|
|
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melaksanakan peraturan baru iaitu dengan menetapkan had belian minyak petrol kepada warga asing di negara ini sebagai usaha untuk menangani 'penyangak' bahan api yang kini aktif menyeludup petrol ke negara jiran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had belian tersebut mungkin ditetapkan tidak melebihi 20 liter di dalam lingkungan 20 kilometer dari sempadan seperti peraturan yang telah dilaksanakan untuk pembelian minyak diesel ketika ini.
Menurutnya, penetapan peraturan baru itu adalah untuk menangani masalah penyeludupan minyak di sempadan oleh warganegara jiran.
"Dengan adanya peraturan baru sama seperti minyak diesel itu, maka pemilik stesen minyak tidak boleh menjual minyak melebihi had yang telah ditetapkan.
"Malah pembeli yang bukan warganegara ini juga tidak boleh membeli petrol melebihi had yang ditetapkan kementerian," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan muka depan Kosmo! hari ini mengenai kegiatan penyeludupan minyak petrol dan diesel oleh warga Thailand di sempadan negara ini untuk dijual dengan harga tinggi di negara mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: