![]() |
| GANDINGAN kali pertama Siti Nurhaliza dan M. Nasir dalam Konsert Bagaikan Sakti pada 1 Januari ini pastinya akan memberi pengalaman baru kepada peminat-peminat mereka. |
AKHIRNYA, impian peminat dua bintang ternama menjadi kenyataan apabila buat pertama kalinya, M. Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza bergabung di atas satu pentas yang sama.
Sudah lama kedua-dua peminat mereka memasang impian untuk melihat dua nama besar industri ini digandingkan di dalam satu persembahan mahupun konsert besar.
Bakal berlangsung pada 1 Januari ini, persembahan yang diberi nama Konsert Bagaikan Sakti M. Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza itu pastinya akan menjadi sebuah persembahan yang gah.
Istimewanya konsert ini apabila ia diadakan di pentas bertaraf dunia, Esplanade Theatre, Singapura yang menjadi idaman ramai artis untuk membuat persembahan di sana.
Sejak dicanangkan, M. Nasir dan Siti akan beraksi dalam sebuah konsert, ramai yang sudah tidak sabar untuk melihatkan hasilnya selain mendengar alunan indah daripada rangkaian lagu-lagu popular mereka.
Memang tidak dinafikan, populariti dua ikon muzik Melayu ini melangkaui segala-galanya sehingga tiket-tiket yang berharga dari RM92 hingga RM414 semuanya habis dijual dalam tempoh tidak sampai seminggu.
Sudah pasti konsert ini akan memberikan signifikan tersendiri dalam direktori seni M. Nasir dan Siti apabila pentas penuh berprestij itu akan bergema dengan muzik mereka.
Juga, Konsert Bagaikan Sakti ini turut memperlihatkan buat pertama kalinya selepas lima tahun, M. Nasir dan Siti akan mendendangkan semula lagu Bagaikan Sakti.
Jika ada yang terlupa, Bagaikan Sakti merupakan lagu tema filem epik termahal negara, Puteri Gunung Ledang dan menerusi lagu indah itu jugalah, ia menyaksikan kolaborasi pertama dua insan seni ini.
Dan, siapa tahu mungkin impak daripada duet mereka menerusi lagu ini di pentas Esplanade Theatre mampu untuk mempopularkan semula lagu ini yang sebelum ini jarang sekali dimainkan di corong radio.
Konsert Bagaikan Sakti akan berlangsung selama dua jam dan menerusi konsert ini, M. Nasir dan Siti akan membuat persembahan secara solo serta berduet.
Untuk persembahan solo, sudah pasti mereka berdua akan menyanyikan lagu popular masing-masing sebelum berpadu suara menerusi segmen duet mereka.
Untuk persembahan duet mereka, M. Nasir dan Siti akan berduet menerusi rangkaian lagu-lagu popular seniman sepanjang zaman iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma dan Datuk Sudirman.
Selain itu, mereka berdua juga dikhabarkan akan berduet menerusi sebuah lagu baru seperti mana yang tercatat di laman web rasmi Esplanade Theatre.
konsep persembahan
Konsert Bagaikan Sakti ini juga akan menyaksikan dua pengarah muzik terkemuka yang akan bekerjasama mengemudikan konsert ini iaitu Aznan Alias dan Aubrey Suwito yang akan memimpin 30 orang pemuzik mengiringi persembahan itu.
Melihatkan konsep persembahan dan mereka yang terlibat untuk konsert ini, pasti ramai yang menjangka ia akan menjadi sebuah konsert terhebat untuk permulaan tahun baru.
Ramai yang mengeluh dan hampa apabila tidak berjaya mendapatkan tiket untuk menyaksikan konsert ini.
Tetapi kehampaan dan kekecewaan itu tidak lama apabila stesen berbayar terulung negara, Astro akan menyiarkan konsert ini secara langsung menerusi pakej Astro Box Office Events (saluran 955, Astro).
Bukan itu sahaja, siaran ulangannya juga dapat ditonton bermula 2 hingga 10 Januari 2010 menerusi saluran yang sama dan harga yang ditawarkan cukup berpatutan iaitu RM10.
Mungkin pengalaman itu tidak sama sewaktu menonton secara langsung di Singapura berbanding di kaca televisyen.
Tetapi usaha Astro yang sentiasa mahu memberikan santapan hiburan terbaik khusus buat pelanggannya memang wajar dipuji.
Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, peluang ini seharusnya tidak dilepaskan begitu sahaja terutama sekali peminat M. Nasir dan Siti.
"Kami percaya konsert ini mampu meninggalkan satu kesan abadi serta memberikan pengalaman menonton yang mempersonakan.
"Kami faham tidak semua peminat berpeluang untuk menyaksikan konsert hebat ini berikutan faktor lokasi dan kapasiti tempat yang terhad serta harga tiketnya.
"Sehubungan itu, kami ingin memberi peluang kepada orang ramai untuk turut sama menyaksikan konsert bersejarah dan menakjubkan ini terus ke kaca televisyen dengan harga yang cukup murah," ujarnya yang optimis dengan pakej ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan Astro.
Untuk melanggan pakej Astro Box Office Events, anda boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 1300 82 3838 atau taip ABOM
Pengaktifan menerusi SMS akan mengambil masa 24 jam dan tempoh untuk melanggan sudah pun dibuka bermula 22 Disember lalu dan akan berakhir 10 Januari ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: