Tuesday, December 8, 2009

Fatine mohon visa kali ketiga




DERBY - Seorang mak nyah Malaysia yang berdepan kemungkinan dihantar pulang walaupun 'berkahwin' dengan seorang lelaki Britain, Ian Young, telah mengemukakan permohonan buat kali ketiga untuk menetap di negara berkenaan.

Fatine (gambar) kini menetap di Spondon bersama Young, 30, yang bekerja sebagai penjaga bangunan sekolah, sejak Disember tahun lalu setelah mereka berkenalan di Kuala Lumpur pada 2006.

Fatine, 36, memasuki Britain dengan menggunakan visa pelawat dengan had tempoh enam bulan tetapi pasangan itu berkahwin dalam satu majlis sivil di Pejabat Pendaftar Derby pada Jun lepas.

Sejak itu, Fatine sudah dua kali memohon visa untuk bermastautin di England namun ia ditolak oleh pegawai-pegawai kerajaan Britain.

Permohonan pertama Fatine untuk memperbaharui visa pada September lepas gagal kerana kesilapan gambar pasport manakala rayuan kali kedua turut ditolak ekoran ia diterima selepas visanya tamat tempoh.

Dia kini berharap rayuan kali ketiganya akan berjaya kerana ia difailkan berdasarkan peruntukan Akta Hak Asasi Manusia dan hak kehidupan berkeluarga di Britain.

Namun, Agensi Sempadan United Kingdom memberitahu, Fatine masih perlu pulang ke Malaysia untuk memohon visa walaupun bakal berdepan tindakan undang-undang di tanah airnya jika dia didapati melanggar undang-undang Imigresen Malaysia.

"Sesiapa sahaja yang mahu tinggal di United Kingdom sebagai pasangan sivil, seseorang individu itu perlu memenuhi tuntutan undang-undang Imigresen," kata ketua agensi itu, Matthew Coats.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: