![]() |
| MULAN bersiaran di TV2 pada 22 Disember ini. |
MUSIM cuti sekolah pastinya tidak meriah tanpa hidangan rancangan-rancangan menarik khas buat tontonan penonton cilik di kaca televisyen. Memenuhi masa yang ada, sebanyak enam filem animasi terbaik telah disusun di TV2, pukul 3 petang sepanjang Disember ini.
Antaranya filem animasi yang disenaraikan ialah Monster House (21 Disember), Mulan (22 Disember), Open Season (23 Disember), The Nuttiest Nutcracker (24 Disember), The Increadibles (28 Disember) dan Chicken Little (29 Disember).
Monster House mengisahkan DJ yang ditinggalkan di rumah oleh keluarganya yang keluar meraikan sambutan Halloween.
Pada masa yang sama, dia cuba menyiasat siapakah jirannya yang tinggal di lorong sempit di pinggir bandar.
Namun DJ tidak bersendirian dalam misinya kerana turut terlibat ialah dua teman baiknya, Chowder dan Jenny.
Mulan pula mengisahkan seorang gadis tunggal daripada keluarga kehormat. Ketika Hun menguasai China, setiap anak lelaki diwajibkan untuk menyertai pasukan tentera.
Ayah Mulan, kerana tidak memiliki anak lelaki bertindak untuk turut sama menyertai tentera demi mempertahankan negara.
Pun begitu, Mulan berfikiran sebaliknya kerana dia mahu mengambil tempat ayahnya dengan menyamar sebagai lelaki.
Dia bernasib baik kerana penyamarannya gagal dikesan. Namun, apakah yang bakal berlaku jika satu hari rahsia identiti dirinya terbongkar?.
Open Season pula mengisahkan seekor beruang berbulu kelabu yang hidup di Amerika Utara, Boog.
Hidup dalam keadaan serba sempurna namun setelah bertemu dengan seekor rusa dikenali sebagai Elliot segalanya berubah.
Elliot terkenal dengan kebolehan bercakap selain bentuk fizikalnya yang kurus kering. Kedua-duanya sama-sama menyertai pertandingan berburu yang turut disertai haiwan hutan yang lain.
The Nuttiest Nutcracker melatari kisah Marie, yang meraikan sambutan Krismas.
Dia mula mengerti kepentingan mempercayai diri sendiri setelah menerima hadiah kenderaan ajaib yang mampu membawanya ke Christmas Kingdom pemberian bapa saudaranya.
Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan filem-filem animasi hebat tersebut hanya di TV2.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: