Radziah meninggalkan kerjaya jurutera demi membuka pusat kecergasan khusus untuk wanita, Contours Express, francais pertama gimnasium asal Amerika itu di Malaysia.
BAGAIMANA agaknya perasaan apabila menjadi seorang wanita kuat? Soalan itu sesuai sungguh ditanya kepada pengusaha gimnasium Contours Express di Kota Damansara, Radziah Mohd. Radzi, 31, kerana beliau tahu kepentingan menjadi seorang wanita yang penuh tenaga.
Beliau yang berpengalaman menjadi mangsa ragut berkata: “Pernah sekali beg tangan saya diragut dan saya terjatuh. Tapi disebabkan tubuh saya kuat, saya tidak mengalami kecederaan yang teruk.”
Jelas sekali, istilah kuat yang dimaksudkan pemilik Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini bukan merujuk kepada sifat gagah secara fizikal sebaliknya kuat dari segi kesihatan dan semangat.
Sebab itu beliau menegaskan: “Kadang-kadang bila badan tidak kuat, kecederaan yang dialami akan lebih teruk!”
|
|
“Dengan bersenam di rumah saja pun sudah mencukupi. Kita perlu sedar bahawa tiada jalan pintas dalam menjaga kesihatan. Bersenam juga baik untuk kekuatan tulang dan tubuh wanita.
Nasihat Radziah lagi: “Seperti yang kita tahu, senaman boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit yang serius. Jadi, kenapa kita tidak cuba luangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk bersenam setiap hari?”
Sebenarnya, minat yang mendalam terhadap bidang kecergasan telah membolehkan beliau muncul sebagai pemegang francais Contours Express pertama di Malaysia pada tahun 2007.
Dengan motto The Better Idea in Women’s Gyms, Contours Express yang berpangkalan di Kentucky, Amerika Syarikat merupakan francais pusat kecergasan wanita kedua terbesar di dunia selepas Curves.
Contours Express mempunyai lebih 700 cawangan di 23 buah negara. Pusat kecergasan itu dilengkapi dengan peralatan yang sesuai dengan tubuh wanita dan meletakkan sasaran untuk mencapai tahap kecergasan dalam masa 29 minit!
Negara jiran, Singapura, setakat ini mempunyai tujuh cawangan francais Contours Express, manakala negara rantau Arab, Qatar, dua dan Kuwait bakal muncul dengan pusat senaman itu tidak lama lagi.
Berbekalkan modal sebanyak RM250,000, Radziah merealisasikan impiannya untuk menjadi usahawan pusat senaman.
Wanita bertudung
“Mungkin sudah banyak perkhidmatan gim ditawarkan di bandar-bandar besar namun tidak banyak yang dikhususkan untuk wanita.
“Kebanyakan wanita malu untuk pergi ke gim yang majoritinya dikunjungi kaum lelaki. Lebih-lebih lagi wanita Melayu yang bertudung. Mereka perlukan privasi dan bersenam dalam keadaan selesa.
“Jadi kenapa tidak saya wujudkan satu tempat khas bagi mereka untuk melakukan senaman dengan bebas dan tanpa rasa malu,” ujarnya yang aktif bersukan ketika di bangku sekolah dan di universiti.
Menurut Radziah, jumlah keahlian di gimnasium beliau setakat ini ialah kira-kira 200 orang dengan lebih 80 peratus adalah wanita Melayu.
“Saya berharap akan mendapat lebih ramai ahli lagi selepas ini termasuk daripada bangsa lain,” katanya.
Contours Express mengenakan yuran sebanyak RM89 setahun untuk keahlian tetap dan RM119 selama enam bulan untuk keahlian mengikut kontrak.
“Orang ramai juga boleh menjadi ahli secara percubaan selama seminggu dengan yuran sebanyak RM19 sahaja,” terang Radziah.
Selain menawarkan kemudahan peralatan yang pelbagai, Contours Express turut menyediakan tiga program senaman yang berkualiti.
Cuma 29 minit
Pertama ialah circuit training iaitu program gabungan tiga dalam satu yang dikendalikan selama 29 minit.
Ia terdiri daripada tiga jenis senaman iaitu latihan kekuatan yang berfungsi untuk menguatkan tulang dan badan, mengawal berat badan dan melindungi badan daripada kecederaan.
“Senaman kedua ialah senaman kardio yang bertujuan menjaga kesihatan jantung, membina stamina dan membakar lebih 600 kalori setiap sesi.
“Program ketiga pula ialah senaman fleksibeliti yang berfungsi untuk menstabilkan postur badan supaya kita boleh bergerak dengan lebih baik dan seimbang,” kata beliau sambil memberitahu, gimnasium beliau menyediakan pelbagai kelengkapan senaman seperti mesin elektrikal, kusyen aerobik dan basikal.
Menurut Radziah, setiap perniagaan pasti ada risiko.
“Yang penting, kita perlu yakin bahawa kita akan memperoleh kejayaan jika diiringi dengan usaha yang berterusan.
“Kadang-kadang tekanan kerja dalam pengurusan pun ada terutama untuk menambah bilangan ahli di gim saya.
“Tapi semua itu tidak menghalang saya daripada meneruskan impian,” jelas Radziah yang pernah berkhidmat selama enam tahun di sebuah syarikat perunding pembinaan sebelum membuka perniagaan sendiri dua tahun lalu.
Tambahnya: “Saya pernah juga terfikir untuk membuka firma dalam sektor kejuruteraan. Tapi risikonya lebih tinggi berbanding perniagaan gim.
“Lagipun saya berhenti sebagai jurutera sebab saya ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
“Kalau saya terus terlibat dengan kerjaya tersebut, mungkin keluarga dan kesihatan saya akan terabai.
“Lebih-lebih lagi kerjaya sebagai jurutera sangat sibuk dan selalu ke luar daerah,” ujarnya yang mengaku tahap kesihatan beliau menjadi lebih baik selepas kerap dapat bersenam di gimnasium.
“Ia juga mengurangkan tekanan,” katanya yang dahulu sering mengalami migrain akibat tekanan kerja.
Tanpa dorongan daripada suami, M. Shafuan Abdullah, 38, bukan mudah untuk Radziah berjuang seorang diri dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran.
Shafuan, seorang jurutera Petronas, berkata beliau yakin dengan kebolehan isterinya dan turut melihat masa depan yang cerah dalam perniagaan tersebut.
“Orang Malaysia agak konservatif. Mereka nak lihat hasil baru percayakan sesuatu produk itu. Contours Express adalah antara gim yang mengenakan yuran keahlian termurah.
“Kita mestilah ikut kemampuan pelanggan. Dua tahun pertama memang susah untuk naik, tapi saya yakin pusat kecergasan ini akan dapat melepasi peringkat itu tidak lama lagi,” ungkapnya.
Sebagai seorang suami yang sentiasa berada di belakang isterinya, Shafuan memberikan 100 peratus sokongan baik dari segi moral mahupun kewangan.
“Saya juga selalu membantu untuk memperkenalkan gim tersebut kepada rakan-rakan korporat.
“Walaupun ia tidaklah sebesar dan selengkap gim terkemuka lain, namun ia sangat berkesan untuk pasaran Asia,” luahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: