Tuesday, December 22, 2009

Mempopularkan penari jalanan




SELAIN bidang nyanyian dan lakonan, tarian juga merupakan satu lagi cabang seni yang mendapat perhatian banyak stesen televisyen (TV) sehingga tercetusnya idea bagi menerbitkan program-program berbentuk realiti TV seperti itu sejak kebelakangan ini.

Showdown 2010 misalnya, merupakan sebuah program realiti TV terbitan 8TV yang akan mencungkil bakat kumpulan-kumpulan penari bagi diketengahkan dalam skop yang lebih luas menerusi pertandingan itu yang akan bermula pada 31 Mac tahun depan.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, pertandingan tarian itu kini sedang memulakan pencarian para pesertanya menerusi sesi-sesi uji bakat di seluruh negara tanpa mengira had usia mahupun konsep tarian-tarian yang akan dipertandingkan kelak.

"Pertandingan ini tidak mengehadkan konsep tarian tertentu dan ia bebas untuk semua jenis tarian terutamanya street dance (tarian jalanan) yang kini sedang popular di kalangan remaja. Kalau tarian banghra sekalipun, kami sedia terima untuk dipertandingkan.

"Apa yang penting ialah daya kreativiti yang cuba diketengahkan oleh setiap peserta Showdown 2010 nanti," katanya pada sidang media selepas pelancaran pertandingan itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Penerbit Showdown 2010, Zabede De Costa dan wakil-wakil penaja pertandingan tersebut.

Menurut Swee Kim, idea dan penerbitan program realiti TV itu tercetus hasil daripada permintaan ramai peminat serta wakil-wakil media yang melihat potensi bidang tarian dalam melahirkan lebih ramai penari berbakat di negara ini.

Katanya, Showdown 2010 yang akan memulakan uji bakatnya pada 9 Januari ini di Johor Bahru, berbeza dengan program realiti TV berkonsepkan tarian lain kerana ia lebih mengutamakan tarian jalanan yang lebih moden dan pelbagai.

"Pertandingan ini lebih berkonsepkan street dance di mana ia merupakan jenis tarian yang banyak diselitkan dalam irama hip hop yang kini menjadi kegilaan ramai remaja. Pasaran konsep muzik seperti ini amat besar, malah kita juga sebenarnya mempunyai ramai penari berbakat.

"Ini adalah salah satu medium yang boleh memberi peluang kepada mereka (penari) menunjukkan bakat sebenar mereka dalam bidang tarian kepada umum dan bukan setakat menari di jalanan sahaja.

"Kami akan pilih peserta yang dirasakan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dan selepas itu kita biarkan para penonton memilih setiap peserta melalui SMS (khidmat pesanan ringkas) sebagai pemenangnya," ujarnya.

Sambil tidak menafikan tarian jalanan yang banyak mengiringi irama hip hop menampilkan gaya-gaya akrobatik yang mampu mengundang bahaya seperti kecederaan, Swee Kim menjelaskan 8TV sudah membuat persiapan ke arah itu.

Jelasnya, setiap peserta yang akan bersaing pada Showdown 2010 akan dilindungi oleh skim insurans termasuklah kos rawatan perubatan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas mereka sepanjang berlangsungnya pertandingan itu kelak.

"Bukan setakat insurans tetapi kami (8TV) juga akan bertanggungjawab terhadap keperluan lain ke atas setiap peserta seperti soal makan dan minum. Malah, tidur (penginapan) mereka juga akan kami beri perhatian.

"Semua itu kami lakukan bukan sahaja sebagai persediaan kalau berlaku kecederaan tetapi juga demi keselesaan setiap pesertanya sewaktu mereka terbabit menjayakan program realiti TV ini nanti," katanya.

Menerusi pertandingan itu kelak, para penonton bakal menyaksikan pelbagai skil dan gaya tarian jalanan dengan istilah-istilah seperti krumping, popping, locking serta breakdance akan dipersembahkan secara lebih meluas kepada para peminat seni tersebut.

Selain Johor Bahru, uji bakat itu juga akan diadakan di bandar-bandar utama lain seperti Georgetown, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan berakhir di One Utama Petaling Jaya, Selangor, pada 31 Januari ini.

Showdown 2010 yang juga terbuka kepada kalangan penari amatur dan profesional itu akan menampilkan dua pengkritik utama pada setiap minggu iaitu penyanyi rap, Joe Flizzow dan koreografer, Maple Loo.

Selaku salah seorang pengkritik dan penyanyi yang banyak dilingkari oleh tarian jalanan dalam persembahannya, Joe menyifatkan, pertandingan itu mampu melahirkan lebih ramai penari jalanan yang selama ini lebih dikenali di belakang tabir.

"Saya yakin di luar sana terdapat ramai penari jalanan yang berbakat dan tidak mempunyai ruang untuk mengetengahkan bakat mereka. Bukan setakat di Kuala Lumpur tetapi di tempat-tempat lain terutamanya di Sabah, terdapat ramai penari jalanan yang berbakat.

"Saya bercakap begini berdasarkan pengalaman saya mengadakan persembahan sambil diiringi oleh para penari yang hebat tetapi bakat mereka terhenti setakat itu sahaja. Tidak dinafikan penari jalanan kita antara yang terbaik di Asia.

"Selain Malaysia, ramai penari jalanan yang berbakat besar sejak kebelakangan ini datangnya dari negara-negara Asia seperti Jepun, Korea dan Filipina. Negara kita juga tidak ketinggalan berada dalam kelompok itu," katanya.

Showdown 2010 yang mensyaratkan penyertaan lima hingga tujuh peserta dalam sebuah kumpulan akan menempatkan 14 kumpulan bagi bersaing menentukan tempat pada kedudukan Top 12.

Empat kumpulan terakhir yang berjaya ke peringkat akhir akan ke Final Countdown di mana mereka akan mempersembahkan tarian dengan gaya masing-masing untuk menarik perhatian para juri dan penonton.

Pertandingan yang akan diacarakan oleh penyampai radio Fly FM, Hafiz Hatim itu akan menyediakan hadiah wang tunai kepada juaranya berjumlah RM50,000 dan jumah itu ia merupakan hadiah paling lumayan buat pertandingan tarian di negara ini.

Sebarang pertanyaan berhubung Showdown 2010 sila layari laman sesawang www.facebook.com/8TV showdown 2010 atau www.8tv.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: