![]() |
| Livni |
LONDON - Hubungan antara Britain dan Israel berada dalam situasi tidak menyenangkan semalam selepas waran tangkap terhadap bekas menteri luar Israel, Tzipi Livni dikeluarkan kerana melakukan jenayah perang ke atas penduduk Palestin.
Jabatan Luar Britain menyatakan, pihaknya menyiasat isu itu semasa Tel Aviv menuntut London merombak undang-undangnya bagi menghentikan ia dieksploitasi oleh kumpulan-kumpulan aktivis pro-Palestin bagi menahan warga Israel.
"Kegagalan melaksanakan tindakan tegas dan segera bagi menyelesaikan isu ini boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua buah negara," kata satu kenyataan jabatan itu.
Beberapa laporan media Arab kelmarin mendakwa bahawa Livni terpaksa membatalkan kunjungan beliau ke London kerana halangan undang-undang.
Pada mulanya, pejabat Livni enggan mengesahkan laporan-laporan tersebut dan memberitahu, kunjungan bekas menteri luar itu dibatalkan tanpa sebarang sebab tertentu.
Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel semalam menyatakan bahawa satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Livni.
Kementerian itu membuat kenyataan tersebut selepas media Britain mengeluarkan waran tangkap terhadap Livni bagi pihak peguam-peguam yang mewakili penduduk Palestin di Gaza.
"Saya dapat menerima kenyataan bahawa dunia mahu menghakimi Israel.
"Namun, saya tidak dapat menerima apabila mereka menyamakan tentera Israel dengan pengganas," kata Livni.
Insiden kali ini merupakan cubaan terbaru aktivis-aktivis pro-Palestin untuk menangkap pegawai-pegawai kanan Israel.
Awal tahun ini, beberapa peguam pro-Palestin cuba menggunakan undang-undang bagi menangkap Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak kerana mendalangi Perang Gaza pada tahun lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: