Monday, December 7, 2009

Jemaah haji Malaysia belanja RM78.7 juta di Tanah Suci


JAMIL (kanan) beramah mesra dengan para pegawai yang menyambut kepulangannya daripada mengerjakan haji di KLIA, Sepang.


SEPANG - Jemaah haji Malaysia berbelanja besar sepanjang tempoh mengerjakan haji musim ini apabila RM78.7 juta dihabiskan untuk berbelanja di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, selain itu, jemaah negara juga membelanjakan RM6.7 juta untuk membayar dam dan RM4.5 juta untuk ibadah korban.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik tiba dari Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Sementara itu, Jamil memberitahu, seramai 31 jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci disebabkan penyakit tua, darah tinggi, faktor pemakanan dan cuaca yang kurang baik berbanding 60 kematian pada musim haji tahun lalu.

Katanya, setakat ini, sebanyak tujuh penerbangan pulang jemaah haji selamat dilakukan dan kesemua jemaah haji dijangka dapat pulang dalam masa seminggu.

Dalam perkembangan berkaitan, Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud memuji Tabung Haji kerana menjadi badan pengurusan haji yang cemerlang dan wajar dicontohi oleh negara-negara lain di dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: