Friday, December 4, 2009

Legenda chef dunia




SAMBIL melihat jarinya, lelaki Cina itu berkata: "Waktu mula-mula bekerja sebagai chef sekitar 28 tahun lalu, saya rasa jari-jari ini panjang sedikit. Mungkin sebab terlalu lama dan laju memotong sayur, jari-jari saya menjadi 'lebih pendek' dan kerana itu jugalah, saya boleh berada dalam industri ini untuk lebih 20 tahun lagi."

Seloroh bersahaja itu disambut dengan gelak ketawa daripada para hadirin. Sangat jelas, dia bijak berlawak. Ia sekali gus menghidupkan suasana ruang Galeri Starhill di Kuala Lumpur yang pada awalnya tidak bermaya pada petang Isnin lalu.

Dengan sebilah pisau dalam genggaman tangan kanannya, lelaki berusia lebih separuh abad itu sekali lagi menunjukkan bakat seorang penghibur. Ingin membuktikan betapa tajamnya pisau tersebut, dia dengan pantas memotong sehelai lipatan kain.

"Untuk berjaya dalam bidang ini, kemahiran menggunakan pisau sangat penting. Cara memegang pisau sahaja sudah boleh menentukan sejauh mana kerjaya seseorang chef dalam industri ini," katanya dalam nada separuh serius.

Namun, puluhan audiens yang ada pada hari itu yakin kenyataan tadi bukan satu gurauan. Jauh sekali satu pandangan yang tidak masuk akal.

Sebabnya, kenyataan itu bukan keluar daripada mulut mana-mana chef amatur. Sebaliknya, ia adalah pandangan profesional chef veteran terkemuka dunia, Chef Martin Yan.

Beliau yang berada di Kuala Lumpur baru-baru ini telah mengendalikan beberapa sesi masakan eksklusif secara langsung atas jemputan Kollektion Distribution Sdn. Bhd.

"Cara memegang pisau sahaja belum mencukupi. Sebaliknya, teknik cengkaman sewaktu memegang pisau yang betul turut membantu melancarkan proses memotong.


SAMBUTAN hangat daripada hadiri di Galeri Starhill, Kuala Lumpur.


"Sama ada mengupas kulit sebiji lada (bell pepper) atau 'menghentam' seulas bawang putih, semuanya bergantung kepada kekuatan seseorang memegang pangkal hulu pisau," jelasnya.

Martin sempat menunjukkan teknik memotong lada dan bawang merah dengan hirisan yang sangat nipis dan sekata saiznya. Lebih mengujakan lagi, hirisan nipis itu dilakukannya tanpa terlalu memberi fokus kepada apa yang sedang dipotong itu.

"Ramai orang yang menjadi sangat 'emosi' apabila memotong bawang. Elakkan dua kesilapan besar ketika melakukannya.

"Pertama, terlalu rapat dengan subjek. Kedua, memotong pada kadar yang terlalu perlahan," katanya yang terkenal dengan teknik menyingkirkan tulang daripada seekor ayam dalam masa kurang 18 saat.

Idola dunia masakan yang seorang ini sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Tidak keterlaluan juga jika beliau disifatkan sebagai legenda dunia masakan. Lebih-lebih lagi dalam mengalihkan pandangan dunia ke arah masakan Asia, khasnya masakan masyarakat Cina.

Martin berkata, memasak memberinya satu bentuk kepuasan dan ia adalah satu kombinasi kewarasan minda (common sense) dan imaginasi," ujarnya. Menurutnya, imaginasi yang terbentuk diterjemahkan ke dalam setiap masakannya.

Bertemakan 'Pengalaman Kulinari dengan GE Monogram', sesi demonstrasi masakan yang berlangsung hampir dua jam itu terasa begitu cepat berlalu.

Hakikatnya, ada elemen nostalgia yang menyelubungi setiap inci ruang Galeri Starhill itu. Ungkapan 'If Yan can cook..so can you' yang keluar daripada mulut Martin sering membawa audiens kembali kepada memori 90-an sewaktu rancangan TV, Yan Can Cook berada di kemuncak populariti.

Populariti Yan Can Cook yang dimulakan sejak tahun 1978 berpunca daripada kemahiran Martin berinteraksi dengan audiens. Elemen-elemen humor, kemesraan dan penuh tenaga sering disuntik dalam semua rancangan TV kendaliannya. Ini sekali gus berjaya membuat penonton tercegat di depan TV setiap kali programnya ke udara.

"Saya kurang mengambil serius terhadap diri sendiri tetapi dalam kerja..., saya serius," kata bapa kepada sepasang anak kembar lelaki itu.

Justeru, kesempatan menyaksikan kelibat anak kelahiran Guangzhou, China itu beraksi dan berjenaka di depan mata nyata satu peluang keemasan yang di luar jangkaan.

Di hadapan audiens yang sebilangan besarnya terdiri daripada para pemegang kad Platinum Plus YTL, Martin memberitahu, rasa gembira dalam dirinya ada sebab.

"Kalau anda gembira, maka anda juga buat orang lain ceria. Kami (chef) perlu gembira agar hati orang pun senang menonton rancangan kami," katanya yang dibantu oleh seorang chef tempatan, Chef Sun dalam penampilan khas itu.

Telah mengendalikan lebih 3,000 rancangan masakan TV yang disiarkan di seluruh dunia, Martin bagaimanapun menolak populariti sebagai tunjang sesuatu kejayaan.


CHEF MARTIN YAN (kiri) bersama seorang pengurus restoran sempena kunjungannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Seperti kebanyakan figura berjaya, beliau percaya kejayaan terbentuk daripada sejumlah elemen ringkas. Tiada perkara baru melainkan kesanggupan bekerja keras, bersungguh-sungguh, yakin pada diri dan mencintai kerjaya sedia ada.

Ketika mula berjinak-jinak dalam dunia masakan, beliau menghabiskan 12 jam hingga 14 jam sehari untuk bekerja. Meskipun hasil pulangan dalam bentuk wang tidak seberapa, Martin mengakui dirinya cukup gembira.

Dilabelkan sebagai 'Chef Selebriti' oleh media dan khalayak, gelaran itu bagaimanapun tidak pernah ada dalam senarai impiannya. Tetapi, dia mengakui dirinya sangat bertuah diberkati dengan banyak peluang sepanjang perjalanan hidupnya.

"Dalam tempoh lebih dua dekad ini, saya rasa diri sangat bertuah kerana dapat melakukan banyak perkara yang tidak boleh dilakukan oleh orang Asia yang lain.

"Sebab itulah, saya cuba memberi fokus kepada budaya masyarakat Asia dalam rancangan saya seberapa banyak yang mungkin," jelasnya yang menerima latihan awal masakan di sebuah restoran Hong Kong terkemuka pada usia 13 tahun.

Lebih membanggakan, Martin menjadi pengacara TV Asia pertama yang disiarkan di televisyen Amerika Syarikat (AS).

Selain menjadi chef undangan ke serata dunia, pemegang ijazah sarjana dalam Sains Makanan daripada Universiti California, AS itu turut berkongsi pengalaman dalam buku nukilannya.

Buku berjudul Martin Yan's China merupakan hasil tulisan ke-30. Produk terbarunya itu diberikan secara percuma kepada 10 pemenang cabutan bertuah dalam sesi masakan tempoh hari.

Menurut Martin, lambakan chef-chef berstatus selebriti kini mendukung tanggungjawab yang sangat berbeza berbanding chef bintang generasi lama.

"Dulu, tidak ada ramai chef selebriti. Sekarang ada ratusan orang chef selebriti. Tidak kurang juga ada yang menaruh impian menjadi bintang filem.


GANDINGAN mantap Chef Martin Yan (kanan) dan Chef Sun ketika membuat demonstrasi masakan.


"Bayangkan, saya yang sudah lama 'menunggu,' sampai sekarang tidak pernah dapat tawaran berlakon," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, tuah benar-benar menyebelahinya kerana dia sempat berlakon dalam sebuah filem berjudul Rice Rhapsody di bawah arahan Sylvia Cheng pada tahun 2004.

Martin menyifatkan gelaran chef selebriti hari ini hadir bersama tanggungjawab sosial. Mengambil contoh chef Jamie Oliver yang banyak memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk berjaya dalam hidup, beliau sendiri melakukan perkara yang sama.

Antaranya, beliau menyelitkan pengetahuan dunia masakan dalam sesi bersama kanak-kanak. Audiens ciliknya diberitahu agar berhati-hati di dapur dan tidak membazir makanan.

Sudah beberapa kali berkunjung ke Malaysia, Martin mengakui terpikat dengan hidangan bah kut teh, buah durian dan wanita-wanita tempatan.

Sepanjang pengamatan saya, Martin begitu merendah diri. Walaupun sedar fokus media pada petang itu banyak tertumpu kepadanya, namun beliau ingin khalayak mengalihkan pandangan kepada Chef Sun.

Bukan apa. Hanya berbekalkan pengajian setakat tingkatan satu, Chef Sun atau nama sebenarnya Chin Chee Sing berusaha keras dalam dunia masakan sehingga bergelar Ketua Chef di restoran Summer Palace di Damansara Utama pada hari ini.

"Saya menyanjungi orang sepertinya," tambah Martin yang kini menetap di California.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: