Sunday, December 20, 2009

Memberi pilihan rawatan terbaik




KANSER! Satu perkataan yang menggerunkan, ditafsir sebagai 'pasti mati' oleh sesetengah masyarakat umum yang kurang memahaminya. Secara perubatan, kanser atau barah cuma merujuk kepada satu kumpulan penyakit yang melibatkan ketumbuhan abnormal yang tidak terkawal.

Ketumbuhan ini mungkin menceroboh ke struktur tisu yang sihat, memusnahkan tisu sihat dan mungkin juga merebak (metastasis) ke bahagian badan yang lain melalui salur darah atau salur limfatik.

Tahap ketumbuhan, pencerobohan dan penyebaran menjadi asas menentukan jenis kanser berkenaan membahayakan atau tidak.

Bermacam jenis

Kebanyakan kanser membentuk ketumbuhan pejal (tumor) tetapi ada yang tidak - seperti leukemia (kanser darah).

Kanser juga tidak mengenal usia tetapi semakin kerap dikesan mengikut peningkatan usia individu.

Dianggarkan sekitar 13 peratus kematian global pada 2007 berlaku akibat kanser. Namun, ini tidak bermakna mereka yang menghidap kanser pasti akan menemui ajal!

Kanser berpunca daripada perubahan abnormal kepada struktur genetik (DNA) sel badan. Perubahan genetik yang abnormal ini mungkin diwarisi atau berlaku akibat faktor persekitaran seperti bahan kimia, radiasi, jangkitan kuman dan asap rokok.

Kebiasaannya, sel badan yang mengalami kerosakan teruk pada struktur atau genetiknya akan memusnahkan diri (bunuh diri) secara automatik - bagi mengelakkan fungsi dan ketumbuhan abnormal.

Bagaimanapun, ada sesetengah sel yang mengalami kerosakan 'enggan' membunuh diri, seterusnya mula membiak di luar kawalan.

Sistem imuniti badan individu yang sihat kebiasaannya dapat mengesan sel kanser di peringkat awal dan membunuhnya.

Tetapi, jika sistem imuniti lemah atau sel kanser berjaya 'menyorokkan diri', ketumbuhan kecil boleh membentuk kanser teruk yang boleh membahayakan nyawa pesakit - bergantung kepada tapak ketumbuhan terbentuk.

Pengesahan kanser akan memerlukan beberapa ujian khusus mengikut tapak ketumbuhan, kebiasaannya memerlukan pengambilan biopsi (contoh tisu) untuk melihat perubahan struktur sel dan tisu (antara normal dan sel kanser).

Kebanyakan kanser kini boleh dirawat dan penghidap sesetengah jenis kanser mampu pulih sepenuhnya - bergantung kepada jenis, lokasi dan tahap kanser berkenaan.

Sejak sekian lama, pembedahan, kemoterapi dan radioterapi menjadi kaedah rawatan utama untuk kebanyakan kanser.

Malangnya, ketiga-tiga kaedah ini boleh memberi beban besar terhadap kesihatan dan menjejaskan kualiti hidup pesakit.

Namun, perkembangan ilmu dan teknologi perubatan telah membawa kepada lebih banyak kaedah rawatan yang lebih berkesan dan kurang menjejaskan kualiti hidup pesakit.

Penemuan-penemuan baru memungkinkan aplikasi vaksin (kanser serviks), teknologi molekular bagi mengenalpasti gen kanser lebih awal, pemeriksaan berkala yang lebih tepat, rawatan khusus mengikut keperluan individu dan juga kelas rawatan khusus yang menghalang perkembangan dan penyebaran sel kanser.

Kanser buah pinggang

Seperti kebanyakan kanser lain, kanser buah pinggang (RCC) menjadi kanser berbahaya kerana kesukaran dikesan di peringkat awal, dan boleh membawa maut apabila dikesan pada peringkat lewat.

Dianggarkan 200,000 kes RCC baru dikesan setiap tahun di seluruh dunia, dengan 25 hingga 30 peratus daripadanya dikesan pada tahap lewat - metastasis (sudah merebak).

"Di Malaysia, RCC lebih banyak berlaku di kalangan lelaki berbanding wanita dengan nisbah 2:1, terutamanya di kalangan pesakit berketurunan Cina.

"Kadar kejadian RCC juga meningkat dengan mendadak selepas seseorang itu melangkaui umur 40 tahun," jelas Datuk Dr. Mohamed Ibrahim A. Wahid, Pakar Perunding Onkologi dan Presiden Persatuan Onkologi Malaysia.

Menurut beliau, RCC juga lebih kerap berlaku secara spontan (akibat faktor luar) berbanding akibat warisan genetik.

Pesakit yang menghidap kanser ini juga kebiasaannya tidak menunjukkan sebarang gejala jelas di peringkat awal.

Gejala jelas kebiasaannya muncul di peringkat lanjut, menyebabkan satu pertiga hingga separuh penghidap RCC dikesan pada tahap lewat dan teruk.

"Sebanyak 30 peratus pesakit dengan RCC hadir dengan keadaan kanser sudah merebak ke paru-paru, tisu lembut, tulang, hati, kulit dan sistem saraf tunjang.

"Tahap kanser pesakit RCC dikelaskan mengikut empat peringkat (I, II, III atau IV), dengan peringkat IV sebagai tahap kanser berkenaan sudah merebak," kata Dr. Mohamed Ibrahim.

Pilihan rawatan

Untuk bertahun-tahun lamanya, pembedahan dan immunoterapi menjadi kaedah pilihan untuk merawat kanser buah pinggang (RCC).

Menurut Dr. Mohamed Ibrahim, pembedahan menjadi kaedah utama bagi membuang tisu kanser RCC pada peringkat I, II dan III - kanser belum merebak ke bahagian badan lain.

"Bagi peringkat IV, pembedahan digunakan bersama kaedah rawatan lain, sama ada untuk merawat atau sekadar mengurang penderitaan pesakit (yang tidak dapat diselamatkan).

"Immunoterapi melibatkan penggunaan komponen dari sistem imuniti seperti cytokine, interleukin dan interferon - secara individu atau gabungan.

Malangnya, beliau memaklumkan ketoksikan bahan-bahan immunoterapi sering kali lebih tinggi daripada manfaatnya untuk merawat RCC.

Selain kesan sampingan yang teruk, sifat bahan immunoterapi seperti cytokine yang amat toksik kepada badan menjejaskan kebarangkalian aplikasinya untuk rawatan RCC.

Selain itu, kemoterapi juga cuba digunakan untuk merawat RCC tetapi hasilnya menghampakan dengan peningkatan jangka hayat pesakit yang amat rendah. Secara umumnya, kemoterapi dianggap tidak berkesan ke atas RCC.

Cubaan menggunakan hormon seperti progestin, androgen, antiestrogen dan medroxyprogesterone untuk merawat RCC juga menunjukkan hasil yang mengecewakan dengan sesetengah pesakit hanya mempunyai selera makan yang lebih baik.

"Pembedahan bukan pilihan untuk menyembuhkan RCC peringkat IV. Kanser ini juga kental terhadap kemoterapi dan radioterapi, sementara immunoterapi lebih memudaratkan daripada membantu.

"Keperluan rawatan untuk pesakit RCC telah menggalakkan kajian ke arah pelbagai kaedah baru bagi mengawal perkembangan dan penyebaran kanser ini," ujar Dr. Mohamed Ibrahim.

Sasaran khusus

Prognosis hanya 9.5 peratus pesakit RCC yang mempunyai jangka hayat 5 tahun ke atas memaksa kajian giat dijalankan ke arah rawatan secara sistemik mahupun secara khusus bagi mengawal kanser buah pinggang.

Untuk itu, muncul kaedah rawatan khusus yang menyasarkan ciri-ciri sel kanser - dengan memahami bagaimana sel kanser berfungsi, berkembang dan merebak.

"Memahami bagaimana dan mengapa sel kanser membiak dan terus hidup dapat membantu penyelidik mencari kaedah menghalang perkembangannya.

"Sama ada menghalang isyarat yang membolehkan sel kanser membiak, menghalang bekalan darah kepada ketumbuhan kanser mahupun apa sahaja kaedah kawalan lain yang berkesan," tegas Dr. Mohamed Ibrahim.

Antara asas yang cuba dikembangkan kini adalah mengenalpasti kaedah terapi yang dapat menghalang isyarat yang menggalakkan pembesaran dan perkembangan sel kanser.

Sebagai contoh, faktor tumbesaran (growth factor) - sekumpulan bahan semulajadi yang menjadi isyarat pemangkin dan pengawal atur fungsi-fungsi sel.

Faktor tumbesaran bukan sahaja mengawal fungsi dalaman sel, malahan memberi kesan kepada pembesaran, penyebaran, membaik pulih kerosakan dan menggantikan sel yang telah mati (seperti pada kulit).

"Terapi sasaran khusus boleh mencari penghadang kepada faktor tumbesaran yang memberi isyarat kepada sel kanser untuk membesar.

"Untuk rawatan kanser RCC, sekurang-kurangnya lima jenis ubat sasaran khusus telah ditemui, tiga darinya telah didaftarkan di Malaysia," jelas Dr. Mohamed Ibrahim.

Menurut beliau, rawatan interleukin atau interferon sebelum ini tidak memberi pilihan lain jika kedua-duanya gagal.

Melalui terapi sasaran khusus yang boleh diambil secara suntikan atau tablet, pesakit mempunyai pilihan ubat lain jika ubat yang digunakan gagal mengawal perkembangan kanser buah pinggang.

Dr. Mohamed Ibrahim menegaskan terapi sasaran khusus bukannya bertindak membunuh sel kanser sepanjang masa, malahan turut mengawal perkembangan sel kanser berkenaan.

"Tidak menjadi masalah besar selagi kanser tersebut terkawal dan tidak membesar atau merebak.

"Walaupun ubat sebegini tidak dapat menyembuhkan sepenuhnya pesakit kanser, sekurang-kurangnya jangka hayat pesakit dapat dilanjutkan - bukan sekadar beberapa bulan tetapi sehingga bertahun lamanya!"

Menurutnya, kebanyakan pesakit RCC sebelum ini dikesan pada tahap IV (metastasis) dan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Namun tambahnya, rawatan baru terapi sasaran khusus memberikan impak positif yang membolehkan pesakit hidup lebih lama, tanpa tahap toksik yang tinggi kepada badan.

Dr. Mohamed Ibrahim juga berpendapat ubat yang dapat menyembuhkan sepenuhnya tahap akhir RCC atau mana-mana jenis kanser dalam hayatnya.

"Sekurang-kurangnya pesakit dapat hidup lebih lama dengan kesan sampingan serendah mungkin.

"Namun, ubat terapi khusus ini perlu diberikan pakar bidang onkologi (kajian kanser) supaya mereka dapat menasihatkan pesakit dan tahu mengawal rawatan tersebut - memastikan tahap keberkesanan dan kesan sampingan," katanya.

Merawat RCC

Dengan pilihan sekurang-kurangnya lima jenis ubat baru ini, pesakit mempunyai pilihan dan dapat mengambilnya mengikut urutan - jika ubat terdahulu tidak berkesan.

"Apa yang penting, pesakit tahu ada pilihan rawatan untuk kanser buah pinggang peringkat IV - bukan hanya menunggu ajal!

"Jangka hayat pesakit dapat dipanjangkan sehingga bertahun-tahun lamanya, dengan kualiti hidup yang lebih baik," tegas Dr. Mohamed Ibrahim.

Menceritakan pengalaman merawat pesakit menggunakan terapi sasaran khusus, beliau memaklumkan kisah seorang pesakit berpangkat Datuk yang menghidap kanser RCC Peringkat IV.

Pesakit yang ketika itu sudah berusia 60-an dimaklumkan seorang doktor lain bahawa tiada ubat untuk RCC peringkat IV, dan dia sepatutnya menikmati sisa-sisa hidupnya.

"Pesakit yang tidak berputus asa mencari rawatan alternatif di luar negara. Akhirnya dia datang berjumpa saya pada peringkat yang amat teruk.

"Tulang pelvisnya hampir musnah akibat tumor RCC (metastasis). Dengan rawatan khusus yang bersesuaian, Datuk ini semakin sihat dan dapat keluar dari hospital selepas empat minggu," ujarnya.

Pesakit ini katanya, hidup dengan baik hampir tiga tahun dan sempat berkahwin dengan seorang wanita berusia 20-an.

Datuk tersebut menjalani kualiti hidup yang baik melalui terapi khusus berkenaan sehinggalah sel kanser tersebut merebak ke otaknya dan membawa maut.

"Kisah ini menunjukkan ubat yang terbaik juga tidak berkesan sepanjang masa. Kadang kala sel kanser berjaya mencari cara lain untuk membesar dan merebak.

"Namun, pesakit sekurang-kurangnya mempunyai banyak pilihan ubat dan dapat hidup lebih lama, dengan kualiti hidup lebih baik," jelas Dr. Mohamed Ibrahim.

Dengan meningkatkan jangka hayat pesakit dan perkembangan berterusan rawatan untuk kanser, lebih banyak ubat baru yang dapat meneruskan hayat pesakit, mungkin juga hingga munculnya ubat yang menjadi penawar.

Kajian berterusan juga sedang dijalankan untuk terapi khusus bagi jenis kanser lain - seperti kanser payudara dan kanser hati.

Mungkin buat masa ini, sasaran terbaik adalah untuk mengawal perkembangan dan penyebaran sel kanser berbanding mencari penawarnya.

"Walaupun tidak dapat memusnahkan sepenuhnya sel kanser, sekurang-kurangnya pilihan terapi khusus dapat menyekat perkembangannya.

"Selagi ia dapat menyambung hayat pesakit dan memberi kualiti hidup yang lebih baik - mungkin sehingga munculnya penawar sebenar untuk semua jenis kanser," kata Dr. Mohamed Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: