Saturday, December 26, 2009

Filem '3 Idiots' Selit Teladan Di Sebalik Elemen Lucu

Pelakon-pelakon yang membintangi filem 3 Idiots. Dari kiri Madhavan, Aamir Khan,Kareena Kapoor dan Sharman Joshi

FILEM Hindi 3 Idiots lakonan Aamir Khan (Rancho), seorang penuntut kolej pasti mencuit hati para penonton kerana telatah lucu sepanjang filem yang telah ditayangkan di pawagam mulai semalam.

Pengarahnya, Rajkumar Hirani menyelit elemen-elemen realistik mengenai perjalanan hidup tiga pelajar kolej yang berasal dari pelbagai latar belakang.

Jalan ceritanya bermula 10 tahun selepas tiga sekawan keluar dari kolej dan dua daripada mereka iaitu Madhavan dan Sharman Joshi mula mencari rakan mereka (Rancho) yang terputus hubungan.

Apabila mereka berdua melawat tempat tinggal Rancho, di Simla, kejutan menanti kerana orang lain menetap di situ dengan nama rakan mereka.

Kerana sudah nekad untuk menemui rakan yang telah banyak membantu, mereka mengugut orang yang ‘mencuri identiti’ dan ijazah kawan mereka dan berjaya mengesan tempat tinggal Rancho.

Aamir Khan memegang watak Rancho dalam filem 3 Idiots.

Menariknya mengenai filem ini ialah Aamir Khan, berusia 44 tahun membawa watak seorang siswazah. Lakonannya sebagai seorang siswazah yang mengikut kehendak hati apabila membuat keputusan dan sikap Rancho memberi nasihat dengan ikhlas membuatkan kedua-duanya terus berkawan dengan Rancho walaupun ditentang kuat oleh pensyarah kolej itu.

Watak pensyarah dibintangi oleh Borman Irani yang digelar Virus oleh pelajar-pelajar kolej itu kerana sikapnya yang tegas.

Sikap Rancho yang bersahaja itu tidak disenangi oleh Virus dan dia cuba untuk memisahkan tiga sekawan itu, namun segala usahanya menemui jalan buntu.

Anak perempuan Virus, Pia (Kareena Kapoor) dan Rancho pula saling jatuh cinta.

Filem 3 Idiots ini memang satu filem yang dinanti-nantikan oleh peminat setia Aamir dan ternyata ia tidak menghampakan.

Jalan ceritanya bukan seperti filem-filem Hindi lain kerana Rajkumar Hirani yang telah mengarah filem Munabhai kreatif bermain dengan elemen-elemen realistik dalam hidup.

Secara tidak langsung, filem ini membuatkan para penonton kembali mengenangkan memori-memori alam universiti mereka.

Filem terbitan Vidhu Vinod Chopra ini menggambarkan tekanan yang dialami oleh para pelajar di universiti yang hanya menitikberatkan kecemerlangan dan bukannya kepuasan dan keseronokkan proses menimba ilmu itu sendiri.

Elemen realistik seperti menurut kehendak ibu bapa semata-mata untuk memuaskan hati mereka adalah perkara-perkara yang sering dilakukan oleh ramai pelajar di India.

Selain itu, bilangan pelajar yang bunuh diri akibat tekanan diri di serata dunia juga diketengahkan dalam filem 3 Idiots. Ini mengajar kita untuk mengikut kehendak hati untuk berjaya dalam apa jua bidang kerana hanya kita tahu apa yang kita mahu.

Oleh itu, tidak salah untuk menyatakan filem 3 Idiots tergolong antara filem-filem terbaik yang mengakhiri tahun 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: