| BERBEKALKAN wajah jelita, tinggi dan senyuman menawan, pelakon baru Dhanya Nambiar, mempunyai pakej lengkap menembusi pasaran industri hiburan tempatan. Malah, dia dilihat berpotensi besar berdiri sebaris pelakon hebat seperti Kavita Sidhu atau Kanchana Devi suatu hari nanti sekiranya Dhanya tidak berputus asa menggapai impian. |
Biarpun begitu, akui Dhanya, 27, bukan mudah bergelar pelakon apatah lagi dalam industri yang majoritinya di kelilingi bangsa Melayu. Tidak bermaksud bersifat prejudis, cuma meluahkan sedikit kerisauan sejurus mengambil kata komited untuk serius dalam bidang lakonan. Nama gadis tinggi lampai ini mungkin agak asing dalam dunia lakonan, tetapi tidak dalam pengacaraan.
Memulakan bidang itu menerusi program Ala Carte, dia kemudian menginjak mengacarakan Hitz TV dan ESPN sebagai kerja sambilan. Pada masa sama, Dhanya juga mempamerkan bakatnya menerusi bidang peragaan dan bekerja dengan bapanya sebagai perunding harta tanah. Biarpun baru dalam lakonan, sebelum ini Dhanya berpeluang menjayakan telefilem Bezanya Cinta. Apa menarik dengan gadis ini ialah dia sudah beraksi di layar perak menerusi filem pertamanya berjudul Tipu Kanan Tipu Kiri yang membabitkan pelakon Malaysia dan Indonesia.
Sekadar membawa watak pembantu, namun pengalaman sepanjang terbabit dengan penggambaran itu mendedahkannya banyak pengetahuan berharga. Biarpun begitu, dia tidak komited dengan lakonan sehinggalah baru-baru ini Dhanya terbabit dalam pembikinan drama bersiri, Dimensions, khas untuk pengguna telefon bimbit Maxis dan Hotlink. Menyedari minatnya adalah 'lakonan', Dhanya saat ini aktif mencari setiap sudut peluang berlakon drama, mahupun filem.
Ketika menemuinya di majlis ramah mesra pelakon Dimensions di California Pizza, KLCC, baru-baru ini, beritahu Dhanya, lakonan memberi lebih kepuasan berbanding peragaan. Disebabkan itu, dia mengambil kata putus untuk komited sebagai pelakon.
"Saya sudah cuba dua bidang ini dan sememangnya ia sangat berlainan. Yang sama, cuma kedua bidang ini menjanjikan populariti kepada sesiapa saya menyertainya. Peragaan tidak menyeronokkan atau menjanjikan lebih kepuasan kerana gaya dan aksi agak terbatas.
"Berbanding lakonan, peranannya lagi berat dan perlu menjiwai watak dengan baik agar penonton dapat merasai kesannya. Dari situ, saya mendapat kepuasan jitu dan rasa lakonan adalah apa yang dicari selama ini. Dulu, saya terbabit dengan dunia peragaan kerana ingin mencari duit lebih untuk perbelanjaan kolej.
"Sekarang saya sudah bekerja dan mengacara, jadi perkara paling penting dalam hidup ketika ini melakukan perkara disukai. Bukan bermaksud akan meninggal terus dunia peragaan, tetapi saya akan bersikap selektif dan utamakan lakonan pula selepas ini," katanya.
Menurut Dhanya, dia tidak akan terburu-buru menerima sesuatu tawaran semata-mata ingin menampakkan pembabitannya dalam industri hiburan tempatan. Amat menitikberatkan jalan cerita dan skrip, beritahu Dhanya dia ingin mencipta nama sebagai artis bermaruah.
"Ramai menasihati supaya terima apa saja tawaran mendatang dan tidak perlu bersikap 'memilih' kerana yang penting biar orang mengetahui kehadiran kita. Tetapi, saya tidak boleh kerana sejak dari dulu lagi amat mementingkan kualiti persembahan.
"Bagi saya, jalan cerita yang bagus ditambah pula kekuatan skrip, ia berupaya menaikkan nama seseorang pelakon itu. Walaupun mengambil masa, tetapi saya yakin masa untuk dikenali dengan cara bermaruah akan sampai juga satu hari nanti. Malah, saya rela tidak mendapat tawaran dari membuat kerja yang tidak disukai. Populariti bukanlah matlamat kerana yang penting adalah kualiti lakonan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: