Friday, December 25, 2009

Cabaran, tanggungjawab baru Lisa


LISA dan Dino Omar diberi tanggungjawab mengacarakan karpet merah untuk VIP Access bagi filem Avatar.


SELEPAS setahun, penulis bertemu kembali dengan wanita tinggi lampai ini untuk satu sesi fotografi yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Dia masih lagi seperti dulu. Ramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja yang berada disekelilingnya.

"Tidak sangka kita bertemu sekali lagi ya. Rasa seperti baru semalam kita berjumpa tetapi rupa-rupanya sudah setahun," ungkap Lisa S sebaik sahaja berjabat tangan sambil mengukir senyuman manis di wajahnya.

Setahun yang lalu, Lisa S atau nama sebenarnya Lisa Selesner baru berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan apabila terpilih menjadi VJ atau hos untuk saluran Channel [V].

Biarpun namanya cukup gemilang sebagai seorang model terkemuka tetapi Lisa dengan penuh rendah diri sanggup untuk bermula dari bawah demi pekerjaan barunya itu.

"Bukan itu sahaja, ketika mula-mula menjadi VJ, saya berasa amat kekok sekali. Semuanya masih baru buat saya biarpun berada dalam limpahan glamor sudah sebati dalam jiwa saya.

"Namun, saya sedar untuk berjaya tiada jalan singkat dan kerana itu, saya tidak pernah lelah untuk belajar serta mengejar ilmu untuk terus memperbaiki diri saya.

"Benar. Kehidupan saya kini sudah banyak jauh berubah berbanding kali pertama saya beraksi di hadapan kamera," luahnya penuh jujur saat ditanya tentang perkembangan dirinya ketika ini.

Memandangkan namanya dilihat kini semakin kukuh sebagai seorang pengacara, Lisa sanggup melepaskan dunia peragaan yang diceburinya sejak berusia 14 tahun lagi.

Bukan meninggalkan terus dunia yang membawa namanya ke puncak tetapi dia menegaskan bahawa dia akan menjadi selektif selepas ini.

Tidak juga untuk berlagak diva tetapi ujar Lisa, dia mahu benar-benar memanfaatkan masa serta menumpukan fokus kepada kerjayanya sebagai seorang pengacara.

"Sudah hampir dua dekad saya menjadi seorang model dan semuanya sudah saya lalui. Pada masa sekarang ini, saya tidak boleh lagi melakukan apa yang model angkatan baru lakukan, ujurnya.

"Jika ada tawaran sekali pun, saya akan memilih yang benar-benar mampu memberi kepuasan dan tidak mengambil masa yang terlalu lama," kata jelitawan berbintang Gemini yang dilahirkan di Monaco ini dalam nada serius.

Tindakan Lisa itu ada rasionalnya apabila dia memberitahu, tugasnya sebagai seorang pengacara juga bukanlah sesuatu yang harus dipandang remeh.

Apatah lagi, dia kini mempunyai tugasan baru dalam melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang pengacara tetapi dalam skop yang berbeza.

Tugas Lisa semakin mencabar apabila dia terpilih untuk menjadi pengacara slot VIP Access ditayangkan di saluran Star Movies (saluran 413, Astro) sejak awal tahun ini bersama pengacara utamanya, Dominic Lau.

Tutur katanya cukup jelas menggambarkan betapa terujanya apabila diberi peluang mengacarakan program yang berbeza dengan apa yang dilakukannya untuk Channel [V].

Ditambah pula, dengan demografi penonton yang berbeza membuatkan Lisa harus bijak memainkan peranan untuk membezakan perwatakannya.

"Untuk saluran muzik seperti Channel [V], penonton sasarannya adalah di antara 15 hingga 25 tahun.

"Manakala untuk program yang memaparkan informasi tentang filem dan seangkatannya, usia mereka yang menontonnya boleh menjangkau sehingga ke usia 70 tahun.

"Jadi, daripada kajian yang saya lakukan itu, saya kena bijak untuk mengatur tutur kata saya dalam menyampaikan maklumat kepada penonton," katanya yang bergilir-gilir dengan Dominic mengacarakan VIP Access.

Lisa berada di ibu negara untuk melunaskan tanggungjawabnya sebagai hos bagi slot VIP Access sempena tayangan perdana filem terbaru arahan James Cameron, Avatar yang berlangsung di GSC Pavilion, minggu lalu.

Untuk acara itu, Lisa telah digandingkan dengan personaliti Astro Awani, Syed Farradino Omar atau lebih dikenali sebagai Dino Omar yang menemubual artis-artis tempatan yang diundang khas ke acara itu.

Untuk itu, Lisa menjelaskan dia banyak melakukan penyelidikan dengan mendalami filem-filem yang ditugaskan kepadanya.

Hampir setahun mengendalikan VIP Access, Lisa tidak menafikan pengalaman yang diperolehinya cukup bermakna dan berharga sekali.

Berpeluang menjelajah dunia dan menemubual bintang-bintang ternama dunia selain dapat menonton tayangan perdana, Lisa sempat berkongsi pengalamannya sepanjang tempoh itu.

Antara momen indah yang akan abadi dalam kotak ingatannya adalah kali pertama menemuramah pelakon bertaraf Gred A Hollywood, Tom Cruise sewaktu mempromosikan filem Valkyrie di Korea.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka Tom merupakan selebriti yang cukup ramah dan menakjubkan serta memiliki personaliti yang sungguh menyenangkan.

"Dia boleh melayan setiap peminatnya yang mahu bergambar dan mendapatkan autograf tanpa jemu sewaktu di karpet merah ketika itu.

"Bukan itu sahaja, kehadirannya juga menyenangkan sesiapa sahaja kerana dia menganggap orang disekelilingnya sebagai seorang kawan," cerita Lisa yang cukup petah berkata-kata ini lagi.

Tambahnya, personaliti yang sama juga turut dimiliki oleh aktres jelita dan seksi, Megan Fox sewaktu Lisa menghadiri tayangan perdana filem Transformers: Revenge of the Fallen sekitar bulan Jun lalu.

Menjadi seorang hos bagi Lisa memiliki kelebihannya yang tersendiri kerana ia tidak mempunyai had limit dari segi usia.

Berbanding dunia peragaan yang mementingkan faktor usia, bidang pengacaraan dari sudut pemahaman Lisa lebih panjang hayat usianya.

"Kita boleh menjadi pengacara atau hos sehingga berusia 50 atau 60 tahun sekali pun dan contohnya ada seperti Diane Sawyer, Oprah Winfrey dan Martha Stewart.

"Jika saya diberi pilihan mengemudikan rancangan sendiri, saya suka untuk mengacarakan rancangan berbentuk gaya hidup kerana bagi saya banyak yang boleh diterokai dalam kehidupan kita.

"Tetapi, saya harus akui yang saya tidak cukup bagus untuk mengendalikan rancangan bual bicara kerana bagi saya ia adalah tugas yang cukup berat dan anda perlu berani untuk berbuat demikian," katanya yang kini menetap di Hong Kong bersama kekasihnya selama tujuh tahun iaitu pelakon kacak, Daniel Wu.

Sempena sambutan Hari Natal yang disambut oleh semua penganut agama Kristian di seluruh dunia ini, Hits sempat bertanyakan kepada Lisa tentang kenangan manisnya.

Walaupun dia bukan penganut agama Kristian kerana berketurunan Yahudi dan menyambut Hanukkah, tetapi dia tetap meraikannya memandangkan ada ahli keluarganya yang menyambutnya.

Masih segar dalam ingatannya saat mengenang kembali momen terindahnya sewaktu menerima hadiah yang dianggapnya paling istimewa yang pernah diterimanya ketika berusia 14 tahun.

"Ahli keluarga saya tahu saya cukup minat untuk menyertai kem latihan menunggang kuda yang terletak di West Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat.

"Lalu, kedua datuk dan nenek saya mengatur konsep pencarian harta karun untuk saya mencari hadiah saya.

"Sebaik membuka sampul surat tersebut, alangkah gembiranya saya apabila ia merupakan surat penyertaan ke kem latihan tersebut," ujarnya sambil ketawa dan memberitahu akan meraikan Krismas bersama Daniel di Hong Kong tahun ini selepas meraikannya bersama keluarga tercinta di Las Vegas tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: