Thursday, December 10, 2009

Mati semasa tunjuk perasaan


SEJUMLAH anggota polis Indonesia menghalang penunjuk perasaan berjalan di depan Istana Presiden di Jakarta.


JAKARTA - Seorang aktivis mati semasa menyertai demonstrasi memperingati Hari AntiRasuah yang melibatkan ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan rakyat di sini semalam.

Polis Indonesia mengesahkan Andi Paralai, 31, aktivis Gerakan Nasional Pemberantasan Korupsi (GNPK) dari Pemalang, Jawa Tengah, rebah dan pengsan secara tiba-tiba semasa sedang berpidato di Bulatan Hotel Indonesia.

Jurucakap Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Julian Aldrin Pasha berkata, Susilo menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga aktivis tersebut dan berharap tidak ada lagi insiden buruk berlaku dalam demonstrasi yang diadakan di seluruh negara oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Julian berkata, kematian Andi Paralai dimaklumkan kepada Susilo ketika beliau hendak berlepas dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusumah di sini untuk menghadiri majlis perasmian Forum Demokrasi Bali II di Bali.

Sementara itu, pasukan polis Indonesia melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air dalam satu tunjuk perasaan di sini bagi mendesak pemerintah Indonesia mengambil tindakan bagi menamatkan amalan rasuah di kalangan ahli politik, polis dan pegawai awam lain.

Dalam tunjuk perasaan itu, beberapa anggota penunjuk perasaan membaling batu ke arah polis.

Lebih dari 24 buah perhimpunan tunjuk perasaan diadakan di ibu negara Jakarta dan beberapa bandar besar Indonesia sekali gus menjadikannya sebagai acara tahunan Hari AntiRasuah Antarabangsa.

Susilo kini menghadapi tekanan untuk menunaikan janji-janjinya bagi menghapuskan rasuah selepas beliau memenangi pilihan raya Presiden pada Julai lalu.

Dalam salah satu tunjuk perasaan, sejumlah pelajar yang bersenjatakan batu dan batang kayu bertempur dengan anggota-anggota polis antirusuhan dan merosakkan bangunan-bangunan komersial di wilayah Sulawesi Selatan, Makassar.

Pihak polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan apabila penunjuk perasaan cuba menyerbu kawasan pejabat gabenor.

“Kami mahu pemerintah bertindak menghukum pegawai-pegawai yang menyebabkan negara ini menjadi bankrap,” kata seorang pelajar, Amang Wijaya, 19, di Makassar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: