![]() |
| Nurul kini duta produk pelangsingan Glow & Glamour. |
SEJAK kembali solo, nama Nurul Abdul Wahab atau Nurul bagaikan tidak surut dilanda gosip. Dengan imej yang semakin 'berani', dua tahun mengheret gelaran janda secara tidak langsung mendedahkan Nurul dengan pelbagai riak kurang senang masyarakat terhadap dirinya.
Wanita berusia 31 tahun itu biarpun pernah dikaitkan dengan gosip kononnya bercinta dengan anak seorang usahawan berjaya malah, terbaru dikatakan menjalinkan hubungan dengan seorang VIP berlainan bangsa tetap dengan sikapnya yang tenang dan tidak mudah melatah.
Itulah Nurul, di saat persoalan mengenai kebenaran gosip tersebut diajukan kepadanya pada majlis pengumuman dirinya sebagai duta syarikat pelangsingan dan kecantikan, Glow & Glamour (G&G) di Plaza TTDI, baru-baru ini Nurul masih lagi berlagak selamba dan ceria.
Mungkin inilah pengumuman penting yang ingin disampaikan oleh Nurul seperti yang dinyatakan dalam kotak status di laman sosial, Facebook miliknya sebelum ini.
Bukan cuba bermain tarik tali, tetapi teka-teki yang dimainkan Nurul serba sedikit membuahkan pelbagai spekulasi dan tanda tanya di kalangan peminat setianya.
Apakah kerana ingin mendirikan rumah tangga maka pelantun lagu yang suatu masa dahulu cukup popular dengan lagu Cinta Azali itu kini nekad menguruskan badan dan menyerlahkan lagi gaya penampilannya?.
"Menguruskan badan adalah untuk kepuasan peribadi saya sendiri bukan kerana hendak berkahwin. Tambahan pula bagi saya setiap wanita memang ingin kelihatan cantik dan cergas.
"Terpilih sebagai duta G&G, memang saya rasa bertuah sangat. Tak sangka bertemu jodoh dengan G&G kerana sebelum ini saya hanyalah pelanggan biasa mereka," kata Nurul dalam nada ceria.
Berbicara mengenai peranannya sebagai duta, Nurul yang ditawarkan kontrak selama setahun bersama G&G, telah mencuba rawatan pelangsingan di G&G sejak Oktober 2008.
Sebagai penyanyi, penampilan amat penting bagi dirinya kerana sentiasa menjadi perhatian ramai.
Tidak mahu dibelenggu rasa kurang yakin, dia yang pernah mengalami kenaikan berat badan sehingga 75 kilogram (kg) ketika hamil tidak lama dahulu kini melangkah lebih yakin dan berani dengan berat ideal, 51 kg.
"Saya sudah mula yakin dengan diri saya sekarang kerana mendapat semula bentuk badan saya seperti sebelum berkahwin dahulu. Namun, saya bukanlah berniat ingin menunjuk-nunjuk.
"Sebab sebagai wanita, saya juga ingin berkongsi dan melihat rakan-rakan serta wanita lain kelihatan cantik.
"Kalau imej saya kini dikatakan 'berani', bagi saya, seiring peredaran masa saya perlu melakukan perubahan terhadap penampilan saya setiap masa.
"Jika dahulu saya sukar memakai pakaian yang cantik-cantik, sekarang adalah masa untuk saya mencuba pelbagai pakaian yang saya suka," kata ibu kepada Ayu Nazirah, 11, itu lagi.
Takut gemuk
Berkongsi pengalaman lalu, anak seni kelahiran Tasek Gelugor, Pulau Pinang ini mengakui, sukar baginya mempertahankan berat badannya lantaran dia di kalangan dikelilingi ahli keluarga yang berbadan besar.
Sedikit tertekan dengan keadaan ini, kata Nurul, sedari kecil dia memang seorang yang takut kepada kegemukan.
"Pernah suatu ketika dahulu saya tidak mengehadkan pemakanan saya selama beberapa bulan, namun kesannya tidak seperti yang saya harapkan.
"Saya juga pernah ke gym dahulu untuk melakukan pelbagai aktiviti senaman semata-mata ingin kelihatan langsing namun, saya tersilap kerana apabila otot terbentuk, badan secara tidak langsung akan kelihatan lebih besar.
"Berbanding dahulu, kini sudah semakin banyak kaedah rawatan yang secara saintifik.
"Kebanyakan wanita sering mengalami yo yo ketika berdiet dan untuk saya sendiri yang telah mencapai usia 30-an, saya percaya dengan rawatan saintifik kerana bukan sahaja memberi kesan segera malah, memuaskan," kata Nurul yang menggemari rawatan RF II dan I Spa di G&G.
Sementara itu, Pengurus Besar G&G, Norman Chong pada sidang media yang sama memberitahu, pemilihan Nurul sebagai duta produk mereka adalah berlandaskan kegigihan dan semangat luar biasa Nurul dalam mencapai matlamat hidupnya.
"Setelah mengharungi pelbagai peristiwa yang mengecewakan, ini merupakan titik tolak penting dalam membentuk dirinya untuk menjadi individu yang lebih berkeyakinan," katanya.
Nurul merupakan duta selebriti pertama yang dilantik sebagai duta produk tersebut.
Pada majlis itu juga Nurul menandatangani perjanjian sebagai duta produk tersebut selama setahun.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: