![]() |
| |
DEMAM musim anugerah sudah melanda Hollywood apabila senarai calon untuk anugerah Golden Globe diumumkan minggu lalu di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Sebelum pengumuman itu dilakukan, ramai pemerhati, peminat dan pengkritik khususnya sudah pun menyenaraikan filem-filem yang dilihat mampu menggegarkan musim anugerah kali ini.
Seperti yang semua sedia maklum, musim anugerah di Hollywood dimulakan dengan Golden Globe dan seterusnya Screen Actors Guild dan acara kemuncak sudah semestinya, Anugerah Academy atau nama glamornya, Oscar.
Berbalik kepada acara Golden Globe, apa yang dapat dilihat kini senarai filem yang dipertandingkan semuanya memiliki kehebatan dan kekuatan masing-masing.
Bukan itu sahaja, pemerhati dan pengkritik di Hollywood menyifatkan musim anugerah kali ini cukup hebat dan persaingan juga dikatakan cukup sengit.
Filem drama komedi, Up In The Air mendahului senarai pencalonan Golden Globe Ke-67 apabila menerima enam pencalonan termasuk Filem Drama Terbaik.
Sememangnya filem ini sudah mula mendapat perhatian ramai dan menerima kritikan positif berikutan ia memiliki jalan cerita serta plot yang cukup unik.
Up In The Air turut menerima lima pencalonan lain iaitu Pelakon Lelaki Drama Terbaik untuk George Clooney dan dua pencalonan bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik untuk dua aktres filem berkenaan, Vera Farmiga dan Anna Kendrick.
George dikatakan mampu meraih kemenangan dengan mudah lantaran wataknya yang dibawakan dalam filem ini dikatakan cukup berkesan dan mereka menyifatkan ia merupakan antara lakonan terbaiknya.
Namun, bekas pelakon siri televisyen E.R. ini harus berdepan dengan empat calon yang bukan calang-calang iaitu Jeff Bridges untuk filem Crazy Heart, Colin Firth (A Single Man), Morgan Freeman (Invictus) dan Tobey Maguire (Brothers).
Pengarahnya pula, Jason Reitman menerima dua pencalonan iaitu Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik yang dicalonkan bersama Sheldon Turner.
Dengan pencalonan itu, Up In The Air sudah pasti dilihat sebagai calon utama untuk mengungguli Golden Globe kali ini sementelah ia juga telah memenangi beberapa anugerah pengkritik sebelum ini.
Malah, filem Up In The Air juga tersenarai sebagai salah sebuah 10 filem terbaik untuk tahun 2009 seperti mana yang disenaraikan oleh Institut Filem Amerika (AFI).
Namun pun begitu, laluan Up In The Air bukanlah semudah yang disangka kerana ia perlu berdepan dengan empat buah filem hebat yang memaparkan jalan cerita yang tidak kurang hebatnya.
Karya-karya yang dimaksudkan itu ialah Avatar, The Hurt Locker, Inglourious Basterds dan Precious: Based on the Novel Push by Sapphire.
Saingan terdekat Up In The Air, sudah pasti filem The Hurt Locker yang mengisahkan tentera Amerika yang berjuang di medan perang di Iraq yang menerima tiga pencalonan iaitu Filem Drama Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik bagi Kathryn Bigelow.
Mengekori rapat Up In The Air ialah filem muzikal Nine yang menerima lima pencalonan termasuk Filem Muzikal atau Komedi Terbaik dan tiga untuk kategori lakonan.
Filem arahan Rob Marshall ini sememangnya sudah meraih perhatian dari awal memandangkan lakon layar dan barisan pelakon yang membintangi filem ini semuanya adalah golongan kelas A.
Tiga pelakonnya iaitu Daniel Day-Lewis, Marion Cotillard dan Penelope Cruz masing-masing menerima pencalonan bagi kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Muzikal atau Komedi Terbaik serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Filem lain yang dipertandingkan dalam kategori Filem Muzikal atau Komedi Terbaik ialah (500) Days of Summer, The Hangover, It's Complicated dan Julie & Julia.
Aktres berpengalaman, Meryl Streep membuktikan usia bukanlah satu halangan buatnya untuk dicalonkan sekali lagi dalam edisi terbaru Golden Globe ini.
Pelakon berusia 60 tahun itu menerima pencalonan berganda menerusi kategori Pelakon Wanita Muzikal atau Komedi Terbaik untuk dua filemnya iaitu It's Complicated dan Julie & Julia.
Pelakon jelita, Sandra Bullock juga tidak kurang hebatnya apabila turut menjejaki langkah Meryl dengan menerima dua pencalonan.
Selepas beberapa tahun, kerjaya seninya dilihat kurang menyerlah tetapi tahun 2009 boleh dianggap sebagai tahun kebangkitan Sandra. Dia dicalonkan untuk Pelakon Wanita Drama Terbaik bagi filem The Blind Side dan bagi kategori Pelakon Wanita Muzikal atau Komedi Terbaik pula, dia dicalonkan menerusi filem komedi romantik, The Proposal.
Kategori Filem Animasi Terbaik juga tidak kurang hebatnya apabila lima filem animasi yang bertanding memiliki kekuatan masing-masing dari segi jalan cerita dan pendekatan animasi yang berbeza.
Lima filem itu ialah Cloudy with a Chance of Meatballs, Coraline, Fantastic Mr. Fox, The Princess and the Frog dan Up.
Selalunya, pemenang yang memenangi Golden Globe memberi petanda awal siapakah yang bakal bersinar di malam Oscar nanti.
Golden Globe tidak hanya mengiktiraf karyawan seni filem Hollywood tetapi juga dalam bidang televisyen.
Apa yang menariknya, menerusi senarai pencalonan tahun ini dapat dilihat beberapa siri televisyen baru mendominasi senarai pencalonan sekali gus mengenepikan siri yang sudah lama mewarnai kaca televisyen.
Antara yang mencuri perhatian kali ini ialah Glee dan Modern Family yang masing-masing dicalonkan untuk Siri Televisyen Muzikal atau Komedi Terbaik di samping tiga calon 'senior' lain iaitu 30 Rock, Entourage dan The Office.
Bagi kategori Siri Televisyen Drama Terbaik pula memperlihatkan saingan yang cukup sengit di antara Big Love, Dexter, House M.D., Mad Men dan True Blood.
Anugerah pencapaian sepanjang hayat, Cecil B. DeMille pula diberikan kepada pengarah filem veteran, Martin Scorsese.
Anugerah Golden Globe Ke-67 akan berlangsung pada 17 Januari depan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: