Saturday, December 26, 2009

Misi mencari pelapis badminton


FARID Ridzuan (kanan), Rozaina Zainul Abidin (dua dari kiri) bersama penaja dan jurulatih yang akan menggerakkan program realiti Jaguh.


KALAU menyebut tentang sukan di negara ini, selain bola sepak, badminton merupakan antara cabang sukan yang menjadi perhatian ramai. Nama-nama seperti Datuk Misbun Sidek, Rashid Sidek, Cheah Soon Kit, Hafiz Hashim dan Datuk Lee Chong Wei merupakan antara bintang badminton yang boleh dibanggakan.

Kalau dilihat susur perjalanan badminton negara, kenangan 1992 pasti tidak boleh dilupakan apabila Malaysia berjaya menjulang Piala Thomas.

Namun, kenangan tersebut hanya tinggal kenangan apabila piala yang diidam-idamkan untuk tahun-tahun berikutnya dilihat terus berkubur.

Entah di mana silapnya, Piala Thomas seakan ‘liat’ untuk dibawa pulang semula ke bumi Malaysia meski skuad negara mampu melakar kemenangan di kejohanan lain.

Justeru, atas dasar untuk menyediakan bakat-bakat baru yang mampu menyemarakkan nama Malaysia dalam sukan badminton pada masa mendatang, TV9 bersama penaja, Yonex tampil membawakan sebuah program realiti terbaru iaitu Jaguh.

Mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Jaguh merupakan program televisyen pertama yang mengentengahkan sukan badminton ke dalam format program realiti di negara ini.

Ia dijangka mencetus satu fenomena baru sukan badminton sementelah Kuala Lumpur bakal menjadi tuan rumah kejohanan Piala Thomas yang akan berlangsung Mei tahun depan.

Terbuka kepada kanak-kanak lelaki berusia antara 9 hingga 11 tahun, Jaguh akan memulakan sesi uji bakat pada hari ini (26 Disember) di Kompleks Sukan Kampung Pandan, Kuala Lumpur seawal pukul 8 pagi.

Sesi uji bakat tersebut akan diadili oleh jurulatih terkemuka daripada BAM dengan diketuai Kwan Yoke Meng, antara pemain perseorangan utama skuad badminton negara yang berjaya memenangi Piala Thomas 1992.

Yoke Meng juga akan bertindak selaku ketua jurulatih bagi mereka yang berjaya melepasi sesi uji bakat nanti.

Ketua Pengurusan Penjenamaan Kumpulan TV9, Rozaina Zainul Abidin berkata, sepanjang uji bakat dan program Jaguh berlangsung, Yoke Meng akan turut dibantu oleh tiga lagi jurulatih berpengalaman iaitu Koah Kar Lin, Salleh Swandi dan Sufian Abu Bakar.

‘‘Untuk sesi uji bakat, kita akan memilih 16 peserta yang akan diuji ke peringkat seterusnya.

‘‘Selepas itu, lapan peserta akan disingkirkan dan lapan peserta terbaik bakal dipilih untuk mengikuti latihan intensif.

‘‘Jaguh akan bersiaran sebanyak lapan episod bermula 26 Mac depan. Penyingkiran akan dapat disaksikan di episod ketiga nanti,’’ katanya ketika ditemui di majlis pengumuman penganjuran Jaguh di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Kata Rozaina, sesi rakaman dan latihan peserta akan bermula Januari ini.

‘‘Memandangkan mereka masih bersekolah, kita akan cuba mencari ruang untuk proses rakaman.

‘‘Sepanjang Januari ini, krew produksi akan ke rumah setiap peserta yang terpilih bagi merakamkan gaya hidup mereka.

‘‘Pada Mac nanti, kesemua lapan peserta akan dikumpulkan untuk latihan secara bersama. Bermula detik itu, penilaian akan dilakukan serta penyingkiran,’’ jelasnya.

Ditanya mengapa sesi uji bakat hanya dilakukan di Kuala Lumpur, Rozaina memberitahu bahawa Jaguh masih baru dianjurkan.

‘‘Ini pertama kali Jaguh dianjurkan. Walaupun diadakan di ibu negara, pihak penerbit menerima respons yang baik daripada ibu bapa dari luar Kuala Lumpur yang mahu menghantar anak mereka ke sesi uji bakat,’’ katanya.

Hadiah masih dibincangkan

Sementara itu, Penerbit Jaguh, Wahyu Nurtjahyono Subiyakto berkata, setiap peserta akan diberikan penilaian berdasarkan tahap disiplin, komitmen serta pencapaian sewaktu bertarung.

Jaguh, ujarnya, akan bersiaran setiap Jumaat, pada pukul 9 malam di TV9 bermula 26 Mac sehingga 14 Mei.

‘‘Untuk hadiah bagi juara, semuanya masih dalam perbincangan,’’ jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: