Thursday, December 3, 2009

'Mek Ani' Terus Menanti Jawapan Dari Finas

Kak Wan masih lagi menanti jawapan daripada pihak Finas berkenaan dana filem ini.

SUDAH lebih setahun sejak penerbit dan pelakon kontroversi, Wan Noraini Wan Noh atau lebih mesra dengan sapaan Kak Wan melancarkan filemnya yang mengangkat tema makyung, 'Mek Ani'.

Namun, sehingga hari ini masih tiada bayang mengenai status filem itu dan Kak Wan masih terus menunggu.

Teruja untuk mengetahui situasi sebenar dan perkembangan terkini 'Mek Ani', mStar Online lantas menghubungi Kak Wan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Kak Wan terus membuka bicara dan terus mengakui bahawa filem 'Mek Ani' masih belum siap dan belum lagi memulakan penggambaran.

"Pembikinan sesebuah filem bertemakan epik dan warisan seperti 'Mek Ani' memerlukan kos yang sangat tinggi," kata Kak Wan.

'Mek Ani' yang sepatutnya memulakan penggambaran tahun lalu telah berhadapan dengan beberapa masalah termasuk isu kewangan sehingga menyebabkan proses penggambarannya terpaksa ditangguhkan.

"Apabila 'Mek Ani' dipilih sebagai filem kenegaraan oleh Finas, saya amat bersyukur dan menarik nafas lega kerana menyedari bahawa nasib filem ini pasti akan terbela dan penggambaran dapat diteruskan," jelasnya.

Menurut Kak Wan, 'Mek Ani' yang menelan kos keseluruhan mencecah RM5.4 juta itu mendapat khabar gembira tahun ini apabila dipilih oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai filem kenegaraan yang melayakkannya mendapat pembiayaan sokongan seperti filem arahan 'Embun' (arahan Erma Fatima) dan 'Paloh' (arahan Adman Salleh) sebelum ini.

Masa terus berlalu, sehingga hari ini, masih tiada jawapan dan kelulusan daripada pihak Finas berkenaan status dana tersebut.

"Kak Wan masih lagi menanti jawapan daripada pihak Finas berkenaan dana filem ini. Malangnya, masih tiada perkembangan dan susulan daripada mereka (Finas) tentang status dana itu.

"Selagi pihak Finas belum memberi kata putus, kami tidak dapat menentukan tarikh penggambaran filem ini," katanya dengan nada sayu.

Bukan mahu mempersoal jauh sekali menyalahkan mana-mana pihak, hakikatnya Kak Wan masih lagi terus menunggu dengan harapan menggunung mengenai status dana pembiayaan filemnya.

"Bayangkan segala pengorbanan dan kesukaran yang telah saya tempuhi untuk menghasilkan karya ini.

"Bermula dengan proses pra-produksi sehingga hari ini antaranya Kak Wan terpaksa menggantikan pengarah asal Arief Karmahani kepada Mahadi J Murat kerana Arief telah terikat dengan komitmen projek lain, menanggung kos yang tinggi untuk membeli set dan peralatan yang berkaitan, kos penerbitan lagu tema, Secebis Rindumu (nyanyian dan ciptaan Hazami) dan banyak lagi.

"Tetapi, saya menganggap segala pengorbanan masa, tenaga dan kos yang mencecah RM 1.6 juta itu akan terbayar apabila filem ini disiapkan kelak," katanya lagi.

Mengakui bahawa dirinya sedih, kecewa dan malu dengan situasi yang melanda, Kak Wan bagaimanapun tidak patah semangat untuk terus memperjuangkan naskah ketiga terbitannya itu selepas 'Wanita Bertudung Hitam' dan 'Cinta Yang Satu'.

"Memang tidak dapat dinafikan saya agak kecewa, sedih dan malu dengan perkara yang berlaku.

"Apatah lagi untuk bertemu teman industri dan pihak media kerana mungkin ada yang beranggapan bahawa saya hanya 'cakap kosong' ketika melancarkan filem ini tahun lalu. Namun sehingga hari ini masih tiada sebarang perkembangan mengenai filem ini.

"Hakikatnya, bukan saya 'cakap kosong' atau 'berangan' untuk menghasilkan 'Mek Ani'. Filem ini pasti akan diteruskan cuma saya masih belum mendapat jawapan daripada Finas.

"Pelbagai usaha telah saya lakukan termasuklah mendapatkan surat sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri dan menghantar surat rayuan kepada Datuk seri Utama Rais Yatim menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan beberapa kali bagi merealisasikan projek ini.

"Kini, jalan terbaik buat saya adalah terus menunggu kata putus daripada pihak Datuk Seri Utama Rais Yatim tentang status pembiayaan itu.

Ditanya adakah dia tetap akan menerbitkan 'Mek Ani' seandainya filem itu gagal mendapat pembiayaan skim tersebut, Kak Wan optimis untuk meneruskan perjuangannya demi memartabatkan warisan dan budaya negara.

"Sejujurnya Kak Wan lebih selesa untuk berfikir secara optimis dalam hal-hal sebegini. Namun, seandainya nasib tidak menyebelahi, Kak Wan akan tetap menerbitkan 'Mek Ani' walau dengan apa cara sekalipun.

"Mungkin hanya setelah filem ini sudah disiapkan kelak, baru ada pihak yang akan buka mata untuk membiayai semula kos penerbitannya," ujarnya berseloroh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: