Saturday, December 19, 2009

Bila pemilik D-Max bertemu

Seramai 322 orang peserta menyertai perhimpunan rasmi pertama pemilik trak pikap Isuzu D-Max yang cukup bermakna.




MENJADI lokasi paling basah di Malaysia, anda pasti boleh mengagak apa yang berlaku pada petang itu. Ya, untuk sekian kalinya, Taiping, Perak menerima titisan rahmat dari langit.

Pastinya, hujan itu meresahkan pihak penganjur yang sejak beberapa hari lalu bertungkus-lumus membuat persediaan. Mujurlah, hujan tidak berpanjangan. Menjelang waktu pelancaran, ia berhenti sepenuhnya meninggalkan lecak-lecak air di atas padang, di samping udara yang sedikit dingin.

Hujung minggu itu, Taman Tasik Taiping atau lebih dikenali sebagai Taiping Lake Garden ditakluk oleh trak pikap Isuzu D-Max. Sejak tengah hari, ratusan trak pelbagai warna mula memenuhi kawasan parkir di tasik berkenaan. Semata-mata untuk menyertai perhimpunan yang julung-julung kali diadakan itu.

Mereka berhimpun di bawah nama Planet Isuzu, satu inisiatif daripada Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. untuk menghargai semua pemilik Isuzu D-Max. Dengan bayaran cukup minima (RM50), semua peserta berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik yang telah disediakan. Itu belum dicampur dengan barangan percuma bernilai RM300. Lumayan!

Selepas mendaftar, setiap peserta diberikan kupon untuk ditebus di beberapa buah gerai yang ada di sana. Cukup seronok, dengan kupon-kupon itu anda boleh mendapat sebungkus nasi ayam, pasembor, minuman berkarbonat atau cendol.

Istana getah

Memandangkan ia kali pertama dilaksanakan, tidak banyak gerai yang dibuka. Apa yang ada cuma gerai menjual produk bakeri, alat komunikasi dan basikal kanak-kanak dan mountain bike berjenama Le Run.

Membosankan? Tidak. Bagi anak-anak kecil, tempat bermain yang dibina khas berhampiran pintu masuk nyata menggembirakan mereka. Di dalam 'istana' getah berwarna-warni itu, kanak-kanak galak melompat dan berlari. Maka, tidak hairanlah jika anda boleh mendengar jeritan dan ketawa mereka dari jauh lagi.

Golongan dewasa yang tidak dibenarkan masuk ke tempat permainan tersebut, mereka boleh melihat secara dekat dua buah D-Max yang telah diubah suai dan sarat dengan aksesori serta pelekat. Jika tidak pun, hantar sahaja D-Max untuk dicuci atau sekadar berjalan di sekitar taman yang begitu terjaga landskap dan kebersihannya.

Bagi memanfaatkan masa sebaiknya, kumpulan wartawan dibawa menaiki bas mengelilingi taman. Kami juga sempat melawat beberapa lokasi menarik di sekitar Taiping.


AKSI menghiburkan oleh seorang remaja dengan basikal BMX miliknya.


Kembali semula ke taman, majlis pelancaran rasmi penubuhan Planet Isuzu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia Sdn. Bhd., Takashi Hata.

"Planet Isuzu dilaksanakan bagi mengumpulkan para pemilik D-Max dari seluruh negara. Populasi D-Max telah berkembang kepada 15,000 unit dalam tempoh hanya empat tahun kami beroperasi.

"Pencapaian ini membuktikan anda semua menyedari pelbagai kelebihan yang mampu ditawarkan oleh D-Max seperti tahan lasak dan penjimatan minyak yang tiada tandingan," kata Hata.

Belon panas

Selepas Hata memotong reben yang diikat dengan belon, tumpuan hadirin kemudiannya terarah kepada aktiviti menaiki belon udara panas. Sudah mendaftar sejak awal, mereka nampaknya sudah tidak sabar merasai pengalaman untuk berada tinggi di udara selama beberapa minit.

"Panas sikit ya," kata seorang pengendalinya sewaktu saya dan seorang rakan terkial-kial untuk masuk ke dalam 'bakul' berwarna coklat yang hanya mampu memuatkan lima orang penumpang pada satu-satu masa.


BIARPUN tidak banyak gerai dibuka, suasana di Planet Isuzu tetap meriah.


Sebaik sahaja pilinya dibuka, api yang marak berwarna biru dan oren secara perlahan-lahan memberi momentum untuk mengangkat kami ke udara. Menggunakan gas yang sama untuk memasak, bahang panas dari sumbu yang terletak tidak jauh dari belakang tubuh begitu terasa. Sekarang, baru saya tahu kenapa ia dipanggil belon udara panas.

Bukan sekadar belon udara panas, pengunjung turut dihiburkan oleh nyanyian seorang warga Taiping. Sambil memetik gitar elektriknya, dia yang mungkin boleh dikategorikan sebagai warga emas rancak melagukan rangkaian lagu berirama blues dan retro.

Di sudut yang lain, sekumpulan remaja lelaki menunjukkan kemahiran mereka membuat aksi di atas basikal BMX. Bagi mereka yang ingin mencuba menunggang jentera ATV, peluang itu turut tersedia.

Waktu malamnya diisi dengan aktiviti menonton filem di taman yang terbuka. Dipancarkan ke skrin putih, penonton duduk di atas jalan tar beralaskan kertas sambil sesekali ditemani nyamuk dan unggas malam.


TAKASHI HATA menyempurnakan majlis pelancaran rasmi Planet Isuzu.


Saya harus akui bahawa filem yang dipilih langsung tidak kena dengan jiwa. Jadi, ajakan Denise Chow dari Isuzu Malaysia untuk berjalan-jalan di sekitar taman terus diterima tanpa banyak soal.

Namun begitu, sesi 'jalan-jalan' itu agak terganggu dengan sikap kurang prihatin beberapa pengunjung taman. Duduk di hampir semua kerusi yang ada, pasangan-pasangan yang sedang asyik bercinta itu sibuk bergurau senda tanpa menghiraukan orang sekeliling. Lebih hebat, ada babak itu diiringi oleh lagu cinta yang keluar dari telefon bimbit mereka.

Keesokan harinya, Isuzu Malaysia memberi penghargaan kepada peserta yang hadir menerusi pertandingan D-Max tercantik.

"Idea Planet Isuzu ini sudah lama difikirkan. Lagi pun Thailand sudah ada konsep sebegini. Maklum balas yang diterima daripada pemilik D-Max sangat baik, tidak mustahil akan ada banyak lagi aktiviti berorientasikan pengguna dianjurkan.

"Misalnya, Dura Mile Challenge (cabaran pemanduan jimat minyak), perkhemahan atau Borneo Safari. Planet Isuzu ialah platform buat Isuzu Malaysia untuk mendapat informasi apakah bentuk aktiviti yang diingini peserta," tambah Hata sambil mengakui acara sebegini mampu mengukuhkan lagi jenama Isuzu di Malaysia.

Kekeluargaan

Pemilik D-Max dari Alor Setar Kedah, Mohd. Hafidz Hashim, 37, menyatakan mungkin ada baiknya jika lebih banyak aktiviti berasaskan kekeluargaan dan kebajikan diadakan.

"Semalam yang paling seronok pun naik belon udara panas sahajalah. Aktiviti lain sesuai untuk budak-budak," kata Hafidz yang mengakui semua acara berjalan sebagaimana dirancang.


SEBUAH Isuzu D-Max yang dilengkapi dengan pelbagai aksesori dan pelekat turut dipamerkan.


Bagi seorang warga England yang bekerja di sebuah firma kejuruteraan di Kuala Lumpur, George Bryden, 52, menyifatkan Planet Isuzu satu inisiatif cukup baik.

Dia mencadangkan supaya pemanduan off-road dilaksanakan dan lebih banyak gerai yang menjual aksesori atau barangan Isuzu dibuka. Selain itu, pihak Isuzu harus mengadakan aktiviti yang memerlukan penglibatan daripada pemilik D-Max.

"Bagus juga ada aktiviti ini, saya boleh menghabiskan cuti hujung minggu di lokasi yang cantik seperti Taiping," katanya yang baru membeli D-Max beberapa bulan lalu.

Bertindak selaku wakil pengedar trak pikap Isuzu dan lori Hicom di Kota Bharu, Kelantan, Tan Yiew Sun memberitahu kebanyakan pelanggannya menyertai Planet Isuzu.

Yiew Sun menyifatkan aktiviti sebegini lebih mengeratkan hubungan antara pengedar dengan pemilik D-Max berbanding menambahkan keyakinan orang ramai terhadap jenama Isuzu.

"Apabila mereka berpuas hati dengan produk dan ada pula acara sebegini, kami akan mendapat kelompok pelanggan yang setia. Tidak mustahil mereka akan memperkenalkan pula produk Isuzu kepada rakan-rakan yang lain nanti," katanya yang telah menjadi pengedar Isuzu sejak tahun 2005.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: