Wednesday, December 16, 2009

'Kembalinya' Sungai Cheong Gye Cheon


Penduduk kota raya seoul kini banyak menghabiskan masa berehat dan beriadah di sungai Cheong Gye Cheon.


MENJEJAKKAN kaki ke Korea Selatan, salah sebuah negara termaju di Asia memang menyeronokkan lebih-lebih lagi apabila sekali-sekala dapat merasai suhu sejuk sekitar 0 hingga 5 darjah selsius.

Ketika bersiar-siar di kota raya Seoul yang serba moden, rata-rata wartawan tempatan yang mengikuti lawatan projek air bawah tanah anjuran Sime Darby pada awal bulan ini menggigil kesejukan sampai tidak terkata.

Bagaimanapun, demi tugas, suhu dingin yang diburukkan lagi dengan tiupan angin tidak mematahkan semangat kami meneruskan misi melihat sendiri kejayaan projek tersebut.

Pada mulanya kami di bawa ke persiaran Sungai Han atau dipanggil 'Hang Dan' oleh penduduk tempatan yang merupakan sungai keempat terbesar di negara itu.

Di kesempatan itu, kami diberi peluang melihat 'sistem telaga pengumpul berjejari' (RCW) atau dalam erti kata mudahnya, mesin yang mengepam keluar air bawah tanah betul-betul di tepi sungai selebar lebih satu kilometer tersebut.

Sewaktu penerangan diberikan, kami agak terkejut apabila diberitahu air bawah tanah yang disedut keluar dari situ bukan sahaja untuk kegunaan penduduk malah bagi 'menghidupkan' semula sebatang sungai.

Sungai yang dimaksudkan itu ialah Sungai Cheong Gye Cheon, melibatkan kawasan sepanjang 5.8 kilometer dari kawasan Gwanghwamun hingga ke Sindapcheolgyo, merentasi tengah-tengah kota raya Seoul.

Sungai itu pada mulanya menjadi nadi penting kepada tamadun dan pembangunan 'negara ginseng' itu sejak 1394, malah sejarah Seoul selama kira-kira 600 tahun juga bermula di sungai ini.

Bagaimanapun, selepas beratus tahun, sungai itu menjadi terlalu tercemar ekoran adanya penempatan haram hingga menjadi punca banjir dan 'pusat' penyebaran pelbagai penyakit.

Ekoran itu, kisah sungai yang mencatatkan pelbagai kenangan itu mula terpadam semasa zaman pendudukan Jepun di negara tersebut apabila timbul cadangan supaya sungai berkenaan 'dibunuh' pada 1935 sebagai jalan singkat penyelesaian masalah di atas.

Akhirnya, usaha menutup sungai itu dimulakan sedikit demi sedikit antara 1937 sehingga 1942, setahun selepas berakhirnya pendudukan Jepun dan Perang Korea.

Selepas projek itu tertangguh sehingga 1958 kerana kemelesetan ekonomi, seluruh sungai yang merentasi kota raya Seoul itu akhirnya berjaya ditutup sepenuhnya pada tahun 1977.

Selain dijadikan jalan raya dan lebuh raya bertingkat, kawasan atas sungai yang ditutup itu dijadikan pusat-pusat perniagaan bagi menjana pendapatan penduduk.

Bagaimanapun, sejarah Sungai Cheong Gye Cheon mekar kembali pada awal tahun 2000 selepas semua pihak di kota raya ini mempunyai kesedaran tinggi tentang kepentingan alam sekitar dan pembangunan seimbang.

Maka muncul cadangan supaya segala kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya bertingkat dan premis-premis perniagaan itu dirobohkan bagi mengembalikan Sungai Cheong Gye Cheon yang telah hilang.

Walaupun usaha itu mendapat tentangan hebat daripada penduduk terutamanya para peniaga yang terpaksa dipindahkan, namun kerajaan negara itu tetap bertegas menjalankan projek itu.

Akhirnya, kerja-kerja merobohkan kemudahan infrastruktur itu siap sepenuhnya pada tahun 2004.

Usaha memulihkan sungai berkenaan memang tidak semudah yang dijangkakan kerana air sungai itu didapati sudah kering dan tidak mengalir seperti yang diharapkan.

Memandangkan negara itu sudah menguasai teknologi air bawah tanah sejak awal 1980-an, maka kerajaan terus mengambil langkah untuk 'menyegarkan' sungai itu dengan air bawah tanah yang disedut keluar dari sistem RCW di Sungai Han.

Air bawah tanah yang dipam itu disalurkan kira-kira lapan kilometer ke kawasan berbukit di Sungai Cheong Gye Cheon dan kini menjadi 'air terjun' buatan dan seterusnya mengalir ke sungai itu.

Berkat kesabaran dan kesungguhan kerajaan negara itu memulihara sungai tersebut serta sokongan padu penduduknya, kini Seoul menjadi lebih indah dengan kehadiran semula Sungai Cheong Gye Cheon.

Kini, sesiapa saja melihat sungai di tengah-tengah kota raya itu pasti tidak menyangka bahawa ia sebenarnya telah 'diperkuatkan' dengan bekalan air bawah tanah.

Seronok benar rasanya apabila menyaksikan sepanjang kawasan tebing sungai itu kini dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan seperti laluan pejalan kaki, aktiviti rekreasi, landskap, air pancut dan empangan-empangan kecil.

Keindahan sungai berkenaan pada waktu malam lebih terserlah dan mengasyikkan kerana ia diperindahkan lagi dengan sinaran lampu pelbagai warna yang menyegarkan mata memandang.

Lebih membanggakan, air sungai yang mengalir jernih itu mula didiami oleh ikan-ikan dan menjadi tempat persinggahan burung-burung.

Selain mencantikkan kota raya Seoul, kehadiran semula sungai itu juga amat menggembirakan penduduk lebih-lebih lagi setelah ia berjaya menurunkan suhu sekitar sungai tersebut sebanyak dua darjah selsius.

Selepas menyaksikan perubahan sejarah Sungai Cheong Gye Cheon itu, para wartawan dan ahli rombongan Sime Darby berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum puas.

Masing-masing terfikir, alangkah eloknya jika Sungai Klang di ibu negara juga turut cantik seperti itu. Semoga kisah Sungai Cheong Gye Cheon ini dijadikan pengajaran buat semua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: