulang kali diadakan di mana MPO akan mempersembahkan muzik berkonsepkan lagu klasik, tradisional tempatan dan malar segar.
Walaupun hanya akan menyajikan dua lagu sepanjang tiga hari persembahan itu, namun Aishah tetap bersyukur penghargaan yang diberikan MPO.
“Saya hanya diminta untuk menyanyikan dua buah lagu saja iaitu Bahtera Merdeka dan Joget Kenangan Manis, namun ia tetap memberi cabaran buat saya.
“Lagu Bahtera Merdeka yang mula dinyanyikan saya pada 2001 ketika mengadakan persembahan di RTM adalah berbeza dengan yang bakal saya nyanyikan di IWK lebih lagi bersama orkestra MPO. Lagu ini sudah diubah konduktor tersohor, Datuk Johari Salleh agar ia lebih segar dan sesuai untuk zaman ini.
“Saya berharap peminat yang ingin mendengar bagaimana gubahan baru lagu Bahtera Merdeka agar datang beramai-ramai menyaksikan konsert ini nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: