Saturday, December 19, 2009

Menjerit naik MegaZip

Kunjungan selama tiga hari dua malam atas undangan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) memberi peluang untuk kami meneroka keunikan republik itu.




"ALAH....tak ada baterilah pulak," keluh Hamim sambil membelek kamera video di tangannya. Saya kurang percaya. Sebaliknya lebih yakin bahawa dia sebenarnya takut. Bukan semua orang berani mencuba aktiviti lasak. Lebih-lebih lagi apabila terpaksa berdepan dengan ketinggian.

Kira-kira dua jam sebelum berangkat ke MegaZip di Bukit Imbiah, Singapura, pemandu pelancong kami itu tiba-tiba berkata: "Mungkin tak payahlah pergi ke MegaZip." Alasannya, kami kesuntukan masa.

Padahal, seingat saya sehari sebelum itu, Hamim sendiri yang beriya-iya mengajak kami, tiga wakil media dari Malaysia agar mencuba aktiviti tersebut. Katanya, tidak sah lawatan ke Singapura jika tidak merasai sendiri aktiviti lasak yang ditawarkan oleh negara berkeluasan 699.1 kilometer persegi itu.

Membawa pengunjung merentasi 'perjalanan' sejauh 75 meter dari hutan Bukit Imbiah ke Pantai Siloso di Sentosa, MegaZip mencatatkan populariti sebagai sukan Flying Fox paling ekstrem di rantau Asia.

Sedang kami menunggu di platform terjun tiga tingkat itu, Hamim dengan selambanya mempelawa saya dan seorang rakan wartawan, Bennie, agar bergerak dahulu.


MEGAZIP menjadi salah satu aktiviti pencabar ketakutan yang harus dicuba apabila anda berkunjung ke kota Singa.


"You two go first," katanya lalu beredar ke tepi. Kononnya, untuk memeriksa ketahanan bateri kamera videonya sekali lagi.

Talinya dipasang pada roda. Dalam keadaan tandem, saya dan Bennie sudah berada pada ketinggian 450 meter dari paras laut. Belum sempat bertanya apa-apa, kami dan dua peserta lagi dilepaskan. Kami meluncur pantas dari udara pada kelajuan 50 kilometer (km) sejam, menentang arah tiupan angin.

Jeritan kuat

Tidak sampai dua minit, kami tiba di seberang pantai Sentosa. Turut serta dalam pengalaman itu ialah penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain, 28, yang juga duta STB dan pengurusnya, Faliq Jamadin.

Dari hujung pantai, saya dan Bennie dapat mendengar jeritan kuat Imran ekoran luncuran yang pantas dengan jelas. Mengakui dirinya seorang penakut, Imran berkata, sukan pencabar adrenalin seperti MegaZip adalah usaha kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan warga pulau itu.

Faliq yang memiliki fobia ketinggian pula merasakan luncuran lebih kurang dua minit itu terlalu singkat.


IMRAN (kiri) dan Faliq bersedia menyahut cabaran MegaZip.


"Kalau boleh, nak buat sekali lagi," katanya sambil memberitahu MegaZip sesuai untuk mereka yang ingin melawan perasaan takut kepada ketinggian sepertinya.

Pada harga S$29 (RM71) untuk merasai kelajuan dan keseronokan selama dua minit, ia cukup memuaskan hati dan berbaloi.

Selain itu, Pulau Sentosa juga sering menjadi destinasi yang menghidangkan pelbagai festival bertaraf dunia.

Sebenarnya, MegaZip hanyalah salah satu daripada tarikan yang ditawarkan di kota Singa. Terkenal sebagai antara destinasi percutian keluarga di rantau Asia, ada sebab mengapa lawatan ke Singapura wajar dipertimbangkan.

Pelan pelancongan domestik

Menurut Imran, peluang melancong di luar negara ialah satu kemewahan yang tidak dapat dinikmati oleh semua orang. Mujur pelan pelancongan domestik di republik kecil itu sangat terancang dan praktikal. Praktikal sehingga mampu menarik perhatian sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

"Sebenarnya, kehidupan malam warga Singapura bermula pada malam hari Khamis.

"Malah, Esplanade dan Taman Pantai Timur ialah dua tempat yang sering menjadi tumpuan khasnya waktu cuti," kata Imran lagi.


TERDAPAT lebih 600 spesies burung yang boleh dilihat di Taman Burung Jurong.


Terkenal sebagai destinasi urban, Taman Pantai Timur yang berkeluasan 185 hektar itu dikatakan mencatat lebih 7.5 juta orang pengunjung setahun! Sama ada untuk tujuan beriadah, bersukan mahupun sekadar menjamu selera, Taman Pantai Timur menawarkan segalanya.

Kunjungan tiga hari dua malam kami ke Singapura itu adalah atas undangan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) bagi mempromosikan pakej percutian Uniknya Singapura.

Membesar di Singapura juga bermakna peluang bergaul dengan pelbagai kaum. Lebih penting lagi ialah peluang berkomunikasi dan belajar memahami budaya satu sama lain.

Mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan utama, rakyatnya diberi pilihan bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil sebagai bahasa kedua. Malah, Imran sendiri tahu sedikit sebanyak bahasa Mandarin.


PENGUNJUNG menyaksikan persembahan burung di Taman Burung Jurong.


Imran yang menjadi duta STB sepanjang tahun 2009 berpendapat usaha kerajaan memadai memandangkan ia meliputi pelbagai tarikan di tanah bekas jajahan kerajaan British itu. Daripada hiburan sehinggalah aspek seni dan kebudayaan

Bagi pengunjung kali pertama ke Singapura, Imran ada nasihat untuk anda: "Jangan risau. Sistem pengangkutan kami sangat boleh diharap. Jadi, kalau tidak memandu sendiri pun tidak apa. Lagi satu, air paip boleh diminum terus!"

Satu kenyataan dari mulut Imran cukup menarik perhatian saya. Katanya, Singapura selamat pada waktu malam biarpun jika pengunjung bersendirian.

Makanan halal

Saya dapat melihat sendiri kebenaran itu pada hari terakhir lawatan kami. Petang itu, kami dibawa makan tengah hari di kawasan Geylang yang sememangnya padat dengan komuniti orang Melayu.

Seorang lagi rakan wartawan, Syairi dengan selamba mencampakkan kamera digital SLR milik syarikat ke atas tempat duduk bas yang telah dikunci. Sejam kemudian, yang mengejutkan ialah kamera tersebut masih ada di sana!


BURUNG flamingo antara spesies burung yang terdapat di Taman Burung Jurong.


Sebagai pelancong Islam, mendapatkan makanan halal sudah pastinya satu isu penting di Singapura. Ini memandangkan 80 peratus daripada populasi republik itu ialah masyarakat Cina.

Tetapi, Hamim memberitahu, makanan halal mudah diperoleh seandainya pelancong tahu lokasi-lokasinya. Kawasan Geylang dan Kampung Glam ialah dua destinasi yang menawarkan himpunan restoran atau kedai makanan halal.

Pengarah Serantau ASEAN STB, Geraldine Yeo berkata, kempen Uniknya Singapura diharap dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia yang berbahasa Melayu ke Singapura.

Biarpun Malaysia merupakan jiran terdekat Singapura, masih ramai pelancong Islam yang tidak mengetahui kewujudan himpunan gerai serta restoran yang diiktiraf halal di sana.


SELAIN MegaZip aktiviti mencabar ketahanan fizikal seperti ini turut ditawarkan.


Lebih menarik, Panduan Pelancong Beragama Islam juga boleh didapati di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Jalan Orchard di Singapura. Jika anda pelancong yang masuk ke Singapura dari Malaysia, jangan lupa untuk mendapatkan panduan tersebut dari Pusat Pelawat Singapura di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kempen Uniknya Singapura menawarkan lebih sebab untuk menikmati Singapura hujung tahun ini.

Untuk pelancong dari Malaysia yang tidak ingin menyertai kumpulan pelancongan, mereka boleh mengambil kesempatan daripada tawaran-tawaran hebat untuk tiket penerbangan Selain kadar bilik hotel dan tiket masuk ke pusat-pusat tarikan yang ditawarkan hanya untuk rakyat Malaysia.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang tawaran-tawaran hebat di atas, sila hubungi Lembaga Pelancongan Singapura di 03-2142 7133 ataupun layari lama web visitsingapore.com/us atau www.stb.com.sg.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: