Friday, December 25, 2009

Krismas seorang supermodel


GENAP usia 28 tahun pada 14 Disember lalu, Amber kini merencanakan fasa hidup baru sebagai seorang ahli perniagaan.
MENYAMBUT Hari Natal menjadi tradisi Amber dan keluarganya setiap tahun biarpun dia menganuti agama Buddha.




PERTAMA kali menjejakkan kaki di banglo milik supermodel terkenal Malaysia Amber Chia di Petaling Jaya, Selangor, wujud perasaan kagum di hati melihat hasil titik peluhnya selama 10 tahun bergelar seorang model dan pelakon.

Namun, agenda Kosmo! bukanlah menjejaki kejayaan yang pernah diraih anak kelahiran Ipoh, Perak itu, sebaliknya untuk mengadakan fotografi khas sempena Hari Natal yang jatuh pada 25 Disember setiap tahun.

Seperti yang dijanjikan tanpa banyak kerenah Amber terus beraksi dengan cukup selesa. Terlihat jelas profesionalisme Amber saat berada di hadapan kamera.

Setiap aksi Amber bukan sahaja diperhatikan oleh jurufoto tetapi juga ibu, kakak, adik, pengurus dan rakannya. Pada malam sebelum sesi fotografi dijalankan, satu parti mengejut telah diadakan untuk Amber sempena hari lahirnya yang ke-28 pada 14 Disember lalu.

Masih lagi dalam mood ceria, Amber memberitahu bukan mudah untuknya berkumpul bersama ahli keluarga dek kerana kesibukan kerjayanya yang membuatkan setiap saat begitu berharga.

"Memang masih dalam mood gembira, pertama kerana sambutan hari lahir dan keduanya kerana ibu saya datang ke Kuala Lumpur menemani saya sehingga Krismas," ujarnya.

Bercerita lanjut tentang Krismas, jelas Amber meskipun dia bukan penganut agama Kristian sebaliknya menganut agama Buddha, itu bukannya halangan untuknya menyambut perayaan penuh warna-warni ini dengan meriah.

Seingat Amber, dia mula menyambut perayaan yang sinonim dengan warna merah dan hijau ini semenjak kecil lagi.

"Sejak kecil lagi saya sudah sambut Krismas bersama keluarga dan rakan-rakan. Mungkin orang akan kata saya bukan Kristian kenapa nak sambut Krismas tetapi saya sebenarnya menyambut semua perayaan yang ada," tuturnya dalam tawa.

Tambahnya lagi, selain Krismas dia turut menyambut Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali kerana rakan-rakannya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

"Krismas sudah menjadi tradisi keluarga saya yang menyambutnya setiap tahun, walaupun tidaklah secara besar-besaran tetapi jika ada kesempatan keluarga saya tetap akan berkumpul, buat sedikit jamuan dan bertukar-tukar hadiah," ujarnya.

Berhabis RM8,000 setahun

Pernah menyambut Krismas di beberapa lokasi luar negara kerana tuntutan kerja seperti di Hong Kong, Taiwan, New York dan Singapura, akui Amber sambutan di luar negara lebih meriah dan berbeza daripada Malaysia.

"Macam di Malaysia bukan semua orang menyambut Krismas, jadi suasananya tidak berapa meriah berbanding di Hong Kong dan New York yang kebanyakan orang di sana meraikan Krismas.

"Tetapi keadaan semakin berubah kerana Krismas bukan sahaja menjadi sambutan sesetengah orang tetapi juga kaum-kaum lain yang lebih menganggap ia umpama pesta pertukaran hadiah," kata anak ketiga daripada enam adik-beradik ini lagi.

Walaupun meraikan Krismas dengan cara sederhana, Amber memberitahu setiap tahun dia akan berbelanja antara RM7,000 hingga RM8,000 hanya untuk keperluan sambutan perayaan itu.

"Saya akan pergi membeli-belah bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga keluarga, tambahan pula setiap hujung tahun banyak kedai mengadakan jualan murah, jadi saya mengambil kesempatan untuk membeli apa yang patut.

"Walaupun tidak ada pokok Krismas, saya akan pastikan topi merah simbol Krismas akan dibeli kerana saya akan pakai ketika berkumpul bersama keluarga atau pada parti Krismas," katanya.

Supermodel yang mempunyai ketinggian 5 kaki 8 inci itu menjelaskan Krismas adalah waktu untuk setiap insan meluahkan rasa kesyukuran dan kasih sayang kepada kepada keluarga dan rakan-rakan.

"Bukan selalu kita terima dan memberi hadiah. Jadi apa salahnya pada Hari Natal kita beri hadiah pada orang yang disayangi sebagai tanda terima kasih.

"Setiap hadiah yang saya terima ketika Krismas walaupun sekeping kad amat bermakna buat saya kerana hadiah itu diberi dengan hati yang ikhlas. Kalau orang itu tidak sayang saya pasti dia tidak mahu beri saya hadiah. Oleh itu, semuanya istimewa dan saya simpan dengan baik," terangnya yang tidak dapat lupa kemeriahan sambutan Krismas ketika kecil.

Antara kerjaya dan cinta

Beralih kepada perjalanan kerjayanya, kini rakyat Malaysia telah melihat sisi berbeza Amber apabila dia menjadi penerbit program Ford Model's Supermodel of the World Malaysia 2009 walaupun diuji seribu macam dugaan.

Bukan lagi menjadi wajah utama di depan kamera sebaliknya Amber kini lebih selesa bergerak aktif di belakang tabir sebagai seorang ahli perniagaan.

Misinya hanya satu iaitu melahirkan lebih ramai supermodel bertaraf dunia di bawah bumbung syarikat miliknya Amber Creations Sdn. Bhd.

Selain itu selepas 10 tahun berhempas-pulas Amber sedar masanya hampir tamat kerana kecantikan yang dimiliki hari ini tidak akan kekal selamanya.

"Saya sedar saya akan tua dan dunia peragaan tidak lagi sesuai untuk saya. Tetapi jiwa saya tetap terikat pada dunia ini. Sebab itu saya membikin program Ford Model's musim kedua dan akan membuka sebuah syarikat pengurusan bakat tahun hadapan.

"Selain memenuhi cita-cita, ia juga sebagai persediaan untuk masa depan saya. Sekarang saya masih mempunyai permintaan tetapi esok lusa mungkin orang tidak mahu saya lagi," tutur Amber serius.

Bercakap tentang kehidupan peribadinya yang masih berstatus solo, Amber mengatakan ada satu saat dia terpaksa membuat pilihan antara cinta dan kerjaya tetapi dia telah memilih kerjaya.

"Sebab itulah saya masih tiada kekasih sebab kehidupan saya terlalu sibuk. Saya bimbang tidak boleh memberi komitmen terhadap cinta.

"Andai kata esok lusa saya bertemu dengan seseorang yang membuatkan saya jatuh cinta, saya tidak akan lepaskan begitu sahaja. Orang itu tidak perlu kaya atau kacak, cukuplah sekadar memahami siapa Amber yang sebenarnya dan mencintai saya seadanya," luah Amber.

Sebelum mengakhiri perbualan Amber sempat menitipkan ucap selamatnya kepada semua peminat dan pembaca Kosmo!.

"Saya ingin ucapkan selamat menyambut Krismas serta tahun baru kepada semua pembaca Kosmo! Semoga tahun baru akan lebih bermakna dan lebih berjaya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: