NICHOLAS (tiga dari kiri) bersama wakil rakan penganjur peringkat Malaysia pada majlis sidang akhbar pertandingan Cabaran Video Demokrasi 2010 di Laundry Bar, Mutiara Damansara. |
Pemenang berpeluang berkunjung ke Amerika Syarikat secara percuma
ANDA mempunyai pengertian dan pemahaman tersendiri mengenai demokrasi? Anda juga mampu menghasilkan video pendek yang mampu meluahkan erti demokrasi dalam bentuk paling kreatif dan menarik? Lalu, usah membuang masa lagi. Rebut saja peluang memenangi hadiah hebat menerusi pertandingan Cabaran Video Demokrasi 2010.
Dianjurkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS), pertandingan berkenaan diadakan bagi menggalakkan lagi perbincangan sedunia terhadap amalan demokrasi.
Pemenang video demokrasi negara ini berpeluang berkunjung ke AS dengan segala perbelanjaan ditanggung penganjur. Bukan saja si juara dibawa menghadiri tayangan perdana video pemenang di New York, Hollywood dan Washington, bahkan mereka juga berpeluang bertemu pengarah filem, pegawai kerajaan serta pejuang demokrasi daripada badan bukan kerajaan. Tidak dilupakan, pemenang dibawa melawat set filem dan televisyen.
Menurut Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan, Kedutaan Besar AS di Malaysia, Nicholas Papp, penganjur menjangkakan kira-kira 100 penyertaan daripada rakyat negara ini akan diterima menjelang tarikh tutup peraduan pada 31 Januari tahun depan.
"Pada tahun lalu, ketika peraduan ini tidak dipromosikan secara menyeluruh, kami menerima sembilan penyertaan dari Malaysia. Satu daripadanya layak dipertandingkan pada separuh akhir. Bagaimanapun, pemenang bagi rantau Asia Timur dan Pasifik datangnya dari Filipina," katanya pada sidang akhbar mengumumkan pertandingan berkenaan di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Pada pertandingan kali ini, seramai tujuh pemenang akan dipilih daripada seluruh dunia. Masing-masing dari rantau Sub-Sahara Afrika, Asia Timur dan Pasifik, Eropah, Timur Dekat dan Afrika Utara, Asia Selatan dan Tengah, Hemisfera Barat dan seorang pemenang tidak bernama.
"Kami mewujudkan kategori tidak bernama untuk memberikan peluang kepada penyertaan dari negara yang tidak membenarkan rakyatnya bercakap mengenai demokrasi secara terang-terangan. Kami memang mengalu-alukan penyertaan dari rakyat seluruh dunia termasuk Iran, Iraq dan sebagainya," kata Nicholas.
Penyertaan pada peringkat awal negara ini akan diadili oleh Kedutaan AS termasuk Duta Besarnya sendiri ke negara ini, James R Keith, serta wakil rakan penganjur seperti KRU Studios.
Pengumuman peserta yang layak ke separuh akhir akan dilakukan di pejabat baru KRU di Cyberjaya pada akhir Mac tahun depan. Daripada senarai pendek peringkat berkenaan, hanya tiga penyertaan akan dinilai untuk memenangi hadiah utama peringkat Malaysia.
Juara serantau akan dipilih menerusi undian global secara online, dengan YouTube bertindak sebagai medium siaran.
Selain KRU, rakan penganjur di Malaysia terdiri daripada 8TV, Majalah Marketing, Persatuan Animasi Malaysia, Universiti LimKokWing, Universiti Multimedia dan Laundry Bar.
Menurut Presiden KRU Studios, mereka mencari tiga peserta separuh akhir dari negara ini, dengan seorang daripadanya berpeluang berkunjung ke AS, selaku pemenang.
"Ia terbuka kepada sesiapa saja, asalkan peserta berusia berusia lebih daripada 18 tahun. Video selama tiga minit terbabit boleh dihasilkan menggunakan sebarang format, termasuk video rakaman telefon bimbit.
"Begitupun, tentulah juri akan memilih video yang menepati kriteria pertandingan, termasuk mempunyai interpretasi yang dikira bertepatan dengan tema, memiliki nilai kreativiti yang tinggi, serta memperlihatkan nilai produksi yang baik," katanya.
Pesan Norman, penyertaan yang dihantar nanti biarlah dihasilkan dengan niat bukan untuk menyinggung mana-mana pihak dan soal hak cipta juga perlulah dijaga.
INFO:
Penyertaan hendaklah dihantar secara online ke laman YouTube.
Peserta perlulah berusia 18 tahun ke atas.
Video boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk: fiksyen, dokumentari, animasi dan lain-lain.
Video tidak boleh melebihi tiga minit.
Video perlu dihasilkan dalam bahasa Inggeris atau mempunyai sari kata dalam bahasa Inggeris.
Peserta boleh menghantar penyertaan secara tidak bernama, bagaimanapun pemenang tidak bernama tidak boleh menuntut hadiah utama.
Peraturan pertandingan dan maklumat boleh didapati di laman web www.videochallenge.america.gov.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: