![]() Faizal |
Faizal AF4 perjelas nikah bukan kerana ditangkap khalwat
PADA mulanya dia agak keberatan untuk menerangkan situasi sebenar mengenai status dirinya kini. Jelas selepas beberapa minit perbualan dijalankan, Juara Akademi Fantasia musim keempat, Mohammad Faizal Ramly mula memberanikan diri untuk menyatakan kebenaran.
Pertemuannya sewaktu sesi pratonton dan tayangan amal filem Pulau Asmara minggu lalu bertempat di premis hiburan, KLCC merungkai segala-galanya. Lantas, ia menjawab desas-desus mengenai dirinya yang dikatakan sudah berkahwin.
Malahan Faizal turut menafikan gosip kononnya dia berkahwin dengan gadis pilihannya secara rahsia itu selepas insiden tangkap khalwat di sebuah negeri Pantai Timur. Perkahwinan mereka juga dikatakan tidak mendapat restu keluarga Faizal.
“Sumpah! Saya tidak pernah ditangkap basah. Semuanya hanya gosip semata-mata dan boleh periksa Jabatan Agama Islam untuk sebarang pengesahan. Hakikatnya memang saya sudah berkahwin sejak hampir setahun.
“Sebolehnya saya tidak mahu mengulas soal peribadi dan kerjaya pada masa yang sama demi menghormati banyak pihak. Ia agak sensitif. Daripada saya mengundang maksiat, lebih baik saya berkahwin,” katanya yang sudah berlakon dua buah filem setakat ini termasuk Momok The Movie.
Difahamkan pertemuannya dengan isteri terjadi ketika dia terbabit menjalani penggambaran filem Momok The Movie tahun lalu. Gadis berusia 23 tahun itu adalah pilihan hatinya sendiri. Kebetulan pula nama isterinya hampir sama dengan pelakon dalam filem itu juga.
“Isteri saya hanya orang biasa, bukan pelakon dan berusia 23 tahun. Selepas berkahwin, saya juga perlu menjaga hati isteri dan tidak mahu melukakan perasaannya. Tak kisahlah apa orang nak cakap, janji kami bahagia,” katanya yang tidak berniat berselindung mengenainya sebelum ini dan memberitahu majlis pernikahan mereka diadakan secara tertutup.
Berita Harian dalam laporan bertarikh 13 Disember lalu turut memaparkan kenyataan balas ibu bapa Faizal yang agak terkilan dengan tindakan anaknya itu berkahwin secara diam. Mereka hanya mengetahui hal perkahwinan itu selepas dua bulan Faizal berkahwin.
Dalam perkembangan kerjaya seninya, Faizal mengakui rezekinya masih ada dalam bidang itu. Biarpun ada yang melihat populariti Faizal semakin suam-suam kuku, dia masih menerima tawaran membuat persembahan dan berlakon.
“Saya masih boleh ‘hidup’ dengan menjadi anak seni’. Rezeki itu ada di mana-mana. Yang penting adalah kesungguhan dan usaha untuk terus berjaya. Saya tak peduli apa orang nak cakap dan saya pun malas nak ambil tahu cakap-cakap orang.
“Saya hanya mampu ‘senyum sokmo’ saja. Harapnya selepas ini, hal pernikahan saya tidak akan diperbesarkan lagi. Apa yang lebih penting untuk saya ialah untuk mencari nafkah demi sebuah kehidupan yang dibina,” kata Faizal yang menetap bersama isterinya di Kuala Lumpur.
Sementara itu, tayangan amal filem terbitan Alakazam Productions itu turut disempurnakan perasmiannya oleh isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Maznah Rais. Turut hadir ialah isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Hamidah Khamis.
Selain Faizal, filem itu turut dibintangi Datuk Aziz Singah, Latif Ibrahim, Sheikh Bolkiah, Leez, Nadia Kesumawati dan Shasha Arsheela. Filem arahan Uttam Kumar Thangiah itu berlatar belakang Langkawi sepenuhnya. Ia akan ditayangkan mulai 17 Disember ini di pawagam berhampiran.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: