![]() |
| PARA penyampai Suria FM dan kakitangannya memotong kek ulang tahun kedua stesen radio itu di lobi bangunan Am Bank Assurance, Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
STESEN radio Suria FM memperlihatkan peningkatan yang boleh dikatakan mendadak daripada banyak aspek seperti konsep segmen yang diketengahkan mahupun rating penonton biarpun baru dua tahun bersiaran ke seluruh negara.
Sebagai contohnya, stesen radio itu mempunyai dua saluran berbeza iaitu yang berbahasa Melayu, manakala satu lagi dalam bahasa Kadazan dan Dusun yang lebih difokuskan kepada para pendengar di negeri Sabah.
Pemangku Ketua Pegawai Operasi Penyiaran Suria FM, Yusry Abu Samah menjelaskan, stesen radio itu ke udara melalui sebuah saluran, tetapi ia menampilkan dua segmen berbeza yang boleh diikuti di Sabah dan juga di seluruh negara pada masa sama.
"Dalam erti kata lain, kami bersiaran menerusi saluran yang sama tetapi para penonton ada dua pilihan iaitu sama ada mahu mendengar segmen yang khusus untuk siaran di Sabah ataupun satu lagi segmen yang boleh diikuti di seluruh negara.
"Jika para pendengar di Sabah, mereka boleh mengikuti segmen Suria Sabah melalui frekuensi 105.9 FM dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat yang menggunakan bahasa Kadazan dan Dusun.
"Namun, pada masa sama, untuk siaran di seluruh negara pula, kami menggunakan bahasa Melayu dengan siaran 24 jam sehari di mana frekuensinya untuk setiap negeri berbeza-beza. Kalau di Lembah Klang misalnya, frekuensinya ialah 105.3 FM," katanya.
Yusry menjelaskan keunikan segmen khusus untuk para pendengar di Sabah yang memulakan siarannya pertengahan tahun lepas itu pada majlis ulang tahun kedua Suria FM yang diadakan di lobi bangunan AM Bank Assurance di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, segmen dalam dialek tempatan Sabah itu diperkenalkan bagi memperluaskan lagi siaran stesen radio swasta tersebut yang kini semakin bertambah bilangan pendengarnya dari semasa ke semasa.
Bagi menyiarkan dua segmen itu secara serentak, konti Suria FM juga menggunakan penyampai yang berbeza di mana penyampai Otto bertindak sebagai pengendali Suria Sabah dan segmen itu boleh diikuti hingga ke Wilayah Persekutuan Labuan.
Sementara itu, penyampai segmen bahasa Melayu ke seluruh negara pula diacarakan oleh barisan penyampai Suria FM seperti Lin, Tuah, Zizi, Myra, Bob Ringgo, Naim dan Zaff.
"Sesuai dengan bahasa pengantarnya dalam dialek Kadazan dan Dusun, lagu-lagu yang disiarkan menerusi segmen Suria Sabah juga menyiarkan lagu-lagu tempatan daripada pelbagai etnik yang dinyanyikan oleh para penyanyi dari sana.
"Namun, pada masa sama kita juga tidak lupa menyelitkan lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang terbaik dan popular untuk para pendengar di Sabah. Ia bagi memastikan supaya para pendengar di sana tidak ketinggalan dengan lagu-lagu arus perdana," jelasnya.
Suria FM yang mula bersiaran ke seluruh negara mulai 24 November 2007 semakin mendapat tempat di kalangan pendengar di luar bandar termasuklah di Pantai Timur dan Utara Semenanjung Malaysia.
"Walaupun baru dua tahun bersiaran ke seluruh negara tetapi Suria FM mula memperlihatkan peningkatan apabila bilangan pendengarnya kini mencecah 700,000 orang di mana jumlah itu tidak termasuk di Sabah.
"Peningkatan itu amat ketara kerana sewaktu kami mula bersiaran dulu jumlah pendengar saluran radio ini hanya sekitar 300,000 orang sahaja," katanya yang masih memangku jawatan itu bagi menggantikan Engku Emran Engku Zainal Abidin yang berhijrah ke Bernama TV baru-baru ini.
Dalam pada itu, Yusry menafikan desas-desus yang mengatakan Kudsia Kahar dari Astro akan berhijrah ke Suria FM bagi memegang jawatan penting menggantikan tempat yang dikosongkan oleh Engku Emran.
"Khabar angin itu tidak betul. Kami anggap itu hanya spekulasi sahaja. Buat masa ini Lembaga Pengarah Pengurusan syarikat dan radio ini mengarahkan saya sebagai pemangku Ketua Pegawai Operasi Penyiaran radio ini buat suatu tempoh yang akan diberitahu kemudian.
"Bagaimanapun, kami akan membuat beberapa rombakan segmen dalam siaran radio ini termasuklah di kalangan penyampainya mengikut keadaan semasa.
"Contohnya, ada penyampai radio kami iaitu Akhtar yang akan berhenti dan tempatnya akan digantikan dengan orang lain. Nanti kami akan umumkan," ujarnya.
Bagi mempelbagaikan lagi aktiviti Suria FM, stesen radio itu antaranya merancang sebuah konsert di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Disember ini sebagai salah satu acara sambutan Tahun Baru 2010 kelak.
Pada majlis ulang tahun kedua stesen radio yang mensasarkan pendengar berusia 20 tahun hingga 39 tahun itu, ramai artis popular tanah air telah dijemput mengadakan persembahan secara unplugged di luar konti stesen radio tersebut yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara.
Antara artis yang terbabit ialah Ning Baizura, Aizat, Ifa Raziah, Stacy, Hujan, Azharina, Ameng Spring, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Siti Saerah, Zehra Zambri, Liyana Jasmay, Anna Raffali, Sham Kamikaze dan Ekin AF.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: