
LAGU Hampa Hatiku dendangan kumpulan Ungu terus meledakkan populariti Ungu.
LAGU HAMPA Hatiku yang dimuatkan dalam album terbaru Ungu berjudul Penguasa Hati diakui sebagai paling dekat dalam jiwa vokalisnya, Pasha.
Katanya, lagu itu yang diciptanya sendiri menggambarkan hatinya yang sangat kecewa terhadap insan tersayang.
Menurut Pasha, lagu itu adalah cetusan idea bersama anggota Ungu yang lain. Malah ia turut dipadatkan dengan kerjasama penyanyi dangdut, Lis Dahlia dan Mungkee yang masing-masing menyumbangkan lagu dangdut dan rap.
Malah kebelakangan ini, sudah banyak kedengaran gosip mengenai Pasha di beberapa selebriti wanita di sana, termasuk dengan rakan duetnya, Rossa menerusi lagu Terlanjur Bercinta dan Acha Septriasa.
“Semua itu adalah mainan kehidupan anak seni. Apa yang saya boleh cakapkan, cerita kurang elok itu sudah berkurangan. Yang nyata saya masih belum bertemu pengganti (kekasih),” tuturnya di majlis memperkenalkan album terbaru Ungu di Kuala Lumpur.
![]() |
| SEBAGAI lelaki sejati, Pasha mahu beristeri lagi. |
Pasha menjelaskan, kegagalan perkahwinan pertamanya tidak sesekali menghalang dirinya untuk menikmati kehidupan berumah tangga. “Saya harus berkahwin lagi cuma belum ada jodoh untuk saya bertemu dengan calon sebenar. Sukar atau tidak, saya harus memandang ke depan. Perceraian itu bukan pinta sesiapa.
“Saya tak mahu perkara itu terjadi dan saya juga tidak mahu terus bersedih. Kehidupan harus diteruskan. Kerjaya saya pula memerlukan saya berdepan dengan orang ramai.
“Lalu, saya tak mahu kesedihan itu terus terpahat di hati. Yang lalu itu dibiarkan berlalu. Tapi saya tak nafikan, selepas berpisah dekat sebulan saya tertekan dan gelisah,” kata duda berusia 30 tahun itu yang turut mencipta lagu Yang Pertama, Luka Di Sini dan Terang Dalam Gelapku untuk album terbaru Ungu itu.
Dalam perkembangan lain, Pasha memberitahu permintaannya terhadap pihak berkuasa di Bogor, Indonesia untuk dibebaskan daripada sebarang ‘kuarantin’ keluar kota atau istilah menjadi tahanan kota sudah dikabulkan.
“Hukuman yang dilakukan atas usaha bekas isteri menghalang saya daripada keluar dari kota. Bagaimanapun, saya masih diberi kebebasan untuk membuat persembahan.
“Selepas meminta penangguhan dan permohonan supaya hukuman itu dibatalkan, Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan kebenaran bahawa dakwaan bekas isteri itu hanya dusta semata.
“Saya sudah tidak mendekatinya dan tidak tahu di mana dia tinggal. Ketika ini, memang anak saya bersamanya dan masih berpeluang melawat serta menjaga mereka,” katanya yang akan bertindak sewajarnya jika bekas isteri mengabaikan anak mereka.
Mengenai album terbaru Ungu, Pasha memberitahu selepas dua minggu dipasarkan di Indonesia, lebih 300,000 unit sudah terjual.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: