Tuesday, December 1, 2009

Kempen semarak budaya integriti

Untuk mencapai sasaran itu, prinsip urus tadbir berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus berteraskan integriti dalam setiap asas pengurusan menjadi pemangkin.


KEMPEN pemakaian lencana IKHLAS ini akan dijayakan oleh kira-kira 4,000 kakitangan perkhidmatan awam di Pulau Pinang.


MENURUT seorang sarjana pengurusan, Rosabeth Moss Kanter, globalisasi adalah satu proses perubahan untuk menjelaskan akses cemerlang mengenai kegiatan serta interaksi ekonomi, sosial dan politik secara spontan dan segera tanpa mengambil kira sempadan politik sesebuah negara.

Bertepatan dengan cabaran untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa di era globalisasi, beberapa penambahbaikan dilakukan terutama dalam aspek kualiti perkhidmatan awam.

Untuk mencapai sasaran itu, prinsip urus tadbir berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus berteraskan integriti dalam setiap asas pengurusan menjadi pemangkin.

Integriti bukan sahaja bersangkutan dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa semata-mata, malah terdapat banyak lagi ketidakcekapan, penipuan, masalah sosial, kesetiaan dan perlakuan tidak beretika yang merupakan penyumbang terhadap kemerosotan integriti itu sendiri.

Ketiadaan integriti juga boleh menyebabkan kerugian yang amat besar, bermula dari sesebuah organisasi yang menyebabkan kemerosotan kualiti warga kerjanya.

Justeru, pada majlis sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang baru-baru ini, mesej menjadikan integriti sebagai budaya kerja warga perkhidmatan awam di negeri itu disemarakkan.

Bertemakan Cabaran Ke Arah Pengukuhan Integriti Dalam Era Globalisasi, kempen IKHLAS iaitu singkatan Integriti, Ketelusan, Harmoni, Luhur, Amanah dan Setia diperkenalkan dengan objektif untuk mengukuhkan pemahaman orang ramai terhadap integriti para penjawat awam.

Kempen IKHLAS yang didokong oleh Institut Integriti Pulau Pinang (iiNPPi) itu diadakan untuk menerapkan budaya integriti dalam perkhidmatan awam.

Sesuai dengan namanya, IKHLAS bertujuan membentuk jati diri setiap kakitangan awam dalam usaha memperkukuhkan peningkatan kualiti modal insan. Ia juga mempraktikkan sifat-sifat yang terdapat dalam IKHLAS untuk menampilkan kakitangan perkhidmatan awam yang berintegriti dan berpekerti mulia.

Bagi menjelaskan lagi mesej itu kepada orang ramai, kempen pemakaian lencana IKHLAS telah dilakukan pada majlis itu oleh kakitangan awam negeri Pulau Pinang. Ia diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Rahim Seman.

Sepertimana ikrar integriti yang dilafazkan oleh kira-kira 600 penjawat awam semasa sambutan itu, ia menunjukkan suara warga penjawat awam di Pulau Pinang seiring dengan wawasan untuk meletakkan negeri itu ke suatu tahap yang tinggi.

Malah, kerajaan negeri telah menetapkan bahawa misi itu hanya boleh dicapai sekiranya penjawat awam jelas tentang asas pembangunan yang menjamin kejayaan transformasi ekonomi kepada negeri bertaraf antarabangsa dan ekonomi berpendapatan tinggi.

Sebagai langkah susulan, bermula 16 November lalu, kempen pemakaian lencana IKHLAS itu akan dijayakan oleh iiNNPi kepada kira-kira 4,000 kakitangan perkhidmatan awam negeri ini selama enam bulan.

"Lencana ini nanti perlu dipakai setiap hari, dan bagi penjawat awam, ia diwajibkan," jelas Pengurus Bahagian Pendidikan dan Latihan iiNPPi, Leny Marlina Muhamad.

Dijual pada harga RM1.80 tiap satu, Leny menegaskan kempen pemakaian lencana itu merupakan satu lagi pendekatan iiNNPi untuk menjelaskan lagi maksud integriti kepada kakitangan perkhidmatan awam negeri.

"Ia bukan kerana faktor mencari untung, cuma kita merasakan apabila lencana ini dibeli maka pemakaiannya akan lebih dirasai berbanding jika diberi secara percuma.

"Malah, lencana ini juga boleh dibeli oleh kakitangan syarikat swasta agar mereka sama-sama menyahut kempen IKHLAS. Ini kerana cabaran untuk mengukuhkan integriti sebenarnya menjadi tanggungjawab semua," jelasnya.

Leny turut memberitahu kempen yang sama juga akan dipanjangkan lagi ke pusat-pusat membeli belah di Pulau Pinang melalui pembukaan kaunter-kaunter maklumat oleh iiNNPi termasuk menjual lencana IKHLAS kepada orang ramai.

"Sebagai agensi bertanggungjawab, iiNNPi juga akan menggiatkan lagi penganjuran kempen, seminar atau forum mengenai integriti di premis-premis kerajaan dan swasta," ujarnya.

Katanya lagi, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.iinppi.com.my bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai program yang dianjurkan atau menghubungi talian 04-2267448.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: